Intai Peluang Di Indonesia

7 Feb

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap

BAKAT nyanyian Nurshahila Amir Amzah, 19, atau Shila tidak perlu disangkal lagi. Shila bukan saja diminati disebabkan kelunakan suara dan bakat dalam seninya, malah anak gadis pelakon dan penyanyi terkenal, N D Lala juga mencatat pencapaian membanggakan.

Anugerah Emas sempena Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) yang diadakan di Pulau Pinang, April tahun lalu selepas muncul naib juara program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua memberikan laluan Shila dalam kerjaya nyanyian lebih mudah.

Tidak dinafikan Shila semakin mencipta nama dalam dunia seni tanah air dan bakal tampil dengan album sulung tidak lama lagi di bawah syarikat rakaman Monkey Bone. Bakat seni Shila turut mendapat perhatian Unilever Holdings Sdn Bhd untuk melamarnya sebagai duta jenama ais krim popular, Wall’s Cornetto.

Shila turut digandingkan dengan kumpulan dari Indonesia, Ran yang dianggotai Anindyo Baskoro (Nino), Rayi Putra (Rayi) dan Astono Andoko (Asta) untuk menjayakan kempen Tunjukkan Cintamu Wall’s Cornetto.

Katanya, dia berbesar hati untuk sama-sama menjayakan program itu kerana turut berpeluang menjayakan iklan dan muzik video bersama Ran untuk lagu Tunjukkan Cintamu.

“Ini satu pengalaman baru buat saya. Sebelum ini, saya tidak pernah berpeluang berduet dengan mana-mana artis. Kesempatan yang diberikan ini amat saya hargai.

“Banyak pengalaman menarik yang saya lalui sepanjang mengikuti rakaman iklan selama dua hari di Bangkok seterusnya sehari di Jakarta penghujung tahun lalu.

“Saya bertuah kerana dipilih menjayakan kempen seterusnya dilantik sebagai duta jenama ini. Tawaran yang dihulurkan pada tahun lalu sememangnya sukar ditolak. Malah bukan semua artis yang dapat mengadakan kolabrasi bersama artis daripada Indonesia.

“Soal popular atau dapat diterima di negara seberang saya tidak kisah. Bagi saya apabila sudah terpilih menjayakan program ini sudah cukup memadai. Setidak-tidaknya ia memberi peluang kepada saya melebarkan sayap ke negara seberang.

“Pada masa sama saya juga dapat bertindak sebagai duta kecil Malaysia di sana,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen terbaru Wall’s Cornetto, baru-baru ini.

Nama Shila mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi, namun Ran dari Indonesia yang dianggotai Anindyo Baskoro (Nino), Rayi Putra (Rayi) dan Astono Andoko (Asta) kurang dikenali. Namun tiga pemuda berbakat ini mula mencipta nama dalam dunia seni di Indonesia selepas tampil single Pandangan Pertama disusuli album pertama, Ran For You Life pada 2007.

Mengulas pandangannya terhadap Ran, Shila mengakui pada mulanya tertanya-tanya mengenai kumpulan itu hingga menyelidik siapa mereka.

“Mula-mula bertemu dengan kumpulan ini saya agak gugup kerana bimbang dan menganggap mereka mungkin tidak mesra atau pendiam. Sebaliknya antara Rayi, Asta dan terutama Nino agak peramah dan lucu ketika menjalani penggambaran iklan dan muzik video berkenaan.

“Lagu Tunjukkan Cintamu ciptaan Ran ditujukan kepada semua individu. Lagu berkenaan juga membawa mesej kepada pendengar supaya tidak memendam perasaan sayang kepada seseorang sebaliknya meluahkan perasaan cinta,” katanya.

Sementara itu, Nino mengakui amat tertarik untuk menyertai program berkenaan memandangkan sudah sebati dengan jenama ais krim itu sejak kanak-kanak lagi.

Katanya, ia ibarat mimpi menjadi kenyataan bagi mereka. Secara tidak langsung ia dapat mendorong kumpulan berkenaan memperkenalkan muzik mereka di Malaysia.

“Secara tidak langsung kami dapat menimba pengalaman berkerja dengan pemuzik daripada luar Indonesia seperti Shila. Ini menjadi landasan pertama untuk memperkenalkan muzik kami di Malaysia. Ia juga satu pengalaman baru buat kami.

“Soal bayaran bukan perkara utama. Yang penting kami juga selesa dan gembira kerana menjadi sebahagian daripada mereka yang menjayakan kempen ini,” katanya.

Bagi Rayi pula, muzik Malaysia dan Indonesia tidak begitu jauh berbeza. Malah memaklumkan pembabitan artis Indonesia dalam mewarnai dunia hiburan tempatan juga agak memberangsangkan seterusnya mendorong mereka untuk mengikut jejak langkah itu.

“Kami mungkin memikirkan promosi album seterusnya terbabit dengan konsert di sini jika diberi kesempatan kelak. Sebelum ini kami, pernah berkunjung ke Kuala Lumpur ketika berada dalam senarai Kumpulan Pemuzik Remaja Terbaik sempena Anugerah Planet Muzik tahun lalu,” katanya.

Kempen yang dijalankan Unilever Holdings Sdn Bhd melalui jenama ais krim Wall’s Cornetto ternyata membuahkan hasil. Selepas mempertemukan bintang remaja dua negara, Dafi dan Gita Gutawa, kali ini giliran Shila dan Ran pula untuk memenuhi kempen Tunjukkan Cintamu.

Pengarah Makanan Unilever Malaysia Sdn Bhd, Joseph Tan berkata, kempen berkenaan menghubungkan anak-anak muda menerusi ekspresi persahabatan secara kreatif.

“Kami mahu menonjolkan jenama ini sebagai ikon kepada persahabatan dan cinta. Menerusi pemilihan artis daripada dua negara yang semestinya mempunyai personaliti menarik, muda dan berdaya saing.

“Dengan adanya kempen ini kami berharap dapat menyediakan saluran yang sesuai bagi generasi muda berkongsi ilmu dan memperlihatkan ekspresi diri mereka menerusi muzik,” katanya.

Pada majlis itu turut diperkenalkan dua perisa baru Wall’s Cornetto, Cornetto Disc Chocolate dan Cornetto Disc Vanilla yang dijual di pasaran pada harga RM2.80.

Kempen berkenaan turut dimeriahkan dengan penganjuran peraduan SMS dan Menang yang bermula 15 Februari hingga 30 April dengan menawarkan hadiah menarik. Wall’s Cornetto juga akan memberi 100,000 kon aiskrim percuma sebagai tanda cinta dan persahabatan sempena Hari Valentine pada 14 Februari ini.

Orang ramai turut dijemput memeriahkan promosi pertunjukan bergerak yang dijalankan di beberapa lokasi terpilih antaranya Berjaya Times Square Kuala Lumpur, One Utama Bandar Utama, Gurney Plaza Pulau Pinang, Jusco Queensbay Pulau Pinang, Plaza City Square dan Plaza Angsana Johor Bharu. Maklumat lanjut layari laman web http://www.cornetto.com.my

Harian Metro

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: