Borak Paknil: Junjung Kasih Tuanku

8 Feb

paknil@hmetro.com.my

Rap
AMPUN Tuanku! Patik ingin merafak sembah menjunjung kasih atas pengurniaan Bintang Kebesaran Johan Mahkota Wilayah (Darjah Yang Mulia Mahkota Wilayah Pangkat Keempat) kepada patik sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara pada 2 Februari lalu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih buat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique atas pencalonan nama saya bagi kurniaan bintang itu.

Alhamdulillah, rezeki pengiktirafan ini menjadi petanda kerja-kerja dan pencapaian Paknil turut dipantau oleh kerajaan. Selama ini, Paknil fikirkan orang akan mengambil mudah akan kerjaya sebagai pengacara dan juga penggiat di bidang penyiaran ini.

Tak pernah pula terfikir bahawa kerja Paknil akan diiktiraf dan diangkat sebegini rupa sejak Paknil buat keputusan untuk bergiat secara aktif di dalam bidang penyiaran.

Memang Paknil keliru ketika membuat keputusan 19 tahun lalu untuk terjun ke bidang ini. Yalah, Paknil berkelulusan ekonomi. Apabila terjebak ke dunia penyiaran, sedikit sebanyak rasa rugi tidak mempraktikkan apa yang Paknil pelajari di Universiti Malaya.

Rupa-rupanya rezeki Paknil memang di sini dan cepat Paknil jatuh cinta dengan bidang ini. Atas rasa cinta pada tugas inilah Paknil tidak pernah rasa penat dan terlintas untuk mengubah haluan kerjaya.

Sedari awal Paknil merasakan inilah tempat Paknil dan alhamdulillah, sepanjang perjalanan kerjaya Paknil di bidang ini, tidak pernah sekalipun Paknil rasa menyesal.

Bermula sebagai wartawan penyiaran di TV3, Paknil terus mencari ilmu seolah-olah bekerja sambil belajar di stesen TV swasta pertama negara itu. Tak pernah kenal apa itu hujung minggu. Tak pernah tahu apa itu balik awal. Janji kerja kena selesaikan dan tak boleh sambung esok!

Itulah resam Paknil bekerja. Paknil akan selesaikan kerja hari ini juga. Menyimpan kerja sampai esok, maknanya membusutlah lagi tanggungjawab yang menanti.

Suhaimi Sulaiman, Fuad Rahman, Zalina Azman, Wee Yu Li, Noraini, Khatijah Buyong, antara kawan sekerja yang banyak membimbing, terutama di bilik berita TV3. Terima kasih semua.

Sekejap betul waktu berjalan. Dari Fifi (anak sulung Paknil) berusia satu tahun, kini umurnya dah 19 tahun, begitu jugalah usia pembabitan Paknil dalam bidang penyiaran.

Suka atau tidak, Azwan Ali adalah rakan baik Paknil masa mula-mula membabitkan diri dalam bidang glamor ini. Dia yang banyak memperkenalkan Paknil akan asam garam dunia hiburan ketika itu. Yang hak tetap hak. Yang batil tetap batil.

Apa yang berlaku pada hubungan baik ini biarlah ia menjadi rahsia kami. Paknil mahu terus bergerak ke depan tanpa mahu menoleh lagi. Paknil rasa Azwan pun macam itu juga. Paknil tak perlu menjawab lagi soalan mengenai ini dan tidak akan terbakar juga jika direnjis minyak. Insya-Allah!

Banyak pengalaman yang Paknil kutip di sepanjang jalan kerjaya Paknil. Dihina, dicerca, diketawakan, diperlekehkan dan diambil ringan, tetapi tentunya diseimbangkan dengan yang manis. Diiktiraf, diangkat, dijulang, dipuji dan dihargai.

Paknil berdoa pujian manis itu tidak menjadi racun yang bisa akhirnya. Biarlah kesudahan episod kerjaya Paknil disudahi dengan babak indah saja. Itulah doa Paknil.

Menjelang November 2009, Paknil akan memanjat usia 47 tahun. Banyak lagi yang Paknil nak sumbangkan pada tempat tumpah darah Paknil. Mungkin tak seberapa yang boleh Paknil lakukan, tetapi Paknil tetap ingin memberi.

Terbaru pada Disember lalu, di majlis penganugerahan Anugerah TV Asia, Paknil tersenarai antara pengacara pilihan juri untuk memenangi Anugerah Pengacara Hiburan Terbaik Asia! Alhamdulillah dan bersyukur sangat atas pemberian-Nya. Tak pernah terlintas rupa-rupanya boleh berdiri sama tinggi dengan yang lain di pentas Asia.

Terima kasih kepada Astro, tempat Paknil bernaung, kerana mencalonkan Paknil untuk kategori itu melalui rancangan Jangan Lupa Lirik. Sekali lagi jawapan Paknil (mungkin dianggap klise), masa buat rancangan itu hanya inginkan yang terbaik untuk penonton bukan untuk juri anugerah.

Ini semua bonus dalam kerja Paknil. Namun bagi Paknil, bonus paling utama ialah apabila kerja kita mendapat keberkatan-Nya. Mendapat perhatian ramai dan menerima sokongan tak berbelah bagi daripada keluarga tersayang.

Paknil tebalkan saja telinga pada komen negatif di laman forum Internet yang mempersoalkan kredibiliti dan kemampuan Paknil apabila dianugerahkan darjah bintang kebesaran.

Kita ukur baju di badan sendiri. Dan kadangkala tukang ukurnya adalah orang lain. Orang lain itu pula biarlah yang arif. Siapalah Paknil nak memperlekehkan kerja orang dan begitu juga harap janganlah memperlekehkan kerja dan tanggungjawab Paknil.

Bagi Paknil, kata-kata negatif itu juga adalah vitamin yang Paknil telan untuk terus bertahan. Paknil telan saja kutukan pahit mereka sebab bila difikirkan balik, penawar racun pun pahit!

Cuma harapnya mereka yang mencerca Paknil jangan sampai mengaibkan keluarga Paknil. Satu-satunya yang Paknil tidak akan gadaikan untuk kejayaan Paknil. Seperti mana Paknil pernah katakan sebelum ini, perasaan mereka Paknil dahulukan. Itu saja permintaan Paknil.

Sebagaimana ada manisnya dalam perjalanan kerjaya Paknil, begitu juga ada manisnya dalam kenangan kehidupan Paknil sebagai anak jati Kuala Lumpur.

Dilahirkan dan dibesarkan di No 22, Lorong Keramat Dalam 3, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Jalan Raja Muda, Sekolah Menengah Jalan Temerloh dan di Sekolah Tinggi Setapak, Kuala Lumpur. Juga mendapat pendidikan di Fakulti Ekonomi Universiti Malaya, juga di Kuala Lumpur.

Dari jalan tanah merah di depan rumah Paknil satu ketika dulu dan kini berjiran dengan Menara Berkembar Kuala Lumpur. Paknil akan terus tersenyum dan mengelamun mengenangkan kembali zaman kanak-kanak dan remaja Paknil sebagai warga kota asal.

Izinkan Paknil menyebut antara nama yang menghiasi zaman cerita sejarah kenangan Paknil – Uli, Noin, Ayot, Tinat, Bobok, Apek, Ani Gedek, Nani, Ros, Charlie, Cha’ar, Kodin, Didu, Bro, Mi Goreng, Puyu, Gedik, Toyol, Wak Bari, Lek Yem, Wak Jarmin, Makcik Melati, Kak Enon, Abang Rahim, Nenek Jara, Chin, Syawal, Ano dan ramai lagi!

Mereka juga antara nama yang akan Paknil terus semat tanda dan bukti Paknil tak akan pernah lupa asal-usul Paknil. Angkatlah setinggi mana sekalipun. Sanjunglah ke hujung mana dunia sekalipun! Di lorong kecil dan di kampung tengah kota itulah sebenarnya si polan ini bermula.

Tidak akan mampu kemuncak populariti, kecanggihan teknologi, darjah kebesaran, anugerah kemenangan, pangkat dan darjat yang dapat menukar waima melupuskan fakta sejarah bahawa Aznil Haji Nawawi a.k.a Anil a.k.a Konel adalah anak jati Kuala Lumpur! Wassalam.

Harian Metro

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: