Archive | January, 2009

Temui Ogy Dan Dafi Di Terbuka FINAS Hari Ini

31 Jan

PROGRAM Hari Terbuka FINAS berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 2 Februari ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada orang ramai.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat, Mohd Fazli Abd. Aziz, berkata Hari Terbuka FINAS ini adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai mengenali lebih dekat peranan FINAS dalam agenda pembangunan industri filem Malaysia.

Ia juga adalah kesinambungan Program Merakyatkan Filem yang dijalankan FINAS sejak dua tahun lalu. Program ini juga diharapkan dapat mengukuhkan hubungan FINAS dengan industri serta orang ramai”.

Antara aktiviti Hari Terbuka FINAS ialah pameran dan jualan produk perfileman, tayangan filem, sesi uji bakat lakonan, sesi bersama artis dan taklimat kerjaya perfileman.

Uji bakat lakonan

Pengunjung berpeluang melihat dan mencuba sendiri peralatan perfileman seperti kamera, kemudahan masuk suara (dubbing) serta mencuba bakat lakonan dengan bimbingan pengarah tersohor seperti Ahmad Idham, Pierre Andre dan dimantapkan dengan tunjuk ajar pelakon Ogy Ahmad Daud, Elie Suriaty, Vanida Imran dan Nanu Baharudin.

Peserta sesi lakonan yang terpilih akan ditawarkan mengikuti Bengkel Lakonan FINAS dan disenaraikan sebagai Bakat Baru di portal Sinema Malaysia.

Sesi uji bakat ini adalah peluang keemasan kepada mereka yang berbakat dan minat secara serius dalam lakonan. FINAS juga mengundang beberapa produser yang aktif untuk menilai sesi uji bakat tersebut.

Peserta terbuka kepada warga negara Malaysia tanpa had umur digalakkan menyertai uji bakat itu. Peserta dikehendaki melakonkan senario yang disediakan oleh FINAS menggunakan dialog atau skrip sendiri.

Sementara itu, gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan Persatuan Pengeluar Filem (PFM) turut membuka ‘booth’ yang dimeriahkan dengan aktiviti bersama artis dan jualan produk. Persatuan terbabit memberi penerangan potensi kerjaya dalam lapangan masing-masing kepada golongan sasaran terdiri dari pelajar perfileman.

Pameran jentera motor filem ’Evolusi KL Driff 2’ termasuk Lamborgini turut diadakan bagi mempromosikan filem arahan Shamsul Datuk Yusof.

Menambah meriah Hari Terbuka FINAS ialah sesi Bersama Artis yang membariskan pelakon seperti Dafi, Jehan Miskin, Liana Jasmay, Riezman Khuzairi, Irma Hasmie, Aron Aziz, Farid Kamil dan Kenchana Dewi.

Filem Histeria, Los & Faun dan Cicak Man 2: Planet Hitam serta tiga dokumentari terbitan FINAS (Making The Cut, Pipe Dreams dan The Woodsmiths’) juga ditayangkan secara percuma di Pawagam Mini P. Ramlee.

“Finas berharap orang ramai dan penggiat industri khususnya dapat meluangkan masa mengikuti aktiviti yang dirancang sempena Hari Terbuka FINAS. Bagi memberi ruang kepada orang ramai dan warga filem memberi pandangan dan cadangan, kita telah menyediakan kaunter khas bagi tujuan tersebut sepanjang tempoh program berlangsung”, tambah Fazli.

Berita Harian

Gaya, Kelas, Kepuasan

31 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Peluang untuk memiliki barangan peribadi Ramli MS di Karnival Amal ABPBH2008 Untuk Gaza di Amcorp Mall, hari ini

MENGHARGAI sesebuah jenama dan label mewah rekaan antarabangsa ibarat satu pelaburan yang berharga yang tidak boleh dibandingkan dengan nilai barangan itu dan hal ini ditafsirkan sendiri pemuzik terkenal, Ramli MS.

Lalu, tidak hairanlah bekas pengetua Akademi Fantasia ini sanggup mengeluarkan ribuan ringgit untuk membeli helaian ‘persalinan’ yang membaluti tubuh badannya.

Faktor harga bukan satu persoalan yang perlu ditimbulkan apatah lagi dianggap membanggakan diri atau bersikap bongkak apabila dikatakan cuba menunjuk-menunjuk di mata orang sekiranya berkemampuan membeli jenama mewah.

Pandangan skeptikal ini sering wujud dan melambangkan kelas eksklusif seseorang individu. Bagi Ramli, masing-masing mempunyai pandangan sendiri dan katanya lagi, jenama mewah bukan satu kepuasan untuk dirinya.

Malah, duda dua anak ini, cukup mementingkan kesempurnaan dengan meletakkan dirinya sebagai manusia yang mahu menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

“Saya belajar dengan meletakkan diri saya ke arah terbaik demi kerjaya dan tabiat diri saya sebagai manusia. Apabila kita melihat apa juga benda yang cukup sempurna dan melengkapi konteks kerja, kehidupan harian dan peribadi, jenama mewah bukan semata-mata soal duit atau menunjuk-nunjuk, sebaliknya ia satu cara kita menghargai sesuatu termasuk diri kita yang penat bekerja.

“Sebagai contoh dalam tugasan saya sebagai pemuzik, saya ingin bekerja di kalangan pemuzik yang terbaik. Sebagaimana saya menghargai material dan kandungan sesebuah jenama, demikian juga halnya saya menghargai kerjaya dan persekitaran kerja. Kita juga ada hak untuk berada dalam keadaan yang terbaik, memakai produk yang berkualiti dan ia ibarat satu penjenamaan serta keyakinan diri apabila berada di khalayak ramai,” katanya di awal bicara sambil memberitahu dirinya sangat merendah diri.

Bertemu Ramli Khamis lalu di ‘kediaman’ unik miliknya, Ramli bersedia dan membenarkan Hip untuk merakamkan gambar koleksi barangan mewah yang bakal dilelong hari ini di karnival jualan dan lelongan amal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 Untuk Gaza bertempat di Amcorp Mall, Petaling Jaya.

Ramli antara selebriti yang terbabit menyahut usaha yang dikelolakan akhbar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) mewujudkan Tabung NSTP Untuk Gaza. Insya-Allah, Ramli akan mula berada di tingkat tiga bangunan itu sekitar jam 1 tengah hari, bagaimanapun pun karnival bermula seawal jam 10 pagi hingga 6 petang.

Sebanyak 12 koleksi miliknya iaitu jaket, kemeja, seluar jeans, semburan pewangi badan, tali pinggang dan tali leher akan dilelong dengan harga yang cukup istimewa dan munasabah.

Jika ada yang ingin memiliki sepasang sut jenama Hugo Boss yang hanya dipakainya selama tiga jam sewaktu Anugerah Era berlangsung beberapa tahun lalu dan dibeli dengan harga mencecah empat angka tetapi akan dibida dengan harga permulaan dari RM500 hingga ke RM600. Kebanyakan koleksinya ini dibeli di Paris dan London. Ada antaranya koleksi yang dibelinya sejak 20 tahun lalu, malah ada yang hanya dipakai sekali saja.

Menurut Ramli, 100 peratus keuntungan lelongan akan disalurkan ke tabung terbabit. Malah apabila melihat sambutan deretan nama selebriti yang menyatakan persetujuan untuk turut terbabit di dalam karnival ini, Ramli meluahkan rasa gembira dan bersedia untuk memberi sokongan.

“Apa yang dianjurkan NSTP ini satu perkara yang bagus dan pembabitan artis menunjukkan kepekaan dan keprihatinan selebriti tempatan terhadap kemelut kemanusiaan yang melanda rakyat Palestin. Kita sama-sama akan membuat kebajikan (hari ini). Kalau nak menderma sekalipun biarlah setulus hati dan tidak terbit langsung kekesalan untuk saya ‘mengorbankan’ barangan ini semua. Lagipun, ia untuk tujuan baik dan tidak salah saya melelong barang yang masih elok untuk dipakai,” katanya serius.

Info menarik Ramli MS terhadap barangan mewah yang sering dibelinya Selesa memilih barangan yang tidak terlalu menonjol Paling penting, dia tidak suka membeli pakaian yang menunjukkan logo sesebuah jenama yang jelas kelihatan di pandangan mata. Mengenai harga, dia memilih barangan yang tidak terlalu melampau harganya di samping menitik beratkan material yang ada dan berbaloi untuk dibeli.

Barangan lelongan Ramli MS Kemeja berkolar Hugo Boss dan kemeja T berlengan panjang, Armand Basi dilelong pada harga permulaan RM150. Dua pasang jeans jenama Paul Smith dan Aigner akan dilelong pada harga permulaan RM450 setiap satu. Jaket Christian Dior dan Zegna, kedua-duanya dibida dengan harga permulaan RM350 dan bersaiz 50 Sepasang sut denim Hugo Boss dilelong pada harga permulaan sekitar RM500 hingga ke RM600 Set pewangi Estee Lauder dan Clinique masing-masing dijual pada harga RM150 Tali pinggang Prada dan Gucci boleh dengan harga bidaan RM550 dan bersaiz 85 Tali leher Hermes pula dilelong pada harga permulaan RM400

Menarik ABPBH 2008 Untuk Gaza Selain lelongan dan jualan amal, turut dilakukan sesi bergambar bersama artis dikenakan bayaran berpatutan dan persembahan artis popular. Setiap bayaran dimasukkan terus ke Tabung NSTP Untuk Gaza. Anita Sarawak melelong dan menjual pakaian yang pernah dipakainya sewaktu membuat persembahan pentas dan menghadiri acara hiburan. Pelakon Sherry Ibrahim menjual biskut dan setiap RM2 daripada jualan akan disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza. Chef Wan akan menjual buku masakan, kek, mi segera Cintan dan kari ayam di dalam tin, Ayamas Pasangan suami isteri, Erra Fazira dan Engku Emran masing-masing akan melelong beg kantung Christian Dior dan jaket denim Levis. Alyah akan menjual koleksi cenderahati yang akan dibelinya sewaktu bercuti. Dia Fadila pula melelong dua pasang kasut jenama Adidas dan Kickers serta tas tangan Guess dan kemeja United Benetton. Aznil Nawawi melelong satu baju yang pernah dipakai sewaktu Anugerah Skrin

Tajaan makanan untuk petugas Linda Onn (My Mom’s Chicken Rice Sharifah Zarina (Nasi ayam penyet, Restoran Baso: Indonesian Cuisine) Datuk Yusof Haslam

Berita Harian

Kiriman Doa Untuk Palestin

31 Jan

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my


MAYA KARIN


ERMA FATIMA


JAMAL ABDILLAH


REBECCA NUR ISLAM

DI SAAT rakyat Palestin sedang bertarung nyawa dengan rejim Zionis, hampir seluruh dunia membantah peperangan yang telah membunuh beribu-ribu nyawa itu.

Namun, bantahan itu seolah-olah diabaikan Israel. Mangsa-mangsa perang hanya mampu mendapat simpati daripada masyarakat dunia.

Tidak menyerah kalah, rata-rata pertubuhan Islam dunia, agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuklah Malaysia sendiri, membuat majlis amal mengumpul dana untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin selain memprotes peperangan yang membawa kehancuran itu.

Bermula esok, Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia pula akan menganjurkan Majlis Doa Buatmu Palestin. Acara ini akan berlangsung selama dua hari bertempat di Laman Sari, Istana Budaya dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Kekkwa) untuk menghulurkan bantuan dana dan doa kepada pejuang-pejuang Islam Palestin.

Menurut Pengerusi Yayasan tersebut, Erma Fatima, majlis ini adalah salah satu cara menunjukkan kesatuan rakyat Malaysia dalam merasai penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza.

“Doa Buatmu Palestin adalah untuk memberi sokongan dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap saudara kita di Gaza.

“Selain itu majlis ini juga merupakan bantahan dan kutukan ke atas kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis,” katanya.

Bermula pada pukul 10 pagi hingga 12 malam, setiap detik masa itu akan diisi penuh dengan pelbagai acara seperti solat hajat, karnival jualan, mengaji, zikir dan selawat, bacaan puisi, konsert Palestin serta pameran.

Tambah Erma, terdapat juga karnival jualan sebanyak 50 buah gerai di pekarangan Istana Budaya oleh artis-artis seperti Rebecca Nur Islam, Maya Karin, Umie Aida, Linda Onn, Rubiah Suparman, Enot, Ayati Tasrip dan Ramli (Mohram).

Pereka-pereka fesyen terkenal seperti Albert King, Micheal Ong, Calvin Thoo dan Jovian Mandagie, Razwan Radzwill dan Azura. Selain barisan di atas, banyak lagi artis juga akan hadir membuat jualan di gerai masing-masing.

“Selain itu, lelongan barangan selebriti turut diadakan. Kesemua hasil keuntungan itu akan dimasukkan ke Tabung Kutipan Palestin.

“Pada hari kedua, selepas sembahyang Maghrib, kami akan mengadakan solat hajat bersama Datuk Seri Shafie Apdal, artis-artis serta tetamu-tetamu jemputan di lobi Istana Budaya dan ia akan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara,” jelas Erma.

Solat hajat tersebut juga akan dipaparkan di skrin yang akan diletakkan di pekarangan karnival. Bacaan Yasin dan surah-surah turut dibacakan oleh artis-artis serta tetamu-tetamu jemputan.Orang ramai dijemput hadir menyokong usaha ini dan tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pengunjung.

Kosmo

Uji Bakat Jadi Pelakon

31 Jan

Rap
PROGRAM Hari Terbuka Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang berlangsung hari ini dan esok (31 Januari dan 1 Februari), jam 9 pagi hingga 5 petang di Kompleks Finas, Hulu Klang, menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Finas, Mohd Fazli Abd Aziz berkata, hari terbuka itu diadakan untuk memberi peluang kepada orang ramai mengenali lebih dekat peranan Finas dalam agenda pembangunan industri filem Malaysia.

“Ia juga adalah kesinambungan Program Merakyatkan Filem yang dijalankan Finas sejak dua tahun lalu. Program ini juga diharapkan dapat mengukuhkan hubungan Finas dengan industri serta orang ramai,” katanya.

Antara aktiviti Hari Terbuka Finas, pameran dan jualan produk perfileman, tayangan filem, sesi uji bakat lakonan, sesi bersama artis dan taklimat kerjaya perfileman. Pengunjung juga dibawa melawat peralatan dan kemudahan perfileman yang terdapat di Finaspost, pusat pasca produksi.

Orang ramai juga berpeluang melihat dan mencuba sendiri peralatan perfileman seperti kamera, kemudahan memasukkan suara (dubbing) serta mencuba bakat lakonan dengan bimbingan pengarah tersohor antaranya Ahmad Idham dan Pierre Andre. Ia dimantapkan dengan tunjuk ajar pelakon Elie Suriaty, Vanida Imran, Nanu Baharudin dan Fauziah Ahmad Daud.

“Peserta sesi lakonan yang terpilih juga akan ditawarkan mengikuti Bengkel Lakonan Finas dan disenaraikan sebagai Bakat Baru di portal Sinema Malaysia.

“Sesi uji bakat ini peluang keemasan kepada mereka yang berbakat dan minat secara serius dalam dunia lakonan. Finas turut mengundang beberapa produser yang aktif untuk bersama menilai sesi peserta uji bakat itu.

“Malah lebih penting peserta lakonan yang berjaya di senarai pendek akan berpeluang berlakon dalam filem kenegaraan terbitan Finas.

“Warganegara Malaysia tanpa had umur digalakkan menyertai uji bakat itu. Peserta dikehendaki melakonkan senario disediakan Finas menggunakan dialog atau skrip sendiri.

“Turut diadakan taklimat dan pameran kerjaya perfileman yang dikendalikan persatuan perfileman. Gafim (Gabungan Karyawan Filem Malaysia) dan Persatuan Pengeluar Filem (PFM) membuka gerai yang dimeriahkan dengan aktiviti bersama artis dan jualan produk.

“Persatuan terbabit juga memberi penerangan potensi kerjaya dalam lapangan masing-masing kepada golongan sasaran terdiri daripada pelajar perfileman,” katanya.

Kata Fazli, pameran jentera motor filem Evolusi KL Drift 2 termasuk sebuah Lamborgini turut diadakan bagi mempromosikan filem arahan sutradara, Shamsul Yusof.

Menambah meriah Hari Terbuka Finas, sesi Bersama Artis yang membariskan pelakon seperti Dafi, Jehan Miskin, Liana Jasmay, Riezman Khuzairi, Irma Hashime, Aron Aziz, Farid Kamil dan Kenchana Dewi. Peminat boleh bergambar dan beramah mesra dengan mereka.

Filem Histeria, Los and Faun dan Cicak Man – Planet Hitam serta tiga dokumentari terbitan Finas (Making The Cut, Pipe Dreams dan The Woodsmiths’) juga ditayangkan secara percuma di Pawagam Mini P Ramlee.

Finas juga akan mengadakan program menandatangani perjanjian kerjasama penerbitan dengan Histrory Channel bagi menggalakkan pertukaran kepakaran penghasilan dokumentari bertaraf dunia.

Majlis dijangka dihadiri Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini, jam 3 petang di Studio Sound Stage Finas.

Acara kemuncak Hari Terbuka Finas ialah perasmian Studio Digital Mix Stage, pusat adunan bunyi bernilai RM53 juta yang dijangka disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jam 8 malam esok.

Studio yang mendapat pengiktirafan Dolby adalah mercu tanda kemajuan industri.

“Finas berharap orang ramai dan penggiat industri khususnya dapat meluangkan masa mengikuti aktiviti yang dirancang sempena Hari Terbuka Finas.

” Bagi memberi ruang kepada orang ramai dan warga filem memberi pandangan dan cadangan, kami menyediakan kaunter khas bagi tujuan itu sepanjang tempoh program berlangsung”, katanya.

Harian Metro

Artis Lelong Koleksi

31 Jan

Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my

DERMA... Anthony Firdaus (dua dari kiri) turut sama membeli<br> cenderahati di karnival jualan amal dan lelong ABPBH 2008<br> Untuk Gaza, semalam
DERMA… Anthony Firdaus (dua dari kiri) turut sama membeli
cenderahati di karnival jualan amal dan lelong ABPBH 2008
Untuk Gaza, semalam

PETALING JAYA: Berhibur sambil berbelanja dan menderma. Itu gambaran tepat dapat diberi ketika berlangsung karnival jualan amal dan lelong Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 Untuk Gaza membabitkan lebih 70 selebriti tanah air, termasuk penyampai radio dan pengacara TV, di Amcorp Mall, di sini, semalam.

Pelbagai koleksi peribadi dan pakaian artis dilelong, termasuk jualan makanan dan kek membabitkan selebriti terkenal, antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Sharifah Amani, Ahmad Idham, Aznil Nawawi, Azean Irdawati, Chef Wan dan Jaclyn Victor.

Hasil jualan dan lelongan itu akan disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Peniaga, Ab Majid Bujang, 50, yang membeli baju lelong milik Datuk Siti Nurhaliza dan Anita Sarawak bernilai RM750, berkata, pembabitan artis membuat kerja amal dalam karnival berkenaan seharusnya membuka mata banyak pihak supaya turut sama memberi sumbangan kemanusiaan mangsa perang di Semenanjung Gaza, Palestin.

Katanya, kesempatan berhibur sambil beramal itu juga patut dimanfaatkan orang ramai, terutama di kalangan generasi muda untuk turut sama memberi sumbangan mereka.

“Dengan hanya membeli air minuman saja, ia sudah cukup bermakna kerana wang itu akan disumbangkan ke Tabung NSTP.

“Berbaloi berbelanja di sini bersama anak dan isteri. Selain dapat membeli baju artis kegemaran mereka, wang yang saya keluarkan itu saya tidak laburkan dengan sia-sia,” katanya yang datang bersama isteri, Nor Shamsida Mohd Nor, 50 dan anak sulung, Nadia Syima, 22.

Suri rumah, Hasmidar Yahya, 25, berkata karnival itu diadakan tepat pada masanya dan wajar dilangsungkan secara besar-besaran.

“Tambah pula jika ia membabitkan artis, ia boleh menarik perhatian ramai, terutama di kalangan peminat mereka. Ini satu cara bagus untuk menarik golongan muda datang menghulur bantuan dan sumbangan mereka.

“Saya sendiri datang ke sini bukan setakat untuk berjumpa artis, sebaliknya ingin sama menghulur bantuan walaupun tidak seberapa,” katanya.

Manakala, Nurulhana Ting Abdullah, 43, berkata selain menyampaikan mesej keamanan dan misi kemanusiaan terhadap mangsa keganasan Israel di Palestin, karnival berkenaan sewajarnya menjadi titik tolak bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Jika tidak mahu berbelanja pun tidak apa, memadai datang dan memberi sokongan. Ia sudah cukup bermakna dan dapat menyampaikan mesej sewajarnya,” katanya.

Karnival yang bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang itu menyediakan 25 tapak jualan dan lelongan dan berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung.

Hadir memeriahkan karnival, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdaus Bujang dan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun.

Hingga jam 2 petang semalam, kutipan jualan dan lelong mencecah RM30,000. Lelongan tertinggi bernilai RM4,000 iaitu baju milik Anita Sarawak yang dibeli oleh Chef Wan.

Harian Metro

Kami Ingin Ke Gaza

31 Jan

Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my

Rap
KEPRIHATINAN orang kita terhadap malang yang melanda warga Palestin di Semenanjung Gaza. Buktinya semalam, ribuan menyerbu Amcorp Mall, Petaling Jaya berganding bahu dengan artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian untuk mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza.

Usaha artis kita tidak terhenti di situ saja. Bertempat di Laman Baiduri, Istana Budaya (Kuala Lumpur) hari ini dan esok, lebih ramai lagi penggiat seni tanah air berkumpul mencurahkan keringat dalam usaha amal mengumpul dana bagi mangsa kekejaman Zionis Israel.

Kerja amal yang dinamakan Doa Buatmu Palestin anjuran Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) ini mengatur pelbagai aktiviti selama dua hari bermula jam 10 pagi hingga 11 malam termasuk solat hajat, bacaan puisi, jualan karnival dan lelongan barangan artis.

Idea mulia ini timbul ketika Zahida Rafik yang sedang menonton berita TV mengenai serangan Israel ke atas Gaza sehingga membunuh penduduk Palestin yang kini mencatat lebih 1,200 korban nyawa. Jiwa wanitanya cepat tersentuh melihat kejadian tidak berperikemanusiaan itu.

Bagi pelakon cantik ini, dengan mempunyai ramai kenalan dalam industri seni, dia berkeyakinan mampu membuat sesuatu untuk membantu mereka yang malang itu.

“Saya tahu saya boleh buat sesuatu. Saya kenal ramai artis, orang kerajaan dan pereka fesyen. Kenapa tidak saya gabungkan mereka untuk kerja amal ini.

“Melalui Kak Erma (Fatima), saya mendapat pandangannya untuk merealisasikan hasrat ini. Selepas menubuhkan jawatankuasa, dalam tempoh lebih kurang dua minggu, alhamdulillah semua pihak memberi kerjasama dan perancangan berjalan lancar,” katanya ketika berkunjung ke Metro Ahad, minggu lalu.

Menurut pelakon Anak Mami ini, dalam tempoh berkenaan dia berjaya mendapatkan kelulusan KPKKW, penaja dan sumbangan rakan-rakan seperjuangan. Dia percaya, usaha murni ini dipermudahkan lagi oleh Allah.

Selain persembahan, acara lelongan pakaian pereka fesyen terkenal bakal menjadi tumpuan. 15 pereka ‘A List’ negara termasuk Rizalman Ibrahim, Michael Ong, Syaiful Baharim, Albert King, Calvin Thoo, Jovian Mandagie, Riezman Ruzaimi, Kapas, Zang Toi, Salikin Sidek, Bill Keith, Iszral dan Alvin Teh bersetuju menyerahkan satu rekaan setiap seorang.

Lebih menarik, rekaan ini masih baru dan sebahagian daripadanya berharga RM1,000 hingga RM3,000. Bagaimanapun untuk tujuan lelongan ini, harga diletakkan pada paras RM599 sahaja. Siapa paling tinggi bidaannya, bakal membawa pulang pakaian berkenaan.

“Sebolehnya saya tidak mahu harga yang mahal sangat tetapi saya percaya dalam urusan kebajikan ini, ramai yang sanggup menghulurkan bantuan. Saya berharap sangat, kami dapat mengumpul sebanyak mungkin untuk dana ini,” katanya.

Selain rekaan pereka tadi, ramai juga selebriti yang bersetuju untuk melelong barangan milik mereka seperti Zahida sendiri, Umie Aida, Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza, Aleeza Kassim, Tengku Azura, Julia Zigler, Betty Benafe, Fazli Zainal, Que Haidar, Awal Ashaari, Vanida Imran, Ika Fancy dan kumpulan jurusolek terkemuka, Izatt Artistic Team (IAT).

Turut sama Maya Karin yang tampil menjual kek cawan. Hampir 70 gerai yang disertai oleh peminat dibuka dengan pelbagai jualan – baik makanan mahupun keperluan harian.

Menurut Rohaizad Shariff dari IAT, dia sendiri terkejut dengan respon dan komitmen yang ditunjukkan selebriti tempatan ke atas usaha ini.

“Sebagai manusia, kita sendiri terpanggil untuk membantu sedaya yang mungkin. Inilah masanya untuk kita sama-sama beramal. Sebenarnya dulu kami rancang untuk menjalankan aktiviti amal tetapi tiada acara untuk disesuaikan,” katanya.

Kalau boleh kata Zahida dan Rohaizad, mereka ingin ke Gaza untuk memberi bantuan terus kepada mangsa. Mereka teringin untuk menolong mana yang boleh mereka lakukan.

“Memang kami berharap dapat ke sana tetapi sedar, keadaan terlalu getir. Saya, Rohaizad, Umie dan Erma teringin ke sana. Kami sedar cabarannya tetapi tidak salahkan kalau dapat kami membantu dengan cara itu.

“Namun kalau tidak dapat, kami akan serahkan dana itu terus kepada KPKKW,” kata Zahida.

Harian Metro

Zon Abie: Apabila Artis Bersatu

31 Jan

Oleh Abie Abdullah
abie@hmetro.com.my

Rap
ASSALAMUALAIKUM! Kurang lebih tiga bulan kolum ini ‘beristirahat’, alhamdulillah kini bersiaran semula. Maafkan ‘kekurangan’ saya selama ini ekoran tidak dapat memenuhi tuntutan Zon Abie. Ramai juga yang bertanya, tetapi apakan daya belum waktu untuk kita bersua.

Mungkin penghujung Januari ini ‘jodoh’ sesuai untuk saya mulakan coretan Zon Abie.

Percayalah, semua ketentuan-Nya yang mempunyai hikmat di sebalik setiap kejadian. Bukan niat untuk bertazkirah, tetapi hakikatnya memang nyata yang kita lihat saban hari di depan mata sendiri.

Seperti apa yang kita lihat hari ini, kesengsaraan warga Palestin di Semenanjung Gaza akibat kekejaman manusia bangsa angkuh Zionis Israel. Dari jauh kita mendengar berita dan melihat gambar derita mereka yang terpampang di dada akhbar, didedah di kaca TV dan disebar melalui Internet.

Sayu dengan perkembangan tidak berperikemanusiaan ini. Sehingga kini sudah 1,285 nyawa penduduk Gaza termasuk 280 kanak-kanak melayang kerana serangan tentera rejim Zionis. Rejim ini dikecam dunia kerana ‘keseronokan dalam kerakusan’ mereka menghala senjata ke arah mereka yang tidak berdosa.

Pun begitu, nampaknya mereka tidak kisah, malah gencatan senjata yang diumumkan lebih seminggu itu dilanggar mereka.

Rasanya saya bukanlah yang sesuai untuk meneruskan isu ini di sini kerana saya percaya, setiap hari kita menerima berita sedih ini.

Namun saya cuba mengaitkan peristiwa ini dengan usaha beberapa kumpulan artis yang menyingsing lengan mencari dana bagi tujuan membantu mereka yang malang di bumi Gaza.

Baik para Artis Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) mahupun Erma Fatima melalui Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia yang bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, masing-masing dengan tujuan yang satu – menambah tabung untuk Palestin.

Hari ini, bintang ternama seperti Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Mawi, Erra Fazira, Anita Sarawak, Aizat dan Meet Uncle Hussain antara yang turun ke Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya sehingga jam 6 petang ini.

Saya difahamkan pelbagai aktiviti dijalankan termasuk lelongan barangan artis untuk mencari tambahan dana Tabung NSTP Untuk Gaza.

Esok dan lusa pula di perkarangan Istana Budaya, Erma dan artis-artis lain seperti (antaranya) Umie Aida, Zahida Rafik, Fazli Zainal, Ning Baizura, Dayang Nurfaizah, Aqasha, Rabbani dan Jamal Abdillah tampil untuk membantu mangsa di Gaza.

Semuanya turun padang atas nama kemanusiaan sejagat. Saya melihat perkembangan ini sebagai suatu yang manis dan sihat bagi artis tempatan. Mereka tidak hanya melihat kesengsaraan manusia lain dari jauh, sebaliknya membantu semampu kudrat yang ada demi nilai kemanusiaan itu.

Alangkah lebih manis dan indahnya kalau kita terus bersatu sebegini.

Jarang untuk kita melihat artis bersatu berganding bahu kalau tiada apa-apa kejadian atau malapetaka. Inilah yang saya katakan hikmat di sebalik apa yang berlaku.

Bukan mendoakan atau meminta perkara yang buruk berlaku hanya semata-mata untuk mewujudkan ‘kesatuan’ artis, tetapi apabila adanya ujian Allah sebegini, pasti ada benda lain di sebaliknya.

Sehingga kini, walaupun 2009 sudah sebulan membuka tirai, saya percaya masih ramai artis kita yang terkepung dalam percakaran hati sesama sendiri. Ada yang tidak puas hati, ada yang sakit hati dan tidak kurang yang makan hati dengan kejayaan rakan seperjuangan.

Bukan semua, tetapi hakikatnya, kita selagi bernama manusia, selagi itulah kita dibelenggu dengan ketidakpuasan dengan apa yang ada. Sehingga timbul perasaan hitam dengki mendengki yang tidak berkesudahan dan membangkitkan puak-puak tertentu.

Wujud antara artis kita yang bangga diberi gelaran mulut lancang, mulut bertih dan mulut tempayan. Walhal kerana mulut itulah menularkan ketidakselesaan di kalangan yang lain baik yang mendengar mahupun yang dituju. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Mulut yang tidak dikawal inilah yang memecahbelahkan artis kita. Mereka bangga mencanang keburukan manusia lain tanpa menyedari satu jari yang ditunjukkan kepada seseorang itu dan empat lagi kepada diri sendiri. Mana lebih baik?

Mencanang keburukan orang juga seperti mempertikaikan kejadian ciptaan Allah. Sanggupkah kita menidakkan ciptaan-Nya? Sendiri mahu ingat! (Catatan ini juga untuk saya sendiri)

Harian Metro