Lakonan 3 Terbaik

24 Feb

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

BINTANG yang mencipta nama melalui filem Titanic, Kate Winslet, 33, sekali lagi menepati ramalan apabila berjaya meraih anugerah Aktres Terbaik di Anugerah Academy ke-81 yang berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles, semalam.

Mempertaruhkan lakonan cemerlangnya menerusi filem The Reader, Kate sebelum ini pernah melakar kejayaan dalam kategori sama menerusi filem Revolutionary Road, melalui Anugerah Golden Globe ke-66 dan Bafta yang turut dianjurkan baru-baru ini.

Kejayaan Kate itu sekali gus mengetepikan calon finalis hebat lain iaitu Anne Hathaway (Rachel Getting Married), Angelina Jolie (Changeling) dan Melissa Leo (Frozen River). termasuk Meryl Streep yang mempersembahkan lakonan cukup berkesan menerusi filem Doubt.

Kehadiran Meryl dianggap pencabar terdekat Kate memandangkan keberkesanan pelakon ‘senior’ yang pernah dicalonkan dalam Anugerah Academy sebanyak 15 kali.

Kate menerima trofi kemenangannya yang disampaikan lima daripada 80 pemenang Aktres Terbaik Anugerah Academy antaranya Sophia Loren, Nicole Kidman, Shirley MacKaine, Marion Cotillard dan Halle Berry.

Bagi kategori lelaki, bintang utama filem romantik cinta epik The Curious Case Of Benjamin Button, Brad Pitt yang disebut-sebut mempunyai peluang cerah untuk membawa pulang trofi Aktor Terbaik terpaksa akur dengan keputusan juri yang berpihak kepada aktor versatil, Sean Penn.

Bekas suami kepada penghibur antarabangsa, Madonna, yang dikenali sebagai pelakon berkarakter itu memberi persembahan cemerlang menerusi filem Milk sebagai pejuang politik yang mempunyai kecenderungan dalam hubungan sejenis.

Selain Brad Pitt, Sean Penn berjaya mengetepikan Richard Jenkins yang membintangi The Visitor, Frank Langella (Frost/Nixon) dan Mickey Rourke (The Wrestler).

Anugerah berprestij yang dihoskan buat pertama kali oleh pelakon kelahiran Australia, Hugh Jackman, sudah pasti menjadi malam paling bermakna buat pengarah Slumdog Millionaire iaitu Danny Boyle yang dipilih sebagai Pengarah Terbaik serta seisi pelakon dan tenaga produksi yang terbabit.

Filem bajet rendah yang menerima 10 pencalonan itu merangkul lapan anugerah dan diiktiraf sebagai Filem Terbaik.

Ini termasuk tujuh lagi anugerah iaitu Skor Muzik Terbaik, Lagu Terbaik, Suntingan Filem Terbaik, Sinematografi Terbaik, Skrip Terbaik, Lakon Layar Adaptasi Terbaik dan Adunan Bunyi.

Filem mengisahkan seorang budak lelaki yatim piatu di Mumbai yang membesar dengan penuh kepayahan namun, kehidupannya berubah selepas memenangi program gameshow Who Wants To Be A Millionaire versi India, sebelum ini pernah memenangi 11 anugerah peringkat antarabangsa.

Tujuh daripadanya, termasuk Filem Terbaik digondol menerusi British Academy Film Awards (Bafta). Manakala Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Skor Muzik Terbaik diperoleh ketika menyertai Anugerah Golden Globe ke-66.

Sementara itu, filem The Curious Case Of Benjamin Button arahan David Fincher yang mendapat 13 pencalonan sekadar meraih tiga anugerah, Kesan Visual Terbaik, Pengarah Seni dan Mekap Terbaik.

Majlis dilimpahi kilauan cahaya dan diadakan dalam suasana cukup meriah dan berprestij itu, bagaimanapun bertukar menjadi sayu tatkala ibu, bapa dan adik kepada mendiang, Heath Ledger, naik ke pentas.

Bagi menerima trofi Aktor Pembantu Terbaik yang dimenangi pelakon muda berbakat itu menerusi filem Batman-The Dark Knight.

Kemenangannya itu, memahatkan sejarah menjadi aktor kedua selepas Peter Finch yang menerima Oscar untuk filem Network pada 1976 selepas kematiannya.

Pelakon dan model jelita kelahiran Sepanyol, Penelope Cruz mengungguli kategori Aktres Pembantu Terbaik.

Penghormatan turut diberikan kepada pelakon, pengarah, penulis dan penerbit, Jerry Lewis yang diperkenalkan menerusi siri My Friend Irma pada 1949 apabila menerima anugerah khas ‘The Jean Hersholt Humanitarian’.

Pemberian trofi ini dinilai berdasarkan kejayaan peribadi dan sumbangan pelakon atau penggiat seni kepada masyarakat.

Jerry Lewis yang turut dikenali sebagai pelakon komedi cukup aktif dalam -persatuan kebajikan dan kemanusiaan khususnya membabitkan kanak-kanak.

Atur cara malam itu dihangatkan lagi dengan persembahan Beyonce Knowles, John Legend dan Queen Latifah.

KEPUTUSAN ANUGERAH ACADEMY KE-81

1. Filem Terbaik – Slumdog Millionaire

2. Pengarah Terbaik – Danny Boyle (Slumdog Millionaire)

3. Aktor Terbaik – Sean Penn (Milk)

4. Aktres Terbaik – Kate Winslet (The Reader)

5. Aktor Pembantu – Heath Ledger (The Dark Knight)

6. Aktres Pembantu – Penelope Cruz (Vicky Cristina Barcelona)

7. Filem Luar Terbaik – Departures (Jepun)

8. Filem Animasi Terbaik – WALL-E

9. Lakon Layar Adaptasi – Simon Beaufoy – Slumdog Millionaire

10. Lakon Layar Asal Terbaik – Dustin Lance Black (Milk)

11. Pengarahan Seni – The Curious Case of Benjamin Button

12. Sinematografi – Slumdog Millionaire

14. Suntingan Bunyi – Slumdog Millionaire

15. Suntingan Terbaik – Slumdog Millionaire.”

16. Skor Asal Terbaik – A R Rahman (Slumdog Millionaire)

17. Lagu Asal Terbaik – Jai Ho (A.R. Rahman dan Gulzar/Slumdog Millionaire)

18. Mekap Terbaik – The Curious Case of Benjamin Button

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: