Jarum Emas: Ingat Sebelum Kena

8 Feb

Oleh ADAM SALLEH
adam@hmetro.com.my

Rap
KETIKA gawat 10 tahun lalu, tidak janggal kita melihat artis berniaga mi rebus, tauhu bakar atau nasi goreng. Premis makanan ala warung dikenali sebagai ‘Celebrity Corners’ tumbuh satu persatu buat artis mencari wang saku, gara-gara ruang berlakon ‘senak’ kesan ekonomi melanda nusantara ini.

Itu dulu, kini di mana-mana seluruh dunia, masyarakat mula bercakap perihal krisis ekonomi global. Saya tidak pasti apakah penggiat seni di negara kita bersedia untuk menghadapinya?

Kita masih boleh gelak ketawa menghadiri majlis glamor kerana gelombang krisis itu baru tempias saja dirasai di sini, sekalipun sejak Oktober lalu seramai 7,000 orang diberhentikan kerja di Malaysia.

Penganalisis ekonomi meramalkan krisis itu akan kita rasai juga paling lewat pertengahan tahun ini. Saya bukan pakar ekonomi, cuma penulis yang menari-narikan penanya untuk setiap daripada kita beringat-ingat supaya tidak ditempelak kelak, sudah terhantuk baru nak tengadah.

Bukan apa, penggiat seni, sama ada pelakon dan penyanyi, lazimnya golongan yang tulus dalam bekerja atau berkarya. Dek tumpuan sepenuh jiwa dicurahkan pada bidang diceburi, sedikit sebanyak ada di kalangan mereka ‘terlepas pandang’ terhadap krisis global yang melanda dunia.

Hal ini jika dikait, sudah pasti pihak persatuan menjadi sasaran, tetapi tidak mengapa kerana mutakhir ini kalangan presiden persatuan seni kita tidak menang tangan dengan pelbagai isu, kempen, mencari dana untuk rakyat Palestin tidak terkecuali Mas AF2 pula buat hal. Jadi, biar orang media main peranan.

Ingat mengingat sudah menjadi tanggungjawab bagi saya. Sebabnya lambat laun bila rakan artis bergelut dengan masalah, kena halau daripada rumah pangsa atau anak perlukan wang untuk pembedahan, siapakah yang dicari? Tentulah orang media seperti saya bagi meringankan beban yang dihadapi.

Harus diingat, ketika kegawatan ekonomi pada 1998 dan 1999, implikasinya cuma di rantau Asia, tetapi suasananya kini berbeza kerana ia dalam skala lebih menyeluruh dengan membabitkan negara kuasa besar, Amerika Syarikat, sebab itu ia disebut krisis ekonomi global.

Negara jiran, Singapura adalah negara Asia pertama menjadi mangsa krisis ekonomi ini, disusuli Jepun dan Korea. Ribuan rakyat Malaysia yang bekerja di negara berkenaan kini menjadi penganggur.

Katakan mereka kembali ke tanah air, jadilah penganggur tidak berhormat sebab tiada pendapatan. Khalayak seni sebenarnya tidak boleh ambil mudah atau pandang sebelah mata nasib ribuan penganggur di tanah tumpah darah ini kerana mereka asalnya kuasa beli penyokong artis itu sendiri.

Setakat ini, saya tidak nampak adanya penggiat seni bercakap secara terbuka atau diaplikasi dalam persembahan untuk rakan taulan mereka mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi krisis ini.

Bukan mahu menyanjung penghibur luar, tetapi di negara serumpun, penghibur rakyat seperti Iwan Fals mempunyai sensitiviti kuat untuk menyedarkan masyarakat terhadap apa yang berlaku melalui karyanya.

Nak salahkan artis kita pun tidak boleh kerana kebelakangan ini kita banyak minta mereka membaca puisi untuk mengutip dana bagi menyelamatkan rakyat Palestin. Usah lupa nasib diri sendiri pula.

Nampak gaya, penyanyi yang dalam proses muncul lagu baru, kalaupun tidak album penuh mungkin single saja, perlu berkira-kira apakah sesuai ‘bertarung’ di persada seni pada masa ini kerana dikhuatiri kelak album tidak ‘laku’, diri sendiri ‘berkira-kira’ bagi melangsaikan hutang.

Pihak produser dan pelakon juga tiada jaminan, jika krisis bertambah kompleks, apakah pihak stesen mempunyai keupayaan mahu lagi berurus niaga pembelian drama atau drama lama diulang tayang? Tidak terkecuali buat artis yang mahu menaiki jinjang pelamin tahun ini, seharusnya mengawal perbelanjaan supaya tidak bermegah-megah dengan kos tinggi, penyudahnya diri sendiri menggelabah.

Ujian paling getir bila ekonomi gawat adalah kerukunan rumah tangga. Tiada jaminan pasangan artis dapat memulihara keharmonian rumah tangga mereka, kerana melalui statistik, ramai artis bercerai berai pada 1997,1998 dan 1999 gara-gara kegawatan ekonomi yang meruntuhkan mahligai dibina.

ADAM: Sediakan payung sebelum hujan.

Harian Metro

Leave a comment