4 Melangkah Ke Akhir

17 Feb

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
HANYA empat peserta layak ke peringkat akhir program realiti, My Starz LG musim kedua yang akan berlangsung pada 22 Februari ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Biarpun ada penonton yang berharap lima peserta yang bersaing pada minggu ke-12 pada malam kelmarin melayakkan diri ke akhir, penyingkiran seorang lagi peserta tetap dilakukan.

Antara Mohd Hairi Kenneith (Hairi) dan Mohd Azri Abdullah, keputusan bagaimanapun memihak pada Hairi untuk mengikut jejak langkah tiga rakannya iaitu Wan Nashrinie Zafri (Nashrin), Noriezuana Syed Shafudin (Wana) dan Cassandra Daniel Manja (Cassie) ke akhir.

Berbeza dengan persembahan minggu sebelumnya, kali ini lima peserta diminta membuat persembahan dengan bertemakan lagu penghargaan pada bintang legenda seperti Allahyarham Puan Sri Saloma, Sudirman Arshad, Rosli Khamis (Loloq), Abdul Samad Mian (Lefthanded) dan mendiang Loganathan Arumugam (Alleycats).

Sekadar persembahan nyanyian, tiada juri profesional memberi komen kali ini. Nashrin membuka persembahan dengan lagu Andalusia diikuti Wana (Terasing), Azri (Bila Kau Bercinta Lagi), Cassie (Gelora) dan Hairi (Seruan). Di akhir persembahan, pengacara Nazruddin Habibur Rahman dan Puteri Andreanna Syigim mengumumkan Azri tersingkir daripada program berkenaan.

Kata Azri, 21, walaupun kecewa tersingkir tetapi semangat untuk mencapai cita-cita sebagai penyanyi tetap diteruskan. Dia yang meminati genre muzik pop berharap perjalanan karier seninya selepas ini masih cerah dan mendapat sokongan peminat.

“Mungkin selepas ini saya memasarkan single sendiri berjudul Bagai Puteri. Sebelum ini, saya bersama peserta lain terbabit mencipta lagu sendiri dan ini peluang saya menempatkan diri sebagai penyanyi.

“Sepanjang dalam program ini, banyak pengalaman ditimba antaranya cara interaksi bersama penonton. Saya fikir saya sudah memberikan persembahan terbaik pada setiap minggu,” katanya.

Juri tetap, Hattan yang turut hadir pada malam itu turut bersetuju dengan keputusan empat peserta yang layak ke akhir. Meskipun peserta ini masih mempunyai kelemahan tetapi mereka mempunyai kelainan dalam persembahan masing-masing.

“Apa yang saya lihat, peserta ini sudah bersedia untuk ke akhir tetapi ilmu dalam nyanyian perlu ditambah. Mereka nampak berani untuk bawa pembaharuan dalam persembahan. Juri sebenarnya tidak kisah jika cara nyanyian mereka berbeza kerana kami mahukan penyampaian lagu yang lain daripada penyanyi asal.

“Setiap penyanyi harus fokus pada satu genre saja dan ia adalah adil bila juri menilai sebanyak 70 peratus. Program ini sebagai platform tetapi ia bergantung pada peserta itu sendiri untuk berusaha hingga berjaya atau tidak. Mereka harus ingat, popular tidak semestinya berjaya.

“Sebolehnya mereka mempertingkatkan kemahiran diri dengan mencipta lagu sendiri dan jangan malu bertanya penyanyi lain yang lebih berpengalaman. Kita kekurangan pelapis terutama penyanyi solo lelaki. Saya mahu lihat artis kita cipta kejayaan lebih besar selepas ini,” katanya.

Penerbit Eksekutif, Mohd Suffian Isa berkata persiapan konsert akhir rancak berjalan dan peserta diberi masa seminggu untuk membuat latihan. Menariknya, peserta kali ini berpeluang memilih artis kegemaran mereka untuk menyampaikan satu lagu duet. Setiap peserta dikehendaki menyampaikan dua lagu termasuk satu lagu solo.

“Kita harap empat peserta ini dapat memberikan persembahan terbaik pada malam itu nanti. Pemilihan artis dan lagu dibuat atas perbincangan bersama penasihat vokal, Lah Ahmad dan koreografer, Raimee Salleh. Tiga juri terbabit adalah Hattan, Liza Hanim dan Ajai.

“Memberi tarikan, persembahan peserta ini turut dimeriahkan kemunculan penyanyi jemputan iaitu Mawi, Faizal Tahir dan Rossa dari Indonesia,” katanya.

Bagi Wana, dia memilih Jamal Abdillah sebagai pasangan duet pada persembahan akhir nanti. Katanya, Jamal mempunyai kelebihan dari aspek penghayatan yang baik dan sering menarik perhatian ramai penonton.

“Dia mempunyai aura kuat pada penonton. Mungkin dia boleh membantu saya dalam persembahan akhir nanti. Saya juga perlu perbaiki kelemahan diri seperti pitching (nada suara) dan gemuruh atas pentas,” katanya.

Nashrin pula memilih gandingan bersama Misha Omar atas faktor minat pada penyanyi itu. Berazam mahu memberikan persembahan terbaik bersama gimik, dia juga mahu memperbaiki kelemahan gemuruh ketika berhadapan penonton. Cassie yang memilih Sarah Raisuddin untuk lagu duet turut mahu memperbaiki kelemahan pitching dan penghayatan pada lagu. Menganggap Nashrin sebagai saingan paling dekat, dia berharap undian juri dan penonton seimbang dalam memilih juara.

Menjadi peserta terakhir dipilih ke akhir, Hairi tidak menyangka dan terkejut selepas berjaya mengatasi Azri. Memilih Fiq untuk lagu duet, dia yakin gandingan mereka dapat memberikan persembahan yang hebat. Dia yang meminati genre rock berharap dapat mengatasi masalah pitching dalam diri.

“Sejak mula, saya katakan pada diri, saya tidak akan terkeluar. Jika terkeluar sekalipun, saya tidak mahu berasa kecewa. Dalam membuat persembahan terbaik nanti, saya juga berharap juri dan penonton dapat memberikan undian yang seimbang,” katanya.

Harian Metro

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: