Noryn Impikan Pentas Kecil

17 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Ruang terhad bolehkan dia lebih dekat dengan peminat

ANDAI sepanjang 2008, tumpuan Noryn Aziz lebih terarah kepada persembahan eksklusif dan korporat, pendekatan yang diambil penyanyi pop jazz itu sedikit berbeza apabila berbicara mengenai perancangannya untuk 2009.

Penyanyi kelahiran Shah Alam, Selangor itu seakan-akan ingin mengimbas detik permulaan ketika dia memulakan langkah di bidang seni apabila kembali menjayakan persembahan di pentas kecil.

Akui Noryn, selepas melahirkan album solo kedua, Alam Maya tumpuan seninya yang lebih menjurus kepada persembahan korporat membuatkan dia terasa seperti kehilangan sesuatu dalam dirinya.

Barangkali bagi sesetengah pihak, penyanyi yang mencapai tahap profesional seperti Noryn tidak lagi memerlukan ruang kecil seperti itu untuk mengasah kemampuan, lebih-lebih lagi namanya semakin gah di pentas komersial.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 32 tahun itu mempunyai alasan tersendiri mengapa mahu kembali menyanyi di ruang sempit namun cukup bermakna buat dirinya.

“Sebelum menembusi pasaran komersial, pentas kecil ini menjadi tempat untuk mengasah bakat serta mengumpul wang bagi menjayakan impian memiliki album sendiri.

“Noryn tidak mungkin lupa semua pengalaman itu. Tambahan pula, Noryn juga merindui suasana intim bersama peminat membuatkan Noryn tidak mampu menolak apabila kembali ditawarkan menyanyi di pentas kecil,” kata penyanyi yang semakin anggun itu.

Noryn berkata, ada sesuatu yang ingin dicari apabila dia mengambil keputusan untuk kembali menyanyi di pusat hiburan.

Pemilik nama asal, Norazmahwati Abdul Aziz ini cuba mencari kepuasan yang selama ini jarang diperoleh ketika menjayakan persembahan korporat.

“Biasanya ketika persembahan korporat dan eksklusif, Noryn tertakluk kepada syarat tertentu untuk memenuhi kehendak penganjur. Justeru, kebebasan dalam pemilihan lagu agak terhad.

“Tetapi perkara itu tidak berlaku apabila Noryn mengadakan persembahan di kelab. Noryn bebas mencorakkan bentuk persembahan dan itu membuatkan Noryn puas.

“Lebih utama, apabila Noryn dapat mendekati peminat. Semua itu membuatkan Noryn mahu kembali ke pentas kecil. Noryn ingin mencari kepuasan dalam persembahan, selain bertemu peminat yang mungkin tidak berpeluang ke persembahan tertutup,” katanya.

Noryn berkata, kecil atau besar pentas persembahan tidak dijadikan ukuran sebaliknya apa yang diutamakan adalah kepuasan peminat.

Mengimpikan untuk beraksi di dewan berprestij, Dewan Filharmonik Petronas, penyanyi ini berkata, langkahnya kembali ke pentas kecil juga bertepatan dengan hasrat untuk memperkenalkan album terbarunya kepada peminat secara lebih berkesan.

Biarpun proses rakaman belum bermula, namun sesi pengenalan perlu dibuat lebih awal kerana Noryn ingin produksi terbarunya menjangkau kelompok peminat yang lebih luas.

Lagu balada dalam album ketiga

MENYENTUH pembikinan album ketiganya itu, Noryn berkata, material memuatkan 10 lagu itu agak jauh berbeza jika mahu dibandingkan dengan Alam Maya terutama menyentuh penggunaan peralatan muzik.

Lebih menekankan kepada penggunaan muzik ‘live’, Noryn juga mencipta sisi baru dalam nyanyian apabila memilih untuk mengalunkan lebih banyak lagu perlahan.

“Alam Maya memperlihatkan Noryn lebih mengutamakan lagu berentak moderate, justeru ia tidak begitu menyerlahkan kepelbagaian dalam nyanyian Noryn.

“Disebabkan itu, Noryn cuba membawa pembaharuan dengan menampilkan lebih banyak lagu balada untuk produksi terbaru ini. Kesemua bahan sudah ada cuma Noryn menanti masa untuk memulakan kerja rakaman,” katanya.

Noryn yang membiayai sendiri produksi terbarunya itu berkata, dia tidak mahu terburu-buru dalam penghasilan album berkenaan.

Apa dicari ketika ini adalah kepuasan dan mutu dalam penerbitan, membuatkan dia tidak berkompromi dalam soal pemilihan lagu.

“Memang banyak komposisi diterima namun sebahagian besarnya terpaksa ditolak kerana tidak sebati dengan jiwa dan diri Noryn. Untuk apa memaksa diri menyanyikannya kerana itu hanya membuat jiwa Noryn memberontak.

“Disebabkan itu, Noryn mengambil masa menghasilkan beberapa lagu ciptaan sendiri selain mendapatkan khidmat nama baru namun mempunyai idea luar biasa serta segar.

“Apa yang dapat Noryn katakan, 60 peratus daripada lagu yang bakal dimuatkan adalah ciptaan sendiri selebihnya Noryn mencuba daripada komposer baru,” katanya.

Sekali pun cuba memberikan sesuatu yang berbeza namun kata Noryn, dia tidak mengabaikan aspek yang selama ini membentuk dirinya sebagai Noryn Aziz.

Semua elemen itu kata Noryn, akan ditemui dalam album terbarunya itu namun menjadikannya lebih istimewa kerana ia adalah luahan peribadi Noryn khusus untuk mereka yang mengagumi kehebatan persembahan nyanyiannya.

“Noryn mahu semua peminat puas dan pada masa sama, lagu Noryn menjangkau kelompok peminat lebih besar apabila diputarkan oleh stesen radio,” katanya.

Bulan kedua dalam kalendar 2009 juga memperlihatkan jadual harian Noryn padat dengan sesi latihan apabila terpilih menjayakan Pesta Makanan & Kebudayaan Malaysia di New York, Amerika Syarikat bermula hari ini.

Menyusul pada 3 Mac ini, Noryn akan menghiburkan tetamu sempena pelancaran sebuah portal hiburan di Jakarta, Indonesia seterusnya ke London untuk pelancaran destinasi terbaru AirAsia.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: