Tercapai Impian

24 Feb

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Selepas lima kali dicalonkan baru sekarang Kate Winslet menggenggam trofi Oscar bagi Aktres Terbaik

TANPA perlu membariskan pelakon popular dan dikategorikan sebagai filem murah, Slumdog Millionaire mengulangi kejayaan pernah diraihnya ketika Anugerah Golden Globe ke-66 dan British Academy Film Awards (Bafta) yang lalu apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik Anugerah Academy ke-81 yang berlangsung dalam suasana penuh gilang gemilang di Kodak Theatre, Los Angeles, semalam.

Malah, filem arahan David Boyle itu berjaya mengungguli lapan anugerah daripada sepuluh kategori dipertandingkan malam itu. Selain dipilih filem terbaik, Boyle diiktiraf sebagai pengarah terbaik dan filem Slumdog Millionaire dilengkapi Lakon Layar Adaptasi, Skor Asal Muzik, Sinematografi Terbaik, Lagu Terbaik, Adunan Muzik Terbaik dan Suntingan Terbaik.

Kemenangan besar filem yang berkisar mengenai kehidupan seorang budak lelaki yatim piatu dan miskin di Mumbai yang kehidupannya berubah apabila dia memenangi program gameshow Who Wants To Be A Millionaire versi India itu bukan sesuatu yang mengejutkan, malah memang disebut-sebut bakal memang besar pada malam itu berdasarkan komen diberikan kebanyakan karyawan seni di Hollywood.

Kemarau penantian Kate Winslet yang lima kali dicalonkan dalam Golden Globe begitu juga untuk Anugerah Academy berakhir apabila wanita berusia 34 tahun ini akhirnya berjaya juga menggenggam trofi Oscar bagi kategori Aktres Terbaik.

Kate yang diiktiraf bagi peranannya sebagai bekas tahanan kem Nazi dalam filem The Reader kelihatan cukup terharu apabila namanya diumumkan sebagai Aktres Terbaik. Dia mengetepikan empat aktres hebat lain iaitu Meryl Streep (Doubt), Anne Hathaway (Rachel Getting Married), Angelina Jolie (Changeling) dan Melissa Leo (Frozen River).


PENERBIT filem Slumdog Millionaire, Christian Colson dikelilingi pelakon dan sebahagian krew apabila filem terbitannya menang besar termasuk Filem Terbaik pada Anugerah Academy ke-81.

Biarpun sudah dua kali dia menaiki pentas sebelum ini untuk meraih anugerah sama serta untuk filem serupa, Kate menjadi begitu emosi sedikit kali ini apabila dia mengenang kembali saat dia waktu kecil berangan-angan memegang trofi Oscar sambil bercakap di depan cermin.

Sean Penn yang memegang watak sebagai aktivis gay turut menyinar apabila juri sebulat suara memilihnya sebagai pelakon paling layak dinobatkan sebagai Aktor Terbaik, sekali gus menafikan kehebatan empat calon lain iaitu Richard jenkins (The Visitor), Frank Langella (Frost/Nixon), Bradd Pitt (The Curious Case Of benjamin Button) termasuk calon kegemaran Mickey Rourke.

Sewaktu memberikan ucapan kemenangan, bekas suami kepada penyanyi Madonna itu berkata, kejayaan ini barangkali adalah kerana kegigihannya meyakinkan juri untuk menghargai segala usahanya selama ini.

Seperti dijangka, mendiang Heath Ledger mengungguli kategori Aktor Pembantu Terbaik dalam filem The Dark Knight. Jika pelakon yang memegang watak Joker dalam filem itu masih hidup, pastinya dia akan tersenyum bangga kerana pencalonan kali keduanya ini membuahkan hasil selepas dicalonkan buat kali pertamanya menerusi filem Brokeback Mountain. Ibu, bapa dan adik kepada pelakon itu diberikan penghormatan untuk menerima trofi itu bagi pihaknya.


WALL-E memenangi Anugerah Academy kategori Filem Animasi Terbaik

Aktres jelita yang juga bekas kekasih kepada aktor Tom Cruise, Penelope Cruz mencatat kejayaan peribadi apabila menjadi pelakon Sepanyol pertama memenangi anugerah pada majlis Academy. Cruz memenangi kategori Aktres Pembantu Terbaik menerusi filem Vicky Cristina Barcelona.

Wall-E filem Animasi Terbaik

Acara tahunan itu turut menyaksikan Dustin Lance Black memenangi kategori Lakon Layar Asal Terbaik menerusi filem Milk, manakala kisah percintaan antara dua robot, Wall-E diumumkan sebagai pemenang untuk Filem Animasi Terbaik.

Filem The Curious Case of Benjamin Button tidak pulang dengan tangan kosong apabila berjaya meraih dua kemenangan iaitu arahan seni terbaik dan solekan terbaik, manakala The Duchess pula memenangi anugerah pakaian terbaik.

Kisah seorang lelaki yang berani menggadai nyawa dengan berjalan di atas tali yang merentasi antara Menara Berkembar New York berjudul Man on Wire diumumkan sebagai pemenang filem dokumentari terbaik.

Filem dari Jepun berjudul Departures memberi kejutan apabila berjaya menumpaskan calon kegemaran iaitu filem dari Israel berjudul Waltz With Bashir bagi kategori filem asing terbaik.

Majlis yang berlangsung selama lebih tiga jam itu diacarakan pelakon terkenal, Hugh Jackman yang berjaya memukau penonton dengan gaya nyanyian dan aksinya yang bersahaja. Penonton juga turut dihiburkan dengan persembahan Beyonce, bintang High School Musical, Zac Efron dan Vanessa Hudgens serta persembahan lawak jenaka Ben Stiller yang meniru gaya pelakon Joaquin Phoenix, yang bersara dari dunia lakonan kerana ingin menumpukan perhatian terhadap muzik hip hop yang diminatinya.

Keputusan Penuh Anugerah Academy ke-81

Filem Terbaik: Slumdog Millionaire
Pengarah Terbaik: Danny Boyle (Slumdog Millionaire)
Pelakon Lelaki Terbaik: Sean Penn (Milk)
Pelakon Wanita Terbaik: Kate Winslet (The Reader)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Heath Ledger (The Dark Knight)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Penelope Cruz (Vicky Christina Barcelona)
Lakon Layar Terbaik: Milk
Lakon Layar Adaptasi Terbaik: Slumdog Millionaire
Filem Animasi Terbaik: Wall-E
Filem Asing Terbaik: Departures
Sinematografi Terbaik: Slumdog Millionaire
Suntingan Terbaik: Slumdog Millionaire
Kesan Visual Terbaik: The Curious Case Of Benjamin Button
Arahan Seni Terbaik: The Curious Case Of Benjamin Button
Rekaan Pakaian Terbaik: The Duchess
Solekan Terbaik: The Curious Case Of Benjamin Button
Suntingan Bunyi Terbaik: The Dark Knight
Adunan Bunyi Terbaik: Slumdog Millionaire
Skor Asal Terbaik: Slumdog Millionaire
Lagu Terbaik: Slumdog Millionaire (Jai Ho)

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: