Mengapa Slumdog Popular?

21 Feb

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my

SEBAGAI penonton yang tidak pernah menjejak kaki ke India, ramai termasuk penulis kagum dengan karya Slumdog Millionaire. Namun, bukan semua masyarakat India dapat menerima sebuah lagi filem yang dikatakan stereotaip dengan pandangan dunia luar terhadap negara mereka yang penuh dengan masalah rasuah, kemiskinan serta kekotoran.

Memenangi empat anugerah Golden Globes dan tujuh anugerah British Academy of Film and Television Arts (BAFTA), Slumdog turut menerima 10 pencalonan untuk anugerah Oscar yang bakal berlangsung esok. Maka, tidak keterlaluan jika Slumdog menjadi sebuah karya yang paling hangat diperkatakan dan dibicarakan tahun ini.

Berlatarbelakangkan Mumbai, India, pelakon tersohor India, Amitabh Bachchan pernah menyelar pengarahnya, Danny Boyle kerana menggambarkan India dalam keadaan miskin. Tetapi peminat filem di seluruh dunia terutama audiens Asia berasa lega kerana akhirnya realiti India dipaparkan tanpa berusaha untuk menutup kecacatannya.


SLUMDOG merupakan filem cereka pertama bagi Dev dan Freida.

Menelan bajet AS$15 juta (RM53.9 juta), apa yang menambahkan kejayaan naskhah ini adalah tema yang mampu menyentuh perasaan penonton. Menceritakan mengenai seorang kanak-kanak jalanan di kawasan setinggan yang baru kehilangan ibunya, Jamal Malik, fokus diberikan kepada bagaimana Jamal bergelut untuk meneruskan hidup bersama abangnya, Salim.

Jamal kemudian menyertai program Who Wants To Be A Millionaire? dan dikatakan menipu kerana berjaya menjawab semua soalan. Dia ditangkap polis dan kemudiannya mengimbas kembali kehidupannya semasa kecil yang mempunyai kaitan dengan setiap soalan yang ditujukan.


FREIDA menjayakan watak Latika yang merupakan cinta pertama Jamal.

Diakhiri dengan tarian, lagu, cinta dan populariti, filem ini ditayangkan di Amerika Syarikat (AS) sehari sebelum serangan pengganas di Mumbai. Atas kejadian itu juga mungkin telah memperkuatkan lagi minat orang luar terhadap Slumdog.

“Mumbai adalah latar belakang yang ideal bagi sebuah produksi antarabangsa. Tempatnya selekeh dan dikelilingi dengan penempatan setinggan serta kemiskinan walaupun di kawasan restoran mewah. Itulah yang ingin dipaparkan dalam filem ini,” kata penulis kolum Economic Times India, Vikram Doctor.

Slumdog dibikin bagaikan satu pengembaraan kemiskinan di India. Menggabungkan bakat India dan luar negara dengan dialog Inggeris serta Hindi dan Urdu, ia juga telah menimbulkan persoalan sama ada Slumdog adalah filem India atau luar negara (Hollywood).

Dihasilkan berdasarkan novel tulisan diplomat, Vikas Swarup (yang mendapat kritikan hebat di India) dan versi layar lebar pula diarahkan oleh pengarah British, Danny. Skripnya pula ditulis oleh Simon Beaufoy dari British dan karya itu dilakonkan oleh pelakon India serta luar negara yang berketurunan India.

Pengarah filem Elizabeth (1998), Shekhar Kapur, menyatakan berdasarkan fokus dan tujuannya, Slumdog adalah filem milik India. “Apa yang paling relevan adalah Slumdog merupakan filem India paling berjaya setakat ini.

“Ia mungkin diarahkan oleh pengarah British dan diterbitkan oleh syarikat Eropah, tetapi siapa peduli? Penggunaan krew produksi dari luar adalah sesuatu yang biasa dalam filem India sekarang.”


BABAK Jamal sebelum terjun ke dalam kumbahan najis.

Kejayaan filem itu juga boleh diukur apabila ia telah menjadi subjek perbincangan penggiat filem sedunia. Pelakon dan pengarah Bollywood, Aamir Khan bagaimanapun tidak menganggap Slumdog sebagai sebuah karya India.

“Slumdog adalah filem mengenai India tetapi bukan filem India. Saya rasa ia tidak ada kaitan dengan India. Pembikin filem adalah orang kreatif dan mereka memberitahu cerita. Saya tidak rasa Slumdog dibikin dengan tujuan untuk menunjukkan kelemahan India.”

Selain pujian melambung, Danny juga berdepan dengan kritikan bahawa filem ini terlalu memfokuskan isu pelacur, jenayah dan pengemis.

Malah judul Slumdog itu sendiri telah mendapat tentangan daripada orang India sendiri terutama mereka yang menetap di kawasan setinggan. Mereka memprotes dengan menyatakan bahawa mereka adalah manusia dan bukannya ‘anjing’ seperti yang ditulis judul filem itu.

Namun, itu realiti yang disukai orang luar terutama Barat. Selain isu kontroversi yang membuatkan audiens India membenci, Slumdog bagi orang India adalah sebuah lagi genre filem biasa yang sering ditonton.

“Dengan standard kehidupan India yang semakin meningkat dan pendedahan budaya, Bollywood telah bersedia untuk beranjak kepada realiti kehidupan kelas bawahan. Namun, pendedahan kemiskinan terlampau, penderaan kanak-kanak dan jenayah sedikit sebanyak mengganggu fikiran saya.

“Penderaan kanak-kanak dijadikan sebagai nilai hiburan dan kemiskinan pula bertindak sebagai kesan ‘khas’. Ia merupakan gabungan sempurna dengan cara penceritaan British dan digubah menggunakan stail Bollywood,” kata pembikin filem India yang menetap di Kanada, Krishna.


KANAK-kANAK menjadi teraju penting dalam Slumdog Millionaire.

Dikatakan memasukkan terlalu banyak kualiti Barat, elemen Who Wants To Be A Millionaire? yang dipaparkan sebenarnya mendekati senario yang berlaku semasa program ini mula diperkenalkan di India pada tahun 2001. Kegilaan penduduk India terhadap program ini benar-benar berlaku.

Bagi Danny, Slumdog adalah mengenai nafsu kehidupan. Dia telah cuba untuk memasukkan sebanyak boleh realiti bandar Mumbai dalam filemnya. Nilai komersial India memang sedang berkembang tetapi bandarnya masih gelap dengan jenayah dan kemiskinan yang selalunya disisihkan dan disalah tafsir oleh sinema India serta kerajaannya.

“Bagi menyampaikan babak dan mendekati realiti, saya telah menggunakan kamera digital SI-2K yang mempunyai saiz sama dengan botol wain supaya dapat bergerak bebas dan melahirkan visual lebih jelas.

“Ditambah dengan pelakon kanak-kanak yang dipilih dari kawasan setinggan sendiri, Slumdog dirasakan lebih realiti dengan emosi natural mereka. Disebabkan penggambaran dilakukan di kawasan setinggan, saya juga perlu mengawal beratus-ratus ‘pelawat’ di lokasi,” kata Danny.

Namun, penulis berpendapat filem ini akan lebih dihayati jika dibikin sepenuhnya dalam bahasa Hindi kerana versi yang ditayangkan di pawagam tempatan hanya mengandungi 10 peratus penggunaan bahasa Hindi.

Sedikit kejanggalan timbul apabila watak Jamal, Salim dan Latika mampu berbicara dalam Bahasa Inggeris sempurna ketika dewasa memandangkan mereka membesar tanpa pendidikan formal.


BARISAN pelakon, (dari kiri) Irrfan Khan, Dev Patel, Freida Pinto dan Anil Kapoor pada majlis Anugerah Screen Actors Guild Ke-15.

Namun, barisan pelakon terutama aktor kanak-kanak, Ayush Mahesh Khedekar (Jamal), Rubina Ali (Latika) dan Azharuddin Mohammed Ismail (Salim) dilihat lebih menyerlah daripada watak dewasa.

“Dev Patel dan Freida Pinto berlakon buat kali pertama dalam filem cereka. Saya telah menguji bakat beratus-ratus pelakon lelaki tetapi anak perempuan saya yang berusia 17 tahun telah mencadangkan nama Dev. Manakala pelakon kanak-kanak pula dicari oleh Loveleen di kawasan setinggan sendiri,” tambah Danny.

Pujian mungkin telah membantu mempopularkan filem itu tetapi kontroversi, kritikan dan tentangan terutama masyarakat India juga telah melonjakkan Slumdog sehingga ramai peminat filem mencari alternatif lain untuk menonton filem itu sebelum ditayangkan di pawagam tempatan bermula 12 Februari lalu.

Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: