David, Khatijah Dianugerah Datuk

13 Feb

Oleh Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my

DAVID bersama Khadijah selepas menerima pingat Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan, semalam.

PEKAN: Penyanyi kumpulan Alleycats, David Arumugam, 58, dan Khatijah Ibrahim, 49, menganggap pengurniaan anugerah Datuk sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang ke-78, semalam adalah pengiktirafan atas sumbangan mereka kepada industri muzik tempatan.

David atau nama sebenarnya Thiagarajan K R Arumugam, dan penyanyi popular era 1980-an, Khatijah menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Sultan Pahang adalah antara 140 penerima pingat dan darjah kebesaran di Balairung Seri Istana Abu Bakar, di sini, semalam.

David menganggap darjah kebesaran itu hadiah paling manis buatnya selepas bergelumang selama 40 tahun dalam bidang seni suara.

“Saya menganggap kurniaan darjah kebesaran ini bukan untuk saya seorang, tetapi juga mendiang adik saya, Loganathan, ahli kumpulan, peminat dan media.

“Saya bersyukur dan gembira atas gelaran ini…terima kasih yang tidak terhingga,” katanya ketika ditemui selepas istiadat pengurniaan pingat dan darjah kebesaran sempena keputeraan Sultan Pahang, di sini.

Turut menemani beliau ialah isteri, Sabrina Clyde, 51; ibunya, Meenambal Arumugam, 83,

Sementara itu, Khatijah yang popular dengan lagu Doa Buat Kekasih, Ku Pendam Sebuah Duka, Potret dan Ku Sangka Siang Kiranya Malam, berkata anugerah itu amat bermakna pada dirinya.

“Ia satu pengurniaan yang besar ertinya dalam hidup saya selain pengiktirafan sumbangan dan jasa saya dan industri muzik keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, adinda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, Tengku Noor Ashikin Sultan Abu Bakar mendahului senarai 140 penerima pingat dan darjah kebesaran sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-78, semalam.

Tengku Noor Ashikin menerima pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Istiadat bermula jam 10 pagi itu diteruskan dengan pengurniaan darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada lima individu, termasuk tiga daripadanya menteri Kabinet.

Penerima SSAP ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed, Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Pengarah Urusan Malaysia Steel Works (KL) Bhd, Tai Hean Leng.

Tiga lagi dikurnia darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk iaitu bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd Zin dan Pengarah Besar Felda, Datuk Ahmad Tarmizi Alias.

Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk turut dikurniakan kepada lapan penerima, antaranya Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan, Datuk Fauziah Yaacob; Timbalan Pengerusi Amanah Saham Mara Bhd, Datuk Kamaruddin Mohammed; dan Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd Shariff.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: