Isla Bangga Jadi Ibu

7 Feb

Susunan Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap

MEMPUNYAI anak perempuan berusia 15 bulan pasti membuatkan kehidupan seharian aktres manis, Isla Fisher, sangat sibuk. Ketika menjaga kerenah anak yang sedang membesar dan memerlukan perhatian daripadanya dan pada waktu sama sibuk memenuhi tuntutan kerja sama ada penggambaran filem dan juga promosi.

Apatah lagi Isla yang mula menjadi tumpuan melalui filem Wedding Crashers bersama Owen Wilson pada 2005, mempertaruhkan lakonan terbaru menerusi filem Confessions Of A Shopaholic yang akan menjengah pawagam pada 12 Februari ini.

Seperti wanita lain yang berhadapan masalah bentuk badan selepas melahirkan, Isla yang menyambut ulang tahun ke-33 pada 3 Februari lalu turut tidak terkecuali hingga berat badannya naik 30 kilogram ketika mengandung. Katanya, dia sangat gembira dengan bentuk badannya sekarang berbanding sebelum ini.

“Saya sebenarnya berasakan diri lebih seksi selepas melahirkan Olive. Walaupun segalanya kelihatan berbeza dan berubah. Lebih penting, saya bangga kerana menjadi wanita sebenar sekarang. Saya kini bergelar ibu dan saya sukakan kehidupan baru sebagai ibu. Kehidupan saya kini sangat bahagia,” katanya.

Isla yang mengikat pertunangan dengan aktor Sacha Baron Cohen pada 2007, baru-baru ini mendedahkan dia juga ingin menurunkan berat badannya yang agak berisi sejak mengandung. Bagaimanapun, katanya, berat badannya turun kerana genetiknya baik bukannya mengikuti latihan keras dengan jurulatih khas.

Katanya, produser Confessions Of A Shopaholic, Jerry Bruckheimer menyediakan jurulatih kecergasan untuk membantunya menurunkan berat badan.

“Kata Jerry, saya bertuah kerana mempunyai genetik yang baik. Sebabnya saya mempunyai satu sikap yang tidak baik dalam soal latihan kecergasan. Saya agak malas hingga terus berhenti apabila terasa sakit atau bosan dengan rutin latihan.

“Malah saya juga suka minum teh dan makan sepotong kek. Sebenarnya perkara itu tidak seharusnya anda lakukan di Hollywood. Tapi saya bangga kerana berjaya kuruskan badan ketika menjayakan Confessions Of A Shopaholic,” katanya.

Dalam Confessions Of A Shopaholic, Isla (sebutannya Eye-Lah) memegang watak Rebecca Bloomwood, berkelulusan tinggi tetapi mempunyai masalah serius kerana gila membeli-belah. Kemudia dia menjadi penulis kolum untuk satu majalah kewangan di Manhattan sebagai penasihat kewangan.

Filem arahan PJ Hogan (pengarah My Best Friend’s Wedding) ini adaptasi daripada novel popular Sophie Kinsella. Ia turut dibintangi Leslie Bibb, Joan Cusack, Kristin Scott Thomas, John Lithgow dan John Goodman.

Apa yang menarik, watak Rebecca jauh berbeza dengan sikap sebenar Isla kerana realitinya Isla tidak suka membeli-belah.

“Memang saya tidak suka membeli-belah dan hanya keluar sekali sekala. Semua ini disebabkan pembantu kedai yang cuba meyakinkan saya membuat pilihan.

“Saya rasa sangat teruk apabila berada dalam keadaan tertekan. Apabila pembantu kedai cuba meyakinkan saya bahawa ia sesuai untuk saya, selalunya saya kecewa dengan hasilnya kerana membuat pilihan yang salah.

“Tapi saya mampu menjiwai watak itu walaupun antara kami berdua sangat berbeza. Bagi saya Rebecca adalah seseorang yang mahu melihat kehidupan di dunia ini sangat indah. Dia mempunyai minat mendalam pada fesyen hingga sanggup membeli pakaian rekaan pereka terkenal menggunakan kad kreditnya sampai melebihi had.

“Dia mendapat kerja sebagai penulis kolum dalam majalah untuk memberi nasihat kepada pembaca mengenai masalah kewangan dihadapi. Bagi Rebecca, ia satu impian menjadi kenyataan tetapi apakah dia mampu

menjadi penasihat kewangan yang baik?

“Waktu sama Rebecca bertemu seseorang yang dicintai. Apakah dia mampu menjalani kehidupan bahagia bersama lelaki dicintai dengan sikap taksubnya membeli-belah?” katanya.

Kata Isla, Confessions Of A Shopaholic memaparkan kisah percintaan, dunia fesyen dan keseronokan hidup. Persoalannya kini, apakah filem ini mampu mencatat kutipan pecah panggung berdasarkan kisah percintaan dan kegilaan membeli-belah sedangkan realitinya masyarakat kini dilanda krisis ekonomi.

“Saya harap penonton gembira apabila menonton filem ini dan menganggap ia sebagai sumber untuk mendapatkan keseronokan walaupun hakikat sebenar kita dalam situasi yang agak buruk,” katanya.

Mengenai babak romantik dalam filem, wanita kelahiran Muscat, Oman ini mendedahkan dia sebenarnya tidak dapat menahan ketawa setiap kali perlu bercium dengan lelaki. Malah perkara sama berlaku apabila dicium tunangnya sendiri.

Katanya, bercium sering membuat dirinya ketawa mengekek sama ada untuk babak dalam filem ataupun dalam kehidupan peribadinya.

“Saya tidak matang kerana masih mengekek setiap kali perlu mencium seseorang. Memang saya tidak boleh menahan ketawa,” katanya.

Kerjaya lakonan Isla paling menyerlah pada 2007 dan 2008 apabila membintangi The Lookout, Wedding Daze, Hot Rod, Definitely, Maybe dan juga meminjamkan suaranya untuk filem animasi Dr. Seuss’ Horton Hears a Who.

Dalam kehidupan peribadi, Isla melangsungkan pertunangan dengan Cohen pada 2007 diikuti kelahiran anak perempuannya, Olive Cohen pada 17 Oktober tahun sama.

Suara Isla juga dipilih untuk memegang watak utama dalam filem animasi pengembaraan terbitan Paramount Pictures, Rango, bersama Johnny Depp dan Abigail Breslin. Filem arahan Gore Verbinski ini dikatakan bakal menjadi tumpuan apabila dijadualkan untuk tayangan pada 2011.

>Profil

Nama sebenar: Isla Lang Fisher

Tarikh lahir: 3 Februari 1976

Tempat lahir: Muscat, Oman

Adik beradaik: Tiga orang (Daniel Fisher, Edwards Fisher)

Bapa: Brian Fisher (Scotland)

Tinggi: 160 sentimeter

Tunang: Sacha Baron Cohen.

Anak: Olive Cohen

Pendidikan: Sekolah lakonan dari Ecole Jacques Lecoq, Paris

Filem: Confessions of a Shopaholic (2009), Dr. Seuss’ Horton Hears a Who! (2008), Definitely, Maybe (2008), Wedding Daze (2007), Hot Rod (2007), The Lookout (2007), Wedding Crashers (2005), Scooby Doo” (2002),

Harian Metro

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: