Jadi Diriku

18 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Tujuh tahun terbabit dalam dunia seni, Misha Omar masih selesa untuk bersederhana

KILAUAN populariti yang melimpahkan cahaya kepada Misha Omar sejak tujuh tahun lalu tidak membataskan gadis bertubuh kecil, namun berjiwa kental untuk menikmati segala kebebasan sebagai seorang insan.

Akur namanya disanjung, wajahnya dikenali setiap kali sepasang kakinya dibawa melangkah namun dalam kilauan membawa sepotong nama komersial sebagai Misha Omar tidak akan sesekali melupakannya kepada Samihah @ Aisah Omar.

Antara Misha dengan Samihah @ Aisah, dua nama yang mempunyai personaliti berbeza, namun bersatu dalam tubuh pemilik suara lunak yang menjadi igauan pemujanya sejak melancarkan kerjaya seninya pada 2002.

Tujuh tahun yang mengenalkan Misha kepada segala macam bentuk perjalanan hidup – manis, pahit, senyum dan tangis, semuanya bersatu menjadikan dirinya manusia yang matang menempuh badai serta duri rintangan.

Mungkin dulu jiwa Misha tidak seteguh hari ini, namun daripada cubaan yang mencengkam, dia bangun dan cuba berdiri untuk terus memacu atas kelebihan yang diberikan Tuhan kepadanya.

Kurniaan bakat dan populariti yang terus bertahan tidak mungkin dipunyai orang lain, namun anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan pada 6 Januari 1982 ini memiliki keistimewaan yang barangkali dicemburui mereka yang pernah menempuh ranjau pengalaman sepertinya.

Empat tahun menyepi tanpa album terbaru, aturan perjalanan seni Misha dilihat mendatar dan itu terbukti apabila kelibatnya beransur sunyi daripada paparan media terutama media cetak.

Mengulas mengenai hal itu, Misha matang memberikan jawapan. Mudah pegangannya, setiap aturan kehidupan manusia disusun indah oleh Maha Pencipta.

Dia hanya melaluinya dengan reda serta tenang kerana percaya segala kesabaran akan terbalas dengan kurniaan yang indah jika berjaya menghayatinya.

“Mengapa perlu saya memberatkan kepala memikirkan perkara yang saya sendiri tidak mempunyai jawapannya? Saya perlu realistik meniti perjalanan sebuah kehidupan yang ada naik dan turunnya.

“Saya jalani semuanya seperti biasa, biarpun ada masanya saya juga tewas dengan dugaan. Namun, saya cuba kumpulkan semula kekuatan supaya apa yang diusahakan menjadi kenyataan.

“Jujur saya tidak mengimpikan untuk terbang terlalu tinggi kerana bimbang sekali tergelincir, sukar untuk saya bangun dan meraih semula kepercayaan khalayak. Itu cukup menakutkan.

“Sudahnya saya bersederhana dalam segala hal, namun itu tidak bermakna saya tidak berusaha untuk mempertingkatkan kemampuan diri. Saya tidak mahu selamanya menjadi Misha yang dikenali umum ketika melakar nama menerusi Bunga-Bunga Cinta.

“Seperti artis lain, saya juga melalui proses naik turun dan daripada situ saya mengenal pasti di mana kekurangan lantas mengingatkan diri supaya tidak mengulanginya. Itulah proses kehidupan,” katanya bersyukur peminat masih mengingati, malah namanya terus meniti di bibir biarpun album terbarunya mengambil masa panjang untuk disiapkan.

Impak yang dibawakan Misha menerusi sentuhan Azmeer untuk Cinta Adam dan Hawa dimuatkan dalam album studio ketiga yang mengangkat namanya sebagai judul membentangkan hawa selesa kepada penyanyi ini.

Biarpun masih belum sempat mempromosikan album itu secara meluas, Misha mampu menghela nafas lega kerana single yang menjadi kesinambungan selepas memperkenalkan Nafas Cahaya, Sembunyi dan Jawapanmu pantas mendaki carta lagu popular stesen radio tempatan.

Dalam situasi pasaran yang perlahan, Misha tidak mengeluh biarpun terpaksa menanti lama untuk melihat album ketiganya itu berada di pasaran.

Percaturan berani yang dibuat syarikat rakamannya, Sony Music Entertainment membuahkan hasil membanggakan apabila semua single itu diterima baik peminat, tanpa mempertikai atau membandingkannya dengan apa yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Saya menaruh harapan tinggi untuk melihat album ini berjaya. Disebabkan itu, saya sedia menanti lama kerana mahu memastikan produk yang diberikan berkualiti sekali gus memulihkan semula kepercayaan khalayak terhadap kualiti muzik tempatan.

“Bohong jika penantian panjang itu tidak membuatkan saya resah. Namun saya sentiasa memujuk diri kerana sesuatu yang baik dan berkualiti tidak akan datang sekelip masa.

“Ia menuntut kesabaran, ketelitian dan perancangan yang baik. Itu yang kami lakukan dan alhamdulillah, percaturan kami berhasil biarpun ada di antara impian tidak menjadi kenyataan,” katanya girang dengan perkembangan positif album memuatkan enam lagu baru, selain petikan lagu popular daripada runut bunyi yang pernah dijayakannya.

Celaru imej?

HAMBURAN tawa berpanjangan, sesekali mengerutkan dahi seakan tidak percaya kerana ‘kegilaannya’ memotong pendek rambut sedikit demi sedikit turut menjadi bahan perdebatan peminat di laman sosial.

Dek keghairahan itu, Misha dilabel masih tercari-cari identiti serta keliru imej yang dimahukan sedangkan perkara itu tidak sepatutnya terjadi untuk penyanyi berpengalaman sepertinya.

Diaju mengenainya, penyanyi yang baru menyempurnakan penggambaran drama bersiri 20 episod, Julia Juli Bintang Tiga yang akan menghiasi slot Legenda siaran TV3 tidak lama lagi itu berkata, apa yang dilihat peminat hari ini adalah dirinya yang sebenar.

Sekali pun sering tampil feminin dan menawan di pentas, namun diri Misha sebenar ialah seorang yang terlalu bersederhana.

Dia rimas jika kerap disolek tebal malah pakaian hariannya cukup sekadar mengenakan baju T dan denim. Dek keselesaan itu juga membuatkan dia dikecam kerana jarang tampil bergaya

Sedangkan sebagai artis dia perlu sentiasa dilihat cantik dan menarik biarpun di luar bidang tugasannya.

“Tuntutan sebagai artis terlalu berat namun tubuh kecil saya tidak mampu menggalas semua tanggungjawab itu. Memang saya ingin puaskan hati semua pihak namun saya juga perlu memikirkan keselesaan diri.

“Saya cuma menjadi diri sendiri. Di pentas, saya memang Misha Omar, namun apabila bersantai saya kembali sebagai Samihah @ Aisah. Saya tidak mahu disebabkan terlalu menjaga imej dan penampilan, saya kehilangan harga sebuah kebebasan kerana saya juga berhak menikmatinya.

“Semua tuntutan itu hanya membuatkan saya alpa dan tidak berpijak di bumi nyata, sedangkan sebagai insan biasa saya juga tidak terlepas daripada diuji.

“Jadi, biarlah saya jujur menjadi diri sendiri daripada berpura-pura dan akhirnya memakan diri,” katanya puas dapat menunaikan janji yang tertunda untuk sesi fotografi ini gara-gara kesibukan di lokasi penggambaran sebelum ini.

Info:

Nama Penuh: Samihah @ Aisah Omar

Nama Komersial: Misha Omar

Tarikh Lahir: 6 Januari 1982

Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan pengacara

Album: Misha (2002), Aksara (2004) dan Misha Omar (2008)

Filem: Gerak Khas dan Main-Main Cinta

Program: Skrin Video

Pencapaian:

Finalis Bintang RTM (Bintang RTM 2001)

Anugerah Artis Harapan (Anugerah Era 2003)

Anugerah Emas Festival Muzik Shanghai (Festival Muzik Shanghai 2003)

Anugerah Vokal Terbaik (Anugerah Juara Lagu 2003)

Juara Lagu (Anugerah Juara Lagu 2003)

Anugerah Artis Wanita Baru Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003)

Anugerah Artis Wanita Baru Pilihan (Anugerah Media Hiburan 2003)

Anugerah Lagu Terbaik (Anugerah Media Hiburan 2003)

Anugerah Vokal Wanita Terbaik (Anugerah Era 2004)

Juara Lagu Balada (Pulangkan – Anugerah Juara Lagu 2004)

Anugerah Vokal Terbaik (Anugerah Juara Lagu 2004)

Finalis ‘Top 5’ Artis Pilihan Malaysia (Anugerah MTV Asia 2004 – 2005)

Finalis ‘Top 5’ Artis Wanita Popular (Anugerah Planet Muzik 2004 – 2005)

Juara Hitz 1 (Anugerah Hitz 1 RTM 2004) & Juara Lagu Hitz 1 (Anugerah Hitz 1 RTM 2006)

Persembahan Terbaik (Anugerah Hitz 1 RTM 2006)

Persembahan Terbaik (Anugerah Hitz 1 RTM 2007)

Solekan: Chomel (012-6841591)

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: