Tak Niat Tampil Seksi

6 Feb

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap

JIKA sebut saja nama Dayang Nurfaizah Awang Dowty, pasti penampilannya mencuri perhatian ramai. Ini kerana ada beranggapan gadis hitam manis dari Sarawak itu berimej seksi dan tidak kurang yang menganggapnya ikon fesyen masa kini.

Namun, apa saja yang dikatakan mengenai dirinya walaupun perkara negatif, Dayang tidak pernah melenting atau cepat melatah. Baginya, itu hak masing-masing dan pada Dayang kebanyakan pakaian ‘seksi’ digayakan kerana keselesaan.

Penyanyi yang mula popular dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta berkata, dia tidak kisah apa tanggapan orang mengenai fesyen pilihannya. Baginya, asalkan sesuai dan selesa sudah. Seksi atau tidak, itu penilaian masing-masing.

“Setakat ini, saya tidak pernah berasakan pakaian dipakai seksi. Pada saya, apa yang digayakan biasanya mengikut tema majlis dihadiri. Jadi, apa saja orang hendak cakap mengenai saya seksi, terpulang. Apa yang pasti, ia tidak begitu.

“Saya tidak berniat untuk tampil seksi. Bahkan, bagi saya istilah seksi bukan pada ‘pakaian’ tetapi bagaimana pembawaan imej diri seseorang itu. Dalam soal ini, keluarga saya tidak pernah menegur saya seksi kerana mereka tahu kebenarannya.

“Malah, saya juga bila ada peminat yang menegur diri seksi, lebih senang membiarkan. Saya tidak suka memberi penjelasan kerana jika bersuara itu bermakna ada tindak balas. Maksudnya, saya melayan apa yang mereka kata dan ini tidak bagus,” katanya.

Apapun, Dayang berkata, dia pelik kerana kebanyakan yang memberi komen dirinya seksi datangnya daripada golongan muda sebaliknya peminat yang berusia di kalangan ‘makcik-makcik’ pula memuji penampilannya sangat menarik.

Katanya, atas sebab itu biarlah apa orang hendak mengklasifikasikan fesyen pilihannya. Menurut Dayang, dia malas hendak melayan kerana lebih senang memberi fokus pada karier. Paling penting, bidang nyanyian diceburi masih meraih sokongan.

Ditanya mengenai ke mana dia ‘menghilang’ selama ini, gadis berusia 28 tahun itu berkata seperti biasa, tetap aktif menyanyi. Katanya, jadual nyanyian sangat padat dengan memenuhi persembahan majlis makan malam cuma, sesi fotografi saja tiada.

“Bukan saya ‘melarikan’ diri daripada media tetapi saya lebih suka menghadiri sesi fotografi bersama akhbar atau majalah apabila ada cerita baru. Jadi, sekarang ini saya muncul kerana ada perkembangan pada karier untuk dikongsi bersama peminat.

“Bagi 2009 ini, jadual kerja saya dari Februari hingga April sudah penuh. Jika tiada aral, ‘live’ album yang dirakam ketika sambutan ulang tahun kelahiran di Planet Hollywood, Kuala Lumpur, tahun lalu akan berada di pasaran pertengahan Februari ini.

“Rakaman dibuat dalam video cakera padat (VCD) itu sangat istimewa kerana ia menampilkan lagu popular saya daripada album pertama hingga keenam. Selain itu, saya juga akan menyanyikan lagu untuk novel baru, Luka tulisan Tris Zainal Abidin,” katanya.

Sudah 10 tahun menjadi anak seni, Dayang berkata apa yang menarik minatnya menyanyi lagu Luka dan Losing Me ciptaan khas Tris itu ialah Luka satu-satunya novel pertama di Malaysia mempunyai album runut bunyi. Katanya, ia sungguh hebat.

“Watak utama novel itu mengenai diri saya. Tris menjadikan saya sumber inspirasinya dan ia sesuatu yang membuat diri saya amat terharu. Selain itu, Tris juga ada menyumbangkan lagu baru, Pulang untuk album VCD baru saya nanti.

“Saya dengan Tris sudah selalu bekerjasama. Oleh itu, ini adalah penghargaannya pada saya. Bukan itu saja, secara tidak langsung saya membantu mengembalikan minat membaca di kalangan muda yang dilihat kini semakin berkurangan terutama di kalangan anak muda Melayu.

“Jadi, dengan adanya album runut bunyi dihasilkan secara tidak langsung sambil membaca mereka (peminat novel) boleh mendengar lagu. Baru lebih seronok kerana hiburan dan manusia sangat sinonim,” katanya.

Kata Dayang lagi, mengikut perancangan, novel luka itu akan dilancarkan 12 Mac ini. Namun, sebelum itu dia lebih dulu perlu merakamkan dua video klip lagu di Rainforest Resort, Pulau Banding, Hutan Belum, Perak.

Akui Dayang, lokasinya cukup menarik kerana sudah pergi meninjau lokasi itu baru-baru ini.

“Tidak pernah saya sangka, negara ini memiliki hutan yang indah walaupun berasal dari Sarawak. Sepanjang berada di Hutan Belum itu, saya sangat dekat dengan alam semula jadi.

“Pemandangannya cukup indah dan antara yang menarik perhatian di hutan itu sebenarnya mempunyai 10 spesis burung enggang yang sering dikaitkan dengan Sarawak. Saya juga berpeluang melihat bunga Rafflesia kembang dan melawat perkampungan orang asli.

“Namun, hendak memasuki Hutan Belum bukannya mudah. Saya terpaksa melalui beberapa beberapa post tentera untuk pemeriksaan. Selain itu, apa yang lebih memeranjatkan bila mana ada rumah orang asli mempunyai Astro dan kumpulan muzik sendiri.

Katanya dengan pengalaman itu diharapkan dapat memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia bahawa negara kita memiliki alam semula jadi yang indah. Katanya, baru dia sedar kenapa orang luar negara suka datang membuat kajian di sini.

Selain itu, dalam diam Dayang juga dipilih salah seorang daripada 20 artis seluruh dunia terbabit menghasilkan album untuk syarikat antarabangsa, Global One Music yang akan dilancarkan April depan. Pemilihan Dayang atas cadangan penghibur terkenal Indonesia, Ruth Sahanaya.

“Pada mulanya saya ditawarkan menyanyi dua lagu untuk album ini tetapi disebabkan pihak terbabit suka dengan vokal ditampilkan, mereka memberi tiga lagu lagi. Kesemua lagu diberi dinyanyikan dalam bahasa Melayu mengikut negara diwakili.

“Dalam soal ini, saya bersyukur dengan rezeki yang Tuhan beri. Bahkan, sudah menjadi cara saya suka membuat perancangan perlahan tetapi mampu bertahan. Saya tidak mahu tergesa-gesa membuat pengumuman sebelum ada pengesahan,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Dayang lagi, bagi peminatnya yang mahu mengetahui secara lanjut mengenai projek album bersama Global One Music berkenaan, boleh melayari laman web, http://www.globalonemusic.com. Katanya dia gembira dengan apa diperoleh.

PROFIL:

NAMA: Dayang Nurfaizah Awang Dowty

PANGGILAN KOMERSIAL: Dayang Nurfaizah

TARIKH LAHIR: 20 Julai 1981

USIA: 28 tahun

ASAL: Kuching, Sarawak

KARIER: Penyanyi

GENRE LAGU: Pop, R&B

ALBUM: Dayang Nurfaizah (1999), Seandainya Masih Ada Cinta (2001), Di Sini Bermula (2002), Hembusan Asmara (2002), The Best Of Dayang Nurfaizah (2003), Dayang Sayang Kamu (2004), Kasih (2006) & Dayang 2007 (2007)

ANTARA LAGU POPULAR: Seandainya Masih Ada Cinta, Dayang Sayang Kamu, Di Sini Bermula, Erti Hidup, Hakikat Cinta, Ikatan Kita, Jangan Datang Lagi, Kembalilah Sayang & Pintaku Yang Terakhir

ANTARA PENCAPAIAN: Juara Bintang Remaja Asli 1996, Juara Golden Teen Search 1997, Juara Bintang Remaja 1997, Pemenang Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2001 (Seandainya Masih Ada Cinta) & Juara Bintang Penghibur Hiburan Minggu Ini (HMI) 2001.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: