Roda Impian Kembali Lagi

3 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

KIERAN dan Fouziah serasi.

Kieran dan Fouziah Gous kendali program permainan popular di kaca TV

DIPERKENALKAN dalam versi tempatan sejak lebih sedekad lalu, Roda Impian yang diadaptasi daripada program permainan popular, Wheel Of Fortune merempuh halangan masa bahkan mencipta auranya yang tersendiri menerusi dua pengacaranya, Halim Othman dan Allahyarham Hani Mohsin Hanafi.

Populariti yang dicipta, terutama pengacara pertamanya, Halim Othman belum terhakis dan kerana itu kata pengacara barunya, Maskiran Jakiran atau lebih akrab disapa Kieran, peserta masih tersasul ketika memutar roda dengan menyebut: “Saya putar Halim”.

Meskipun Roda Impian bukan rancangan pertama yang dikendalikannya kerana pernah muncul sebagai pengacara untuk program sukan tetapi ia tetap memberikan Kieran debaran kencang.

“Saya agak takut kerana nama yang pernah membawa program ini seperti Halim dan arwah Mohsin cukup sinonim dengan Roda Impian.

“Bukan perkara mudah untuk mengalihkan minda masyarakat menerima sesuatu yang baru namun saya percaya, lama kelamaan penonton akan terbiasa dan menerima cara saya ketika mengendalikan Roda Impian,” katanya.


KIERAN dalam satu segmen istimewa bersama penyampai Hot FM.

Ditemui pada majlis pelancaran musim terbaru Roda Impian yang akan menemui penonton TV3 mulai 16 Februari ini, Kieran berkata, dia tidak menyangka peluang seperti itu pantas mendekatinya selepas menyertai keluarga Media Prima Berhad, tiga bulan lalu.

Menolak persepsi dia menyertai keluarga besar stesen gergasi itu kerana pelbagai tawaran lumayan menantinya, Kieran berkata, perkara itu tidak pernah terlintas di sudut fikirannya ketika melepaskan kerusi selesanya di Era.

Seperti insan lain, Kieran ingin mempelbagaikan kebolehan namun sesekali langkah itu terhalang apabila memikirkan maklum balas orang ramai.

“Industri penyiaran sedang melalui proses evolusi. Berbeza dulu apabila penyampai radio jarang mendapat peluang muncul di kaca televisyen tetapi hari ini, semuanya sudah berubah.


FOUZIAH makin selesa mengendalikan skrin huruf teka kata Roda Impian.

“Pendedahan yang diberikan kepada penyampai radio menerusi akhbar atau TV banyak membantu untuk memperkenalkan lagi stesen, jadi tiada salahnya saya menerima tawaran ini kerana ia juga dapat mengukuhkan lagi populariti Hot FM,’ katanya.

Menyedari cabaran besar yang perlu dipikulnya, Kieran melakukan banyak persediaan dan dia bernasib baik kerana pasukan produksi memberikan rujukan sebelum dia melangkah ke set rakaman.

“Saya selesa di set Roda Impian cuma agak bimbang memikirkan persepsi penonton. Apakah mereka boleh menerima saya yang berbeza daripada apa yang didengar menerusi radio? Itu yang merisaukan,” katanya.

Roda Impian akan disiarkan untuk 65 episod juga menemukan penyampai radio berusia 33 tahun itu dengan pelakon jelita, Fouziah Gous.

Pertama kali digandingkan, akui Kieran, pada permulaan mereka memerlukan ruang untuk mencipta keserasian. Hanya selepas beberapa episod, mereka mula memahami rentak masing-masing dan itu membantu melicinkan perjalanan rakaman.

“Kami hanya bertemu ketika penggambaran episod pertama hendak dimulakan. Jadi untuk mencari keserasian memerlukan masa. Tapi kami saling membantu untuk memastikan Roda Impian kekal unggul sebagai antara program permainan popular di TV,” katanya.

Cabaran berbeza buat Fouziah

TUGASNYA hanya berdiri di sudut pentas sebelum menyentuh skrin huruf teka kata yang diminta tepat peserta, ramai beranggapan ia kerja mudah apatah lagi untuk Fouziah yang sudah biasa bermain dengan kamera.

Bagaimanapun kata Fouziah, itu semua hanya penilaian mata kasar kerana di set rakaman dia turut mempunyai cabarannya sendiri.

“Saya perlu fokus dan mendengar isyarat selain berpandu kepada arahan yang diberikan Kieran kerana tidak nampak cahaya skrin yang menyala.

“Ditambah dengan pakaian yang glamour, sesekali saya agak terganggu namun saya terpaksa berbuat selamba walaupun ada ketika pakaian yang diberi menyukarkan saya bergerak di set.

“Pernah juga beberapa kali penggambaran terpaksa dilakukan semula kerana berbuat silap tetapi saya tidak boleh bersikap sambil lewa.

“Bayangkan dalam sehari enam rakaman terpaksa disempurnakan, jika asyik berbuat silap bila semuanya akan selesai?,” katanya.

Fouziah berkata, ketika menerima tawaran pada akhir tahun lalu, dia meminta pihak produksi memberikannya ruang untuk berfikir.

Dia juga sempat bertanyakan Siti Shahrizah atau Eja yang pernah menggalas tanggungjawab itu dan kata Fouziah, dia menerima tawaran itu atas beberapa sebab.

“Saya tidak nafikan bayaran yang diterima memang memuaskan. Semua kita bekerja untuk hidup bukan? Saya bersetuju bukan kerana mahu mencari populariti atau glamour tetapi ini adalah satu tanggungjawab.

“Untuk apa saya terima jika saya tidak gembira dengan kerja yang dibuat. Saya tidak mahu paksa diri sekali pun tawaran yang diberikan lumayan. Tetapi dalam Roda Impian, saya percaya kedua-dua pihak akan mendapat faedahnya,” kata Fouziah matang.

Sesuatu yang membanggakan Fouziah, sekali pun Roda Impian hanya sebuah program permainan namun ia tetap menyuntik elemen pengetahuan malah membawa budaya tempatan menerusi pakaian yang digayakannya.

Info Roda Impian:

KEMBALI menemui penonton di TV3 bermula 16 Februari ini, setiap Isnin hingga Rabu jam 5.30 petang.

Menemukan gandingan pengacara baru, Kieran dan Fouziah Gous untuk memberi suntikan segar kepada program yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records ini.

Bersiaran untuk 65 episod, rakaman Roda Impian dimulakan sejak 10 Januari lalu selama 20 hari.

Setiap minggu, tema berlainan ditampilkan seperti minggu bersama selebriti, penyampai radio, personaliti TV3 , Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru dan ulang tahun ke-25 TV3.

Antara artis tempatan yang menjayakan program ini ialah Lydia Ibtisam, Kartina Aziz, Shamsul Ghau Ghau, Naz, Azhar Sulaiman, Zizan Nin, Maria Tunku Sabri, Farawahida, Zed Zaidi dan Awal Ashaari.

Tiga peserta yang mendapatkan jumlah wang tertinggi bersaing pada pusingan terakhir yang menawarkan hadiah bernilai hampir RM100,000 termasuk kereta Suzuki Swift Sport 1.6 Auto.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: