Archive | February, 2009

Yusuff Dibenci Saudara

28 Feb

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

Rap
KISAH Nabi Yusuf yang mempunyai rupa paras menarik dan budi pekerti mulia digambarkan dalam al-Quran. Begitu juga kisah hidupnya yang berhadapan dengan iri hati saudara tirinya hingga dibuang ke dalam perigi untuk melenyapkan dirinya dari dunia.

Kini kisah ini diangkat televisyen melalui drama bersiri Yusuff yang bakal disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3 mulai 4 Mac ini.

Drama arahan Mohd Hitler ini diambil daripada kisah Nabi Yusof tetapi disesuaikan dengan keadaan semasa dengan mengambil elemen perasaan hasad dengki dan tamak haloba manusia hingga sanggup melakukan apa saja.

Pelakon muda, Ashraf Muslim diberi tanggungjawab memegang watak Yusuff dan dibantu pelakon lain, Zarynn Min, Syed Ali, Intan Sarafina, Datuk Jalaluddin Hassan, Jamaluddin Kadir, Betty Banafe, Adam Anuar, Puteri Fateen dan Zed Zaidi.

Ia mengisahkan nasib seorang lelaki bernama Yusuff, yang sentiasa dirundung malang akibat dengki ibu dan saudara tiri sejak kecil hingga dibesarkan bapa angkat yang juga ketua samseng. Namun Yusuff membesar sebagai lelaki baik dan punya penampilan menarik.

Hitler atau lebih dikenali sebagai Yeob berkata, skop drama itu memperlihatkan bagaimana seseorang sanggup melakukan apa saja untuk memuaskan nafsu tamak dan iri hati termasuk merancang membunuh saudara sendiri.

“Watak Yusuff yang dilakonkan Ashraf Muslim digambarkan sering menjadi mangsa tetapi tidak sanggup melakukan perkara kejahatan walaupun mendapat ugutan dan godaan.

“Skrip drama ini memang diilhamkan daripada kisah Nabi Yusuf dan pengajaran yang cuba dipaparkan melalui drama ini diangkat melalui kisah Nabi Yusuf a.s yang penyabar serta tidak mudah tergoda dengan hasutan nafsu.

“Bagaimanapun, drama ini lebih menekankan kepada tamak haloba manusia, bukanlah dakwah Nabi Yusuf sebagaimana kisah sebenarnya. Namun drama ini juga cuba berdakwah kepada penonton dengan caranya tersendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama pelakon Yusuff, baru-baru ini.

Drama terbitan Asia Media Content Sdn Bhd ini menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Melaka selama sebulan bermula awal Disember lalu.

“Alhamdulillah, sepanjang penggambaran dilakukan, saya tidak menghadapi sebarang masalah atau cabaran kerana mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pelakon dan kru.

“Pelakon drama ini juga semuanya berpengalaman, jadi interaksi dan proses penggambaran mudah dilakukan. Saya juga banyak berbincang dengan mereka untuk memperbaiki lagi jalan cerita drama ini,” katanya.

Yeob yang kini dalam proses menyiapkan telefilem Bila Hujan Turun untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), mengakui bangga kerana diberi peluang mengarah drama ini.

“Sepatutnya drama ini diarahkan pengarah lain hingga saya diberi tanggungjawab ini lima hari sebelum penggambaran dan semua barisan pelakon sudah dipilih.

“Saya cuba melakukan tanggungjawab itu sebaik mungkin demi menampilkan sesuatu yang baru kepada penonton. Penampilan pakaian pelakon juga perlu bersesuaian dengan jalan cerita yang diambil daripada kisah Nabi Yusuf tetapi dalam drama lain, saya juga cuba menjaga penampilan pelakon supaya tidak mengundang rasa kurang senang penonton.

“Cuma untuk drama ini, saya masukkan babak agak seksi ketika Zaliha yang juga ibu tiri Yusuff, lakonan Betty Banafe memakai baju tidur untuk menggoda Yusuff,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, berkata TV3 memperkenalkan drama hebat dalam slot Lagenda, Seram, Lestary, Aksi dan Samarinda.

“Namun setiap slot memaparkan genre berbeza dan sesuai untuk tontonan khalayak umum dengan Samarinda memaparkan drama berkisarkan dunia korporat seperti konspirasi, komplot dan rencah kehidupan moden.

“Di sinilah gabungan pelakon diminati ramai dengan jalan cerita menarik menjadi kekuatan drama Yusuff, buah tangan terbaru daripada pengarah tidak asing lagi, Mohd Hitler Zami,” katanya.

Drama ini bermula apabila bapa Yusuff, Yaacob bekerja dengan orang kaya Kemat dan dijanjikan bernikah dengan anak angkat lelaki itu, Suhana selepas tujuh tahun berkhidmat.

Bagaimanapun, Kemat tidak menunaikan janji, sebaliknya menikahkan Yaacob dengan anak kandungnya, Rabiah menyebabkan Suhana meninggalkan kampung akibat terlalu kecewa dengan perbuatan bapa angkatnya itu.

Selepas Kemat meninggal dunia, kekayaannya diwarisi Yaacob dan tidak lama kemudian dia mengahwini Suhana yang dicari sekian lama sehingga menyebabkan Rabiah mengamuk dan berjanji membalas dendam.

Suhana kemudian melahirkan bayi lelaki diberi nama Yusuff tetapi disebabkan benci, Rabiah dengan bantuan anaknya mencampakkan Yusuff ke dalam gaung.

Yusuff diselamatkan ketua samseng bernama Aziz yang melihat kejadian itu tetapi hilang ingatan akibat satu kejadian. Bagaimanapun, konflik timbul apabila isteri muda Aziz, Zahila jatuh cinta kepada Yusuff yang membesar sebagai seorang lelaki kacak.

Harian Metro

Percutian Ibadah

28 Feb

Banyak tempat yang dikunjungi oleh selebriti terkenal iaitu Deja Moss tetapi dia lebih senang untuk berkongsi pengalaman berada di Tanah Suci.


MENJALANKAN tanggungjawab Rukun Islam yang kelima secara berseorangan.

TITISAN air mata membasahi pipi tatkala dapat melihat secara realiti rumah Allah. Bagaikan tidak percaya dimurahkan rezeki untuk menjadi tetamu Allah di Tanah Suci.

Daripada sekelian banyak ibadah, haji adalah puncak amalan ritual yang sangat diimpikan oleh seluruh umat Islam di serata dunia.

Walaupun sudah enam tahun berlalu, tetapi pengalaman mengerjakan haji ke Tanah Suci tidak akan sesekali luput di fikiran dan sanubari.

Mana tidaknya, tanpa pengalaman mengerjakan umrah terlebih dahulu, semestinya membuatkan diri begitu merasai debaran saat untuk diterbangkan ke Mekah.

Langsung tidak merancang untuk mendapat peluang mengerjakan haji kerana semuanya berlaku secara tiba-tiba. Inilah dikatakan, kalau sudah rezeki tidak perlu tunggu lama untuk berdaftar dengan Tabung Haji.

Saya akui perasaan waktu itu, memang ada sedikit takut. Maklumlah macam-macam perkara boleh berlaku sama ada sebelum tiba di sana atau setelah berada di Tanah Suci. Kesemua pengalaman itu dikutip pada tahun 2002 yang lalu.

Tanpa membuat persiapan awal, pertama sekali hati saya merasakan begitu berkobar-kobar untuk tiba di Mekah. Sepanjang lapan jam berada di dalam perut pesawat, saya tidak putus-putus berdoa agar pemergian ke sana akan diberkati Allah.

Saya tidak tidur sepanjang perjalanan. Rasa macam nak pergi berperang tetapi untuk menghilangkan debaran itu, saya berzikir dan membaca buku persiapan ibadat supaya senang sejurus tiba di Tanah Suci kelak. Menunaikan haji secara bersendirian dan ingin memulakan ibadah, langkah saya untuk memasuki Masjidil Haram serta berada di hadapan Kaabah seperti tidak sabar rasanya.

Saya dapati diri saya berasa sedikit tidak tenteram dan risau jika tidak berpeluang melihat Kaabah pada jarak yang lebih dekat. Ini kerana keadaan di dalam Masjidil Haram dipenuhi dengan jutaan umat Islam dari seluruh dunia.

Sampai sahaja di Masjidil Haram, semangat saya bertambah membara untuk mencari Kaabah. Saya juga begitu bernasib baik kerana disapa oleh pasangan suami isteri yang sudah berpengalaman. lalu mereka mengajak saya untuk beribadat bersama.

Syukur, akhirnya saya berjaya mendekatkan diri dengan Kaabah dan terus saya mengucapkan alhamdulillah serta menunaikan sujud syukur.


DEJA MOSS menunaikan ibadat haji bersama jutaan umat Islam dunia pada tahun 2002.

Sememangnya, tiada istilah penat sepanjang beribadah di kota Mekah. Itulah kebesaran Allah yang diberikan kepada hamba ciptaan-Nya walaupun cuaca ketika itu tidak mengizinkan iaitu panas terik yang menyinari setiap ruang persekitaran.

Saya hanya berasa penat setelah selesai melakukan beberapa ibadah. Syukur kerana Tuhan memberikan tenaga yang cukup. Saya risau juga sebab ramai yang pengsan dan sebagainya.


DEJA sempat merakamkan beberapa foto kenangan bersama teman dan petugas haji Malaysia di Mekah.

Sewaktu wukuf di Arafah yang terletak kira-kira 22 kilometer dari Masjidil Haram, sekali lagi saya tidak dapat menahan linangan air mata mengenangkan dosa-dosa silam yang pernah dilakukan.

Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan dosa. Ketika di Arafah, sebak di dada tidak mampu lagi untuk ditanggung terutama mengenangkan pengalaman lalu yang menyedihkan dan mungkin kesilapan sehingga menyakiti orang lain.

Perginya ke Tanah Suci dengan keinginan tinggi untuk memperoleh haji yang mabrur, saya terpaksa melupakan seketika aktiviti seni dan keluarga tercinta untuk menumpukan sepenuhnya pada ibadah.

Hati saya juga bertambah sayu apabila berkumandangnya takbir menandakan umat Islam mula menyambut Hari Raya Aidiladha. Saya tidak begitu dapat merasakan kemeriahan sambutan Aidiladha memandangkan sibuk dengan ibadah iaitu melontar Jamrah di Mina.

Saya dengar ramai juga jemaah Malaysia yang meninggal dunia di sana. Ini membuatkan hati saya tidak putus-putus berdoa agar selamat sepanjang mengerjakan ibadah sehingga selesai segala-galanya.

Inilah pengorbanan saya bukan sahaja masa tetapi nyawa kerana keadaan di sana tidak seperti di tempat kita. Ia cukup berlainan.

Sekiranya dimurahkan rezeki dan sihat tubuh badan, Deja juga berazam untuk mengerjakan lagi ibadah umrah mahupun haji bersama suami tercinta Azfendy Azzuddin Ahmad, 29.

Kosmo

2 Jam Saja

28 Feb

Susunan Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Penelope Cruz

Aktres Pembantu Terbaik, Penelope Cruz tidak fikir panjang menerima tawaran daripada Woody Allen

MELANGKAH bergaya dengan gaun vintaj berkilauan rekaan Balmain berusia 60 tahun membaluti tubuh, Penelope Cruz mencatat sejarah peribadi apabila menjadi aktres Sepanyol pertama menerima Oskar pada majlis Anugerah Academy ke-81, Isnin lalu.

Lakonan mantap yang ditunjukkannya menerusi filem komedi milik Woody Allen berjudul Vicky Christina Barcelona berjaya membuatkan juri sebulat suara memilihnya sebagai Aktres Pembantu Terbaik sekali gus menewaskan calon lain yang tak kurang hebatnya seperti Viola Davis (The Doubt), Marisa Tomei (The Wrestler), Taraji P Hensen (The Curious Case Of Benjamin Button) dan Amy Adams (Doubt).

Begitupun, ada cerita menarik di sebalik kejayaan yang diraih Cruz itu. Siapa sangka, keputusan Cruz menerima watak sebagai Maria Elena dalam filem Allen itu membuka peluang kepadanya untuk menjadi wanita Sepanyol pertama memenangi trofi Oskar di Anugerah Academy edisi ke-81.

Dalam satu temubual bersama pelakon Latin ini, Cruz mengakui dia menerima tawaran untuk berlakon dalam filem Allen itu selepas dua jam melihat skrip yang diberikan.

“Dia berikan saya skrip dan minta saya pulangkan kembali dalam masa dua jam sambil bertanyakan sama ada saya ingin berlakon dalam filem itu ataupun tidak. Kemudian saya baca skrip itu dan menyukainya.Lalu saya pulangkan dan beritahu Allen yang saya ingin berlakon.

“Sebenarnya saya amat menyukai karyanya sejak saya kecil dan selalu bermimpi untuk bekerja dengannya.Tak sangka, impian itu akhirnya menjadi kenyataan,”cerita Cruz dalam satu temubual bersama Time Online.

Kemenangannya itu barangkali bukanlah satu kejutan kerana pelakon ini diakui mempunyai aura tersendiri apabila beraksi di layar perak. Dan kalau bukan kerana aura itu, masakan pemilik nama penuh Penelope Cruz Sanchez ini mampu menjadi wanita Latin yang cukup menyinar di Hollywood sehingga kini.

Berbekalkan seraut wajah jelita, tubuh yang seksi serta bakat semula jadi dalam lakonan membuatkan nama Cruz mampu berdiri sebaris dengan pelakon yang berada dalam senarai A yang lain.

Walaupun mempunyai pakej yang lengkap untuk bergelar pelakon namun jauh di sudut hati jurucakap L’Oreal ini, terselit juga kebimbangan mengenai persembahan yang ditunjukkan dalam setiap lakonannya. Malah, perkara itu adalah sesuatu yang kerap disuarakan Cruz setiap kali diwawancara media.

“Saya selalu berasa tidak selamat setiap kali berada di set walau apapun berlaku. Apabila kamu bekerja dengan Woody Allen, kamu tahu yang dia boleh dipercayai, jika dia percayakan kamu, dia akan beritahu segala-galanya.

“Dia bukanlah lelaki yang suka bercakap tetapi dia jujur dan itulah yang saya harapkan. Kami menjalani penggambaran filem hampir lima minggu lamanya, jadi saya tak tahu apa yang terjadi. Pun begitu saya tak pernah sangsi dengan hasil kerjanya,” kata Cruz yang memiliki kemahiran dua bahasa lain iaitu Perancis dan Itali, selain bahasa ibundanya dan juga Inggeris.

Bukan saja boleh berlakon tetapi juga menyanyi dan menari. Sejak kecil lagi, Cruz sudah diasuh dengan tarian ballet dan juga jazz.Dek kerana minat yang mendalam terhadap bidang seni persembahan, anak kepada pasangan Eduardo Cruz dan Encarna Sanchez, sanggup menghabiskan masa selama sembilan tahun untuk mempelajari tarian klasik ballet di Spain’s National Conservatory di Madrid dan juga tarian ballet Sepanyol di bawah bimbingan Angela Garido selama tiga tahun.

Tak cukup dengan tarian ballet, Cruz turut mempelajari tarian jazz bersama Raul Caballero dan juga Cristina Kota di kota New York selama empat tahun.

Gemar Cinta di Lokasi

BIARPUN hadir di bumi Hollywood bersama 20 filem serta berbekalkan Anugerah Academy Sepanyol sebagai profil dalam fail seninya, namun nama Cruz hanya meledak di Amerika kerana menjalinkan hubungan dengan dua lelaki terkenal iaitu Tom Cruise dan Matthew McConaughey.

Cruz mengenali Tom sekitar 2001 ketika membintangi filem Vanilla Sky. Manakala percintaannya dengan Matthew terjalin pada tahun 2005, selepas berlakon berdua dalam filem Sahara. Namun jodoh tidak menyebelahi kedua-duanya apabila ikatan yang terjalin berkecai di pertengahan jalan.

Walaupun sedikit kecewa namun Cruz reda dengan apa yang berlaku. Namun begitu, tidak lama berseorangan, hati wanita Cruz dilamar jejaka yang juga pelakon popular, Javier Bardem, yang turut menjadi pasangannya dalam filem Vicky Christina Barcelona.

Walaupun sebelum ini, Cruz pernah melafazkan bahawa dia tidak percaya pada institusi perkahwinan namun apabila bertemu dengan pemuda ini, serta merta pendiriannya berubah. Khabarnya, Bardem sudah pun melamar Cruz sewaktu mereka menghabiskan percutian bersama di Perancis, baru-baru ini.

Biarpun cerita ini masih lagi belum sahih akan kebenarannya namun melihat kepada keserasian yang dimiliki pasangan ini bakal membawa mereka ke alam rumah tangga.

Amat menyayangi kanak-kanak, Cruz pernah dilaporkan berkata dia begitu teringin untuk menimang cahaya mata.

“Saya memang teringin untuk mempunyai anak sendiri dan juga anak angkat. Buat seketika, saya dapat merasakan yang hidup saya tak akan sempurna jika saya tidak mengambil anak angkat,” jelas ruz sewaktu ditemubual majalah Marie Claire edisi Sepanyol, April tahun lalu.

Berita Harian

Kate Winslet Tolak Tawaran Berbogel

28 Feb


AKTRES Britain, Kate Winslet.

Tak cukup seksi untuk majalah ‘Playboy’

WASHINGTON: Aktres yang baru meraih Oscar hasil lakonan cemerlangnya, Kate Winslet, menolak mentah-mentah tawaran pengasas majalah dewasa Playboy, Hugh Hefner, untuk berbogel di muka depan penerbitan itu dengan menegaskan dia tidak cukup seksi Hefner mendedahkan, beliau ingin mendapatkan pelakon yang terkenal menerusi filem Titanic itu untuk menjadi penghias muka depan majalah lucah berkenaan seperti yang pernah dilakukan aktres Marilyn Monroe, Sharon Stone, Pamela Anderson dan Charlize Theron.

Bagaimanapun, bintang yang baru menang anugerah Oscar menerusi filem The Reader, berusia 33 tahun itu menolak tawaran berkenaan.

“Ini bukan satu cadangan yang menarik minatnya,” kata web Contactmusic memetik beliau sebagai berkata.

Apabila laman web TMZ.com memberitahu Winslet mengenai tawaran Hefner, dia menjawab: “Saya tidak tahu apa yang awak cakapkan. Saya tidak percaya langsung.”

Akhbar The Sun pula memetik Hefner sebagai berkata: “Memang kami berminat dengan Kate. Industri penerbitan majalah dewasa ketika ini adalah satu pasaran yang kompetitif, lebih dari sebelumnya, dan penyertaan Kate amat-amat dialu-alukan.”

Kate yang berbogel dalam banyak filemnya sebelum ini termasuk The Reader, baru-baru ini berjanji tidak melakonkan adegan itu lagi kerana bimbang diambil berlakon untuk tujuan itu semata-mata.

Walaupun tidak takut berbogel di depan kamera, pelakon kelahiran Britain itu bimbang lambat laun akan merosakkan reputasinya.

“Saya tidak mahu dikenali sebagai aktres yang cuma tahu menanggalkan pakaian,” katanya. Aksi bogel Kate boleh disaksikan dalam lebih 10 filem termasuk filem yang menaikkan namanya, Titanic . – Agensi

Berita Harian

J-Lo, Suami Saman Pengeluar Kereta Sorong

28 Feb

LONDON: Penyanyi Jennifer Lopez dan suaminya Marc Anthony menyaman syarikat Silver Cross lebih AS$30 juta (RM105 juta) selepas mendakwa firma pengeluar kereta sorong bayi itu tidak meminta izin menggunakan gambar pasangan itu dan anak kembar mereka.

Pasangan itu menyaman syarikat berkenaan kerana melanggar hak cipta di mahkamah persekutuan dan mendakwa ia menggunakan gambar mereka bersama anak dalam kereta sorong bayi Silver Cross Balmoral Pram Carriage keluaran syarikat itu.

Mengikut dokumen saman difailkan di Mahkamah Daerah Los Angeles Amerika, J-Lo dan Anthony mengemukakan lapan pertuduhan ke atas Silver Cross kerana menggunakan gambar pasangan itu dan anak mereka secara online tanpa kebenaran.

Antaranya, kesalahan maklumat, penyiaran maklumat palsu, pelanggaran hak cipta dan pelanggaran undang-undang sivil.

Syarikat itu didakwa mengetahui dan sengaja menyalahgunakan nama, imej dan gambar J-Lo bersama Anthony untuk memasarkan kereta sorong bayi di seluruh dunia.

“Silver Cross turut didakwa memanipulasikan reputasi pasangan itu sebagai selebriti di seluruh dunia.

“Imej ditunjukkan tidak langsung menggambarkan seolah-olah J-Lo dan Anthony mengaku dan menyokong syarikat pembekal beribu pejabat di Britain itu,” kata kenyataan dokumen itu.

Selain saman AS$5 juta (RM17.5 juta), pasangan itu turut menuntut syarikat berkenaan membayar kos peguam dan keuntungan daripada jualan produknya. – Agensi

Berita Harian

HK Actress Cecilia Cheung Lashes Out At Edison Chen Over Sex Photos

28 Feb

HONG KONG: A Hong Kong actress at the centre of an Internet sex photo scandal has broken her silence about the incident, lashing out at the pop star who took the compromising pictures, a report said Saturday.

Cecilia Cheung, one of several local celebrities shown in the photos with Hong Kong-Canadian actor and singer Edison Chen, said he had never apologised, and that she was still reeling from the ordeal a year later.

“He has never apologised to us personally,” Cheung told iCable in an interview broadcast late Friday, according to a report in the English-language South China Morning Post.

“He should at least have called us to say sorry if he genuinely admitted his mistake.”

She added: “The photos are still circulating online. How can we live a healthy and happy life? How can we put ourselves back on our feet?”

The photos — showing Chen in compromising positions with various celebrities including Cheung, Canto-pop star Gillian Chung and former actress Bobo Chan — became an Internet sensation when they were posted a year ago.

Cheung said she decided to break her silence after Chen gave evidence earlier this week in a Canadian court in the case of Sze Ho-Chun, a computer technician charged here with illegally posting the explicit photos online.

The 28-year-old Chen for the first time identified Cheung, Chung and Chan in the Vancouver court as some of the women in the photos, but said later outside court he wanted to “protect” them and that they had “suffered enough,” the Post reported.

Cheung, also 28, angrily retorted: “You should not have come out (now)… saying one thing but doing another in a bid to win the public’s forgiveness whilst hurting us.”

Chen, one of Asia’s biggest stars in film and music, saw his career destroyed by the appearance of hundreds of the sex photos, which caused a storm in celebrity-obsessed but culturally conservative Hong Kong.

The scandal forced him into early retirement and sent him fleeing to his childhood home of Canada.

– AFP/yt

Channel News Asia

Tragedi Lesen Terbang

28 Feb

Oleh Fudzail

Ini Dubai, Bukan KL

“Mahalnya belanja untuk ambil lesen kereta!”

Mat Ju terpinga-pinga.

“Sampai empat ribu dirham?”

Mat Jar ketawa. Reaksi biasa daripada pendatang baru ke bumi Dubai. Memang sesuatu yang biasa untuk terkedu apabila mendengar jumlah besar sebegitu hanya untuk mendapatkan sekeping lesen memandu.

Mat Ju masih menggeleng-geleng kepala. Fikirannya berkecamuk. Dia baru seminggu tiba di Dubai dan masih tinggal di hotel yang disediakan majikan. Visa pemastautin pun belum dicop di pasport. Masih dalam proses di Jabatan Imigresen Dubai. Masih bertaraf pendatang asing tanpa izin.

“Lesen Malaysia tidak laku macam lesen Singapura di sini. Kalau lesen memandu Singapura terus boleh ditukar dengan lesen Dubai. Macam juga kalau kau rakyat UK, USA, Australia, New Zealand dan negara-negara orang putih yang dikatakan negara maju dan mempunyai lesen memandu negara-negara tersebut!”

“Kenapa lesen memandu Singapura boleh ditukar dan kenapa lesen memandu Malaysia tidak diterima? Bukankah kedua-duanya memandu di sebelah kanan dan mewarisi sistem British? Bukankah Singapura dulu pun di bawah Malaysia?”

Mat Ju terus bertanya untuk memuaskan hati yang masih panas dengan isu Batu Putih. Lagipun, dia sudah merancang mahu membeli sebuah kereta mewah sport yang lama diidamkan sejak di bangku sekolah. Sesuatu yang tidak mungkin kalau dia masih bekerja di tanah air melainkan dia menang loteri atau empat nombor ekor.

Harga kereta memang murah di Dubai. Harga petrol juga masih jauh lebih murah walau harga petrol dunia telah meningkat. Bertuah juga Mat Ju untuk datang bekerja di Dubai sebaik harga petrol naik sebanyak 40% di tanah air. Terlepas daripada krisis yang membuatkan ramai gelisah kerana terpaksa mengubah gaya hidup.

“Itu kena tanya Lembaga Jalan Raya dan Pengangkutan Dubai atau RTA. Kau juga kena tahu yang bukan mudah untuk lulus ujian memandu kenderaan di sini. Kau kena ambil dalam minimum 20 jam kelas latihan dan ramai yang kecundang buat kali pertama. Majoriti gagal sehingga ujian ketiga!”

Bertambah murung hati Mat Ju mendengar cerita Mat Jar yang sudah tiga tahun menjadi ekspatriat di Dubai. Bekerja sebagai jurutera komunikasi di sebuah syarikat multinasional. Sudah bertaraf otai di kalangan ramai ekspatriat baru dari Malaysia yang semakin bertambah ramai dengan peluang pekerjaan yang banyak. Pembangunan pesat Dubai terus pesat dan dengan 90 peratus tenaga kerja dari luar, rakyat Malaysia juga semakin ramai mencari rezeki dalam pelbagai bidang, terutama industri penerbangan, perhotelan dan pembinaan.

“Begitu susah mahu lulus?”

“Ya, susah sekali, aku pun kena ambil dua kali ujian. Kau tahu, ramai ekspatriat lain dari India, Pakistan, Filipina, Bangladesh, Afghanistan sampai berpuluh kali. Memang lebih susah daripada ambil Phd! Bertuah kalau kau boleh lulus dengan sekali ambil ujian, boleh buat kenduri!”

Mat Ju terdiam mendengar borak serius Mat Jar yang seakan berjenaka. Sambil melihat ke arah ramai ekspatriat lain Malaysia yang hadir pada majlis sambutan keputeraan ke bawah DYMM Yang Dipertuan Agung. Majlis anjuran pejabat konsulat bersama Persatuan Profesional Malaysia di UAE, yang dikenali sebagai myUAE Pro sahaja.

“Malah, lesen memandu antarabangsa Malaysia pun sebenarnya tidak diterima di sini sebab kita tiada perjanjian dua hala dengan UAE. Lesen antarabangsa yang kaubawa itu boleh dicampak dalam bakul sampah sahaja!”

Kata-kata Mat Jar itu seakan penutup besar yang terus menutup lubang dalam strategi Mat Ju untuk mencari cara lain bagi memudahkan urusan mendapatkan lesen memandu Dubai.

Mat Ju lemas sendiri memikirkan pelbagai perkara sebagai pendatang baru dalam suasana gamat di ruang foyer pejabat konsulat.

Ini sistem RTA Dubai, bukan sistem JPJ

“Buat masa ini kamu kena tunggu minimum tiga bulan sebelum boleh menduduki ujian memandu. Senarai mereka yang menanti memang panjang walau musim panas!”

Mat Ju tekun mendengar penerangan staf yang duduk di meja pendaftaran sebuah sekolah latihan memandu. Staf berasal dari negara India itu, menggeleng-geleng kepala sambil bercakap. Tidak tersenyum dan tidak nampak mesra pelanggan.

Mat Ju cuba memahami setiap patah perkataan yang keluar daripada staf tersebut. Slanga bahasa Inggerisnya memang agak pekat dengan dialek Malayalam. Kena mendengar dengan sepenuh perhatian.

“Bila boleh mulakan latihan pula?”

Tanya Mat Ju sambil sesekali berpaling ke arah pengunjung kompleks beli-belah Mall of Emirates. Terutama setiap ada wanita-wanita gebu, genit dan seksi lalu-lalang. Masih dalam kejutan budaya dengan suasana kosmopolitan Dubai yang tidak langsung menggambarkan suasana dunia Arab. Seakan berada di Eropah atau Amerika.

Apalagi isteri dan anak-anak masih belum tiba dari Malaysia. Bujang senang dan masih mencari rumah sesuai untuk disewa. Masih juga sibuk bertanya warga ekspatriat Malaysia lain melalui yahoogroup malaysian-uae.

Banyak maklumat dan tips yang didapati. Terlalu banyak sehingga kadang-kadang mengelirukan pula. Apalagi dengan bajet daripada elaun perumahan yang tidak begitu cukup berbanding dengan sewa rumah yang begitu mahal. Bantuan dan pertolongan dari komuniti ekspatriat Malaysia memang lebih daripada jangkaan. Sesuatu yang sinonim dengan budaya gotong-royong warga Malaysia.

“Kami akan telefon kamu dalam dua tiga hari ini!”

Staf tersebut seakan endah tidak endah menjawab. Mahu cepat sahaja kerana ramai juga yang beratur di belakang Mat Ju untuk dilayani. Dengan sistem dan proses latihan dan ujian memandu diserahkan kepada sekolah-sekolah latihan memandu swasta, sememangnya menjadi satu bisnes yang cukup menguntungkan.

Melihat layanan yang sedikit kurang memberangsangkan, Mat Jar yang berdiri berhampiran terus mendekati Mat Ju dan staf tersebut. Dengan wajah serius sekali.

“Hello, bila dia akan mula latihan?” Mat Jar bertanya garang.

“Kami akan telefon dalam dua tiga hari!” Ulang staf yang tidak pun memandang ke arah Mat Jar. Sambil tangan memegang henfon dan mata ke arah layar komputer. Terdengar muzik dari henfonnya.

Menyirap terus darah Mat Jar melihat biadabnya staf yang rambutnya ala Shah Rukh Khan.

“Hello, minta maaf, kami ini pelanggan dan telah membayar yuran latihan memandu seperti yang diminta. Yuran bukan murah. Kenapa tidak boleh beritahu terus jadual, supaya senang dia membuat perancangan! Bukankah kamu ada sistem, apa komputer depan muka hensem kamu itu hanya untuk chit-chat dan melayar internet sahajakah?”

Staf tersebut terperanjat dengan reaksi tiba-tiba Mat Jar yang sudah kuat bersuara. Menampakkan kegeramannya. Mata Mat Jar memandang dengan tajam. Beberapa orang yang beratur, sama terperanjat.

“Hello, kami dari Malaysia tahu dan kami ada lesen memandu dari UK dan USA, sudah berpuluh tahun memandu kereta serata dunia, kamu jangan ingat kami macam kawan-kawan kampung kamu kah!”

Terkejut juga Mat Ju melihat Mat Jar melatah. Suara berintonasi sombong. Emosional di tengah khalayak yang memerhati. Bukan tenang seperti biasa.

“Dia orang ini memang tidak boleh kasi muka. Kita kena tunjuk yang kita bukan dari negara dunia ketiga macam dia orang. Kita dari Malaysia, salah sebuah negara Islam yang maju dan kita bukan taraf buruh. Kita semua profesional yang ada ijazah!”

Mat Jar bercakap dalam bahasa Melayu sambil staf tersebut cepat-cepat mengetuk paparan kekunci. Nampak pengalaman Mat Jar dalam menangani kerenah staf kaunter yang begitu buruk, sesuatu yang cepat dipelajari oleh Mat Ju dalam kehidupan baru di Dubai.

Ini BMW, bukan Proton

“Murah benar kereta di sini, geram sungguh. Tidak sabar mahu membeli!”

Mat Jar memang cukup suka menatap lampiran iklan kereta terpakai dalam akhbar. Hatinya cukup geram memikirkan yang sekolah memandu masih belum menelefon walau setiap kali dihubungi akan berjanji untuk menetapkan tarikh latihan pertama.

“Jangan fikir lagi. Kalau sudah suka kaubeli sahaja!” Saran Mat Ju pendek.

Sekali lagi Mat Jar terkejut. Dia ternampak iklan kereta Proton Wira terpakai. Lebih murah daripada harga Kancil. Malah kereta Honda, Toyota, Nissan juga lebih murah daripada kereta Proton. Sesuatu yang menyebabkan dia jadi lebih teruja.

“Tetapi lesen memandu belum dapat!”

“Tidak perlu tunggu lesen memandu, kau boleh beli kereta, cuma kau tidak boleh memandu di jalan raya!”

“Betulkah begitu?”

Mat Jar mengangguk-angguk.

“Kalau begitu, boleh kaubawa aku ke kompleks kereta terpakai hujung minggu ini?

“Tentu sahaja. Kita pergi selepas main bola Jumaat petang, aku boleh bawa kau ke sana kerana aku pun mahu jual kereta lama itu!”

Mat Ju terasa cukup gembira. Terlupa seketika kemarahan meluap terhadap sekolah memandu dan sistem ujian memandu di Dubai.

Mendengar maklumat terkini daripada Mat Jar yang menceriakan, mata Mat Ju terus terpaku pada kereta sport BMW yang sudah lama diidami. Harganya separuh daripada harga jualan di Malaysia. Dan dia tidak perlu AP untuk membelinya.

Ini Polis Dubai, Bukan PDRM

“Kau boleh tolong aku?”

Suara Mat Ju agak gementar. Percakapan dengan Mat Jar pun agak kelam-kabut. Dia panik sekali dalam suasana sebegini. Sehingga ayat juga tidak tersusun dan tunggang terbalik.

“OK, jangan risau, aku datang sekarang ke situ!” Jawab Mat Jar di telefon. Lega Mat Ju dalam kepanasan tengah hari di kawasan perumahan Mirdiff. Memang Mat Jar tidak akan menghampakan permintaan kecemasan daripada seorang sahabat satu negeri. Sahabat akrab semenjak menjadi geng bujang di Dubai. Mat Jar memang masih bujang manakala Mat Ju masih belum membawa keluarga.

“Jangan panggil Polis dulu, sekejap lagi kawan saya datang!” Mat Ju memujuk lelaki Filipino yang memeriksa dengan teliti kesan geselan di keretanya. Calaran yang tidak begitu teruk, tetapi agak dalam dari sebelah tepi pintu pemandu. Kereta sport Mat Ju pula tidak mengalami apa-apa kerosakan. Kereta mahal katakan berbanding dengan kereta Korea yang digeselnya.

“Saya perlu tuntut insuran untuk memperbaiki kerosakan ini, jadi kena ada laporan pihak Polis!” Lelaki Filipino bernama Alex itu berkata perlahan. Seakan memahami gelora dan kerisauan dari wajah Mat Jar.

“Saya faham keperluan itu, tetapi saya tiada lesen memandu tempatan. Yang ada lesen memandu antarabangsa!”

“Lesen Malaysia tidak boleh ditukar ke lesen Dubai kah?” Tanya Alex yang nampak begitu ramah. Mat Jar menggeleng. Isu yang sudah tidak perlu diperkatakan kerana memang tidak akan menyelesaikan masalahnya sekarang.

Alex tersenyum melihat wajah Mat Jar yang panik. Pada mulanya Alex menyangka Mat Jar sama-sama datang dari kepulauan Filipina. Menegur dalam bahasa Tagalog. Memang kebanyakan warga Filipina ramah dan mesra. Cepat menegur kalau disangka sesiapa adalah sama warga Filipina.

“Jangan risau, saya faham dan kita tunggu kawan kamu datang, lagipun kerosakan ini kecil sahaja dan bukan kesalahan kamu. Kamu hanya mahu mengelak kereta pacuan empat roda yang tiba-tiba mencelah… biadap sungguh!”

Sejuk Mat Jar mendengar kata-kata daripada Alex. Kalau kereta yang dilanggarnya kepunyaan warga Emirati atau ekspatriat lain, sudah tentu ada pertengkaran. Boleh bawa bergaduh. Tetapi apa pun dia memang bersalah kerana memandu tanpa lesen sah Dubai.

Kereta pacuan empat roda mewah yang cuba dielakkan itu mungkin dipandu oleh seorang pemuda belasan tahun Emirati dan terus lesap ke arah lebuh raya Emiriyah. Tidak sempat mengambil nombor pendaftaran. Kalau sempat pun, mungkin tiada gunanya juga sebab mereka kadang-kala mengatasi undang-undang tempatan.

Peluh jantan yang menitik seluruh tubuh Mat Jar bukan sahaja kerana kepanasan musim panas, malah kepanasan daripada bayangan yang menghantui. Fikirannya tidak henti membayangkan kalau dia disaman polis. Bukan sahaja jumlah saman untuk dibayar, tetapi dia juga boleh ditahan dalam lokap kerana memandu tanpa lesen Dubai. Satu kesalahan besar.

Lebih daripada itu, dia baru mendapat rumah sewa dan baru selesai melihat rumah di kawasan berhampiran tempat kemalangan. Keluarganya akan sampai dua tiga hari lagi dan malam itu dia akan bersama-sama untuk makan malam dengan anak-anak Kelantan di sebuah villa di perumahan ekslusif Arabian Ranches. Sudah lama tidak merasa nasi kerabu dan kuih lompat tikam. Sudah lama juga tidak berborak ramai-ramai dalam loghat Kelantan.

Melihat kereta yang perlahan untuk melihat apa yang terjadi, Mat Jar kembali terasa panik. Terfikir kalau dia masuk lokap, boleh sahaja dia dibuang kerja. Dia baru dua bulan bekerja di Dubai. Baru mendapat visa pemastautin. Belum lagi menduduki ujian memandu. Belum juga mandi hadas di Dubai.

Masuk lokap bukan satu pilihan terbaik. Bayangan lokap dan banduan terus menambahkan kelajuan degupan jantung. Bersama-sama peluh jantan tidak henti membasahi seluruh tubuh yang nampak semakin gempal sejak mengenal nasi beriani kambing.

Lebih panik membayangkan kalau tiba-tiba polis singgah sebelum Mat Jar tiba!

Ini Cerita Benar, Bukan Fiksyen

“Rilekslah. Nampak kau risau sahaja untuk ambil ujian memandu, kenapa?’

Mat Jar bertanya sambil menghirup teh tarik di restoran makanan yang terletak di kawasan membeli-belah Naif. Isteri dan anak-anak Mat Ju masih sakan membeli-belah dengan pelbagai jualan hebat sempena Festival Musim Panas Dubai. Potongan harga dan tawaran cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menambahkan kemeriahan.

Naif terus sibuk dan gamat dengan pengunjung walau cuaca hampir melebihi 40 darjah Celcius. Pelancong dan orang tempatan bercampur-baur. Semuanya seronok menabur wang.

“Kalau gagal kali pertama pun tidak mengapa, ambil lagi. Biasalah kalau gagal kali pertama di Dubai. Majoriti seperti itu dengan sistem kuota dan untung rugi bisnes pelesenan!”

Sambung Mat Jar sambil membelek kamera digital canggih yang baru dibelinya. Dia sama-sama menyertai kelab fotografi ekspatriat Malaysia dan aktif mengambil foto landskap Dubai.

“Sebenarnya aku ada cerita benar mengenai lesen memandu yang kini menghantui aku di Dubai! Isteri aku sendiri pun tidak tahu mengenainya!” Perlahan Mat Ju bercakap, seakan tidak mahu orang lain mendengar. Walaupun mereka yang lain tidak memahami Bahasa Melayu yang dipertuturkan mereka berdua.

Mat Jar menoleh ke arah Mat Ju yang masih memegang akhbar dengan tajuk utama mengenai statistik kemalangan jalan raya yang semakin meruncing di Dubai. Fenomena yang membimbangkan pihak berkuasa kerana majoriti yang kehilangan nyawa daripada kemalangan jalan raya adalah orang Emirati, walau mereka hanya minoriti di negara sendiri.

Mat Ju menarik nafas sedalam-dalamnya. Kemudian melepaskannya dengan penuh perasaan.

“Aku memang takut untuk buat ujian memandu sebab…!”

Sekali lagi Mat Jar rasa saspens apabila Mat Ju terhenti. Seperti babak antiklimaks dalam suasana yang janggal dalam sebuah drama TV.

“Sebab lesen memandu Malaysia yang aku ada pun sebenarnya, lesen terbang!”

Biodata

FUDZAIL nama pena bagi Fudzail Mohd Nor, ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terbabit dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain untuk prasarana teknologi maklumat dan telekom Emiriyah Arab Bersatu. Kini menguruskan projek pembinaan prasarana utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com dan kerjadubai.blogspot.com.

Berita Harian