'Jadilah Diri Sendiri'

11 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

BAKAT seni yang dimiliki Faizal turut menyemarakkan industri hiburan tempatan.

Pesanan Faizal Tahir, Suki, Ayu dan Shila kepada peserta One In A Million

BARANGKALI ramai pernah meragui kemampuan sebenar bintang yang dicungkil menerusi program realiti terutama apabila melihat populariti pantas yang dicipta namun akhirnya tenggelam lantaran tidak mampu membawa gelombang baru dalam industri hiburan.

Bagaimanapun, pandangan sempit itu kian terhakis apabila satu demi satu bintang yang dicungkil menerusi pertandingan itu bangun membuktikan kemampuan mereka.

Kemaraan mereka juga menyemarakkan industri muzik yang lesu apabila menebarkan pelbagai idea segar, sekali gus menyuntik harapan dengan membina platform baru yang mengesankan.

Antara contoh paling jelas ialah kebangkitan Faizal Tahir. Mengakhiri perjuangan dalam One In A Million (OIAM) musim pertama dengan meraih tempat kedua, namun hari ini namanya mara ke puncak dengan pelbagai pengiktirafan.

Merentas pelbagai cabaran, malah saat namanya mula mendaki populariti dia diuji dengan dugaan hebat namun semua pengalaman itu dibayar dengan pengiktirafan yang membanggakan.


Suki

Berkongsi pengalaman dengan tiga lagi bintang yang juga dicungkil menerusi OIAM iaitu Ayu, Suki dan Shila, sesi fotografi yang diatur khas oleh 8TV mengajak khalayak mendekati semula laluan awal mereka.

Kata Faizal, perkara asas yang akan membuat khalayak tertarik adalah keupayaan seseorang peserta menjadi penghibur apabila beraksi di pentas, bukan hanya penyanyi semata-mata.

Baginya ramai penyanyi di luar, namun untuk mencari mereka yang mempunyai karisma atau aura yang boleh memancing perhatian peminat adalah sesuatu yang sukar terutama dalam bidang seni suara.

“Peminat sentiasa dahagakan sesuatu yang berbeza dan itu yang perlu kita berikan. Di luar lebih ramai penyanyi yang mempunyai mutu suara jauh lebih baik berbanding saya, namun apa yang ingin peminat saksikan ialah keberanian.


SHILA (kiri) dan Ayu.

“Itu yang saya cuba berikan dan hari ini, saya melihat semangat itu turut dibawa oleh kumpulan seperti Hujan, Meet Uncle Hussain dan Bunkface selain Aizat. Keberanian membawa mereka melangkah jauh dalam industri.

“Pesan saya, peserta cuma perlu menjadi diri sendiri dan usaha mencuba terlalu keras untuk menarik perhatian khalayak. Itu penting untuk mendapat tempat di hati peminat,” katanya menitip pesanan kepada peserta OIAM yang bakal berentap bermula pertengahan Februari ini.

Dua tahun dalam industri, Faizal dilihat meniti laluan yang cukup selesa namun baginya, situasi itu tidak sesekali membuatkan dia pantas berasa sudah mencapai segala yang diimpikan.

Ruang selesa yang dinikmati tidak sesekali melekakannya bahkan kata Faizal, kejayaan dikecapi mendorong dirinya untuk terus berusaha melakukan pembaharuan dan tampil dengan idea mantap.

“Penghargaan diterima adalah dorongan dan bukan meletakkan diri seseorang itu pada kedudukan stabil atau selesa. Saya sebenarnya membawa tanggungjawab lebih besar dalam industri, membuatkan saya ingin mencuba dan terus mencuba kerana pada dasarnya saya belum berjaya sepenuhnya.

“Dalam nyanyian mungkin khalayak sudah mengenali siapa Faizal Tahir namun saya harus berani untuk lebih meneroka.

“Atas sebab itu, saya mahu terus mendalami aspek penciptaan lagu kerana dalam produksi album kedua nanti saya mahu lebih terbabit dan fokus,” katanya.

PROFIL: Faizal Tahir
Nama Penuh: Ahmad Faizal Mohammad Tahir
Tarikh Lahir: 26 Oktober 1978
Profesion: Penyanyi, penulis lagu dan pengacara
Album: Aku.Muzik.Kamu
Pencapaian: Anugerah Planet Muzik 2008: Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular; Anugerah Industri Muzik 15: Persembahan Vokal Terbaik dalam Album (Lelaki), Artis Baru Terbaik, Album Rock Terbaik dan Album Terbaik dan Anugerah Juara Lagu 23: Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik dan Juara Kategori Balada untuk lagu Sampai Syurga.

Suki kejar masa

MASIH di bangku sekolah ketika menyertai OIAM, meletakkan Suki dalam kekalutan dan itu memberikan cabaran yang sangat besar kepadanya.

Setiap hari, masa seakan mengejar membuatkan gadis kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini perlu bijak mengatur jadual.

“Tekanannya cukup hebat namun semua itu akan dapat diatasi jika kita fokus dan mempunyai disiplin yang tinggi. Sehingga sekarang saya terus diburu masa, terutama selepas kembali belajar secara online di Kolej Muzik Berklee,” kata Suki yang tidak berhenti mengejar cita-citanya selepas muncul juara pertama OIAM.

Paling penting kata Suki atau nama sebenarnya, Low Sook Yee, adalah jangan membiarkan diri terganggu dengan apa yang berlaku di persekitaran.

“Saban minggu melihat rakan kita tersingkir membuatkan kita berada dalam tekanan. Namun, peserta perlu kuatkan semangat dan bertanya diri, untuk apa berdiri di pentas OIAM?

“Saya dulu pernah terbawa dengan apa yang saya baca di internet membuatkan saya tidak dapat memberikan persembahan terbaik. Ketika itu saya cukup tertekan namun apabila difikirkan semula, saya sebenarnya tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.

“Daripada situ, saya berusaha mengatasi kelemahan dan belajar menerima segala kritikan,” katanya.

PROFIL: Suki
Nama Penuh: Low Sook Yee
Nama Komersial: Suki
Tarikh Lahir: 11 Disember 1989
Asal: Seremban, Negeri Sembilan
Album: Finally/Akhirnya
Pencapaian: Juara musim pertama OIAM dan Artis Harapan, Anugerah Industri Muzik Ke-15.

OIAM bina keyakinan diri Ayu

PANDANGAN yang sama juga diluahkan Norayu Damit atau Ayu yang melihat perjalanan sepanjang OIAM membina keyakinan dirinya, malah mematangkan dirinya menempuh kehidupan.

Gadis berusia 19 tahun dari Putatan, Sabah ini mengakui, ketika pertandingan dia tidak meletak harapan tinggi untuk menang sebaliknya cuma berusaha memberikan yang terbaik untuk dinilai penonton.

“OIAM banyak mengubah pemikiran Ayu yang dulu langsung tidak mempunyai keyakinan akan mampu menempuh hidup sebagai anak seni.

“Memang pada awal Ayu terasa hati dengan teguran dan kritikan namun Ayu cekalkan diri kerana kejayaan tidak akan datang bergolek. Alhamdulillah, keberanian Ayu menerjah segala halangan itu memberikan ruang yang semakin selesa dalam bidang nyanyian,” katanya.

Nasihat Ayu, apa juga kritikan diberikan perlu diterima dengan terbuka dan paling penting, sentiasa berusaha mengatasi kelemahan dan tidak mengulangi kesilapan.

“Kritikan diberi kerana mereka mahu kita menjadi lebih baik, jadi untuk apa perlu berkecil hati? Andai dalam pertandingan jiwa tidak kuat, bagaimana mahu menempuh gelombang di luar yang lebih besar dan kejam?

“Prinsip itu yang sentiasa Ayu sematkan dalam diri dan ia membuat Ayu semakin kuat,” katanya.

Lebih penting kata penyanyi yang sinonim dengan lagu Hanya Di Mercu, adalah disiplin kerana ia memainkan peranan besar dalam menentukan kejayaan seseorang.

Transformasi Shila

MEMULAKAN langkah sebagai penyanyi pada usia sembilan tahun membuatkan Nur Shahila Amir Hamzah atau Shila agak pasif dan kurang berkeyakinan untuk bergaul kerana semuanya ditentukan mereka yang lebih berpengalaman.

Namun segala keistimewaan itu seakan dibawa pergi apabila Shila menyertai OIAM, membuatkan dia terpaksa berdikari mengatur laluan yang ingin dituju.

“Untuk menggali ilmu, kita perlu berani membuatkan Shila tidak gentar untuk melakukan kesilapan kerana dari situ, Shila memperbaiki kelemahan dan berusaha mengatasinya.

“Apa saja kritikan yang dilemparkan, Shila letakkan di tepi kerana jika terlalu memikirkan ia hanya akan merosakkan langkah. Shila cuba fokus sepanjang pertandingan, membuang segala perasaan negatif dan alhamdulillah, kepuasan akan terserlah apabila kita mampu memberikan sesuatu yang di luar jangkauan,” katanya.

OIAM kata Shila, sebenarnya membuka ruang kepadanya untuk meluahkan ekpresi diri dengan cara tersendiri tanpa perlu takut kritikan.

Keberanian itu juga kata gadis berusia 18 tahun, membuatkan otaknya sentiasa ligat berfikir kerana tidak mahu terus berada pada liga selesa.

“Mungkin dulu Shila lebih teragak-agak untuk melakukan sesuatu, sentiasa berfikir apakah apa yang dibuat akan diterima tetapi sekarang Shila semakin berani mengambil risiko.

“Satu yang Shila pegang, buang sifat cemburu kerana rezeki setiap kita sudah tertulis. Apa yang penting adalah berusaha dan jangan hanya berserah kepada takdir kerana itu tidak akan membawa kita ke mana-mana,” katanya.

PROFIL ShilaNama Penuh: Nur Shahila Amir Hamzah
Tarikh Lahir: 13 Ogos 1990
Asal: Kuala Lumpur
Album: Sha-hila dan runut bunyi 5 Jingga
Anugerah: Tempat kedua Anugerah Bintang Kecil

Tempat Kedua, tempat kedua One In A Million Musim ke- 2 dan Anugerah Emas dan Lagu Terbaik pada Penang Shanghai World Star Quest 2008.

PROFIL: Ayu
Nama Penuh: Norayu Damit
Nama Komersial: Ayu
Tarikh Lahir: 12 Julai 1989
Asal: Putatan, Sabah
Pencapaian: Juara musim kedua OIAM
Lagu: Hanya Di Mercu.

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: