Bergerak Solo

25 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Mengikut jejak Malique dengan menerbitkan lagu, album secara bersendirian

JOE Flizzow atau Joe sudah meredah pelbagai kesukaran ketika mengharungi dunia seni selama hampir satu dekad dengan rakan seperjuangannya Malique Ibrahim (Malique) dalam kumpulan Too Phat.

Agak membanggakan juga kerana berkat kegigihan mereka itu, Too Phat pernah menimbulkan fenomena tersendiri suatu ketika dulu.

Malah, duo ini cukup diingati dengan lagu Alhamdulillah menampilkan aktres seberang, Dian Sastrowordoyo dan Dua Dunia bersama Datuk Siti Nurhaliza.

Namun begitu, selepas menghasilkan album Rebirth Into Reality, Joe dan Malique memilih jalan untuk tampil secara solo. Keputusan itu menimbulkan pelbagai spekulasi hingga ada yang menganggap kumpulan hip hop ini sebenarnya sudah berpecah.

Misteri kehilangan Malique juga mengundang pelbagai andaian dan paling mengejutkan tahun lalu apabila dia menamatkan zaman bujang dengan model dan pelakon jelita, Melissa Maureen Rizal di Indonesia.


LANCAR sudah album sulung Joe berjudul The President.

Bagaimanapun, bagi Joe, Too Phat belum berkubur kerana peninggalan seni kumpulan ini tidak akan berakhir dengan begitu saja.

Menurutnya, dia ingin terus melihat kumpulan itu melakukan kemunculan semula atau ‘come back’.

Katanya, apa yang terjadi kepada Malique memang masih meninggalkan tanda tanya biarpun rakannya itu sempat mengeluarkan album solo terbarunya menampilkan lagu hit, Mantera Beradu bersama M Nasir.

Berkat paduan itu juga sudah melayakkan mereka ke Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 bagi kategori Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular.


KELUARGA tersayang tidak jemu memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Joe.

“Sebagai aktivis seni, kami merancang untuk kembali tapi tidaklah secepat mungkin. Perihal kami berpecah sudah lama menjadi buah mulut orang hingga ada cerita yang mengatakan kami bergaduh. Ia hanya khabar angin dan Too Phat belum berkubur, cuma masing-masing memberi tumpuan kepada projek sendiri.

“Saya dan Malique menubuhkan Too Phat sejak usia saya 19 tahun. Kini sudah sedekad kumpulan hip hop ini bertapak dalam dunia muzik. Takkan semudah itu kami mahu membubarkan Too Phat. Kami berusaha keras mengukuhkan genre hip hop di Malaysia.

“Kami menunggu masa sesuai untuk mengembalikan Too Phat. Mungkin juga kami akan menggunakan pendekatan yang selalu menjadi pilihan penggiat seni sekarang iaitu melalui penghasilan lagu single. Lagipun kita semua tahu Malique sudah berkahwin dan dia kini dalam proses untuk menyesuaikan diri untuk menjadi orang sudah berkeluarga atau menjadi ‘family man’,” katanya sewaktu ditemui di Hard Rock Cafe minggu lalu.

Di premis hiburan terkenal itu, Joe mengikuti jejak rakannya Malique dengan melancarkan album solo sulungnya diberi judul The President. Album yang cukup bermakna dalam diari hidupnya ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Bagi album itu, Joe bekerjasama dengan teman seperjuangannya dari luar negara seperti Hady Mirza & TerryTyeLee (Singapura), Thaitanium (Thailand), Joeniar Arief (Indonesia, Jin (Amerika Syarikat) dan Phlowtron (Malaysia).

Istimewa juga single pertama daripada Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak ialah memuatkan lagu Isabella yang pernah dipopularkan kumpulan Search.

Menurutnya, selepas mendapat keizinan daripada kumpulan Search, dia tidak membuang masa untuk menyanyikan semula lagu itu dan terus memasukkan dalam album The President.

“Dia (Amy Search) memberi sokongan penuh atas apa yang saya usahakan ini terhadap lagu Isabella. Atas keizinannya, saya melakukannya sepenuh hati. Umum juga tahu nama seperti Search, Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid mencipta fenomena di negara jiran kita, selain Indonesia. Mereka sentiasa diingati dan atas alasan itu juga saya ingin menembusi pasaran sana.

“Kejayaan Amy memberi inspirasi kepada saya kerana selain dianggap lagenda, dia juga cukup berjaya sebagai usahawan. Selalu kalau berpeluang bertemu dengannya, dia tak lokek memberi nasihat dalam apa yang dilakukan. Saya juga ingin mengikut jejaknya.

“Akhir bulan ini saya akan ke Indonesia kerana terbabit dengan persembahan dan apabila sudah berada di sana, saya akan berbincang mengenai usaha membawa album ini ke pasaran negara itu. Jika dulu, saya di bawah label EMI, sekarang mendapat kerjasama Warner pula untuk edaran. Semuanya belum dapat dipastikan,” katanya yang sudah mempunyai kekasih hati.

Tiada lagi imej budak hip hop

MELIHAT kepada imejnya kini nampak lebih kemas dan tiada lagi imej budak hip hop yang gemar memakai topi, berbaju besar dan seluar pendek yang labuh hingga paras lutut. Malah, ada yang mula melabel dirinya sebagai Jay Z Malaysia.

Katanya, seiring dengan usianya yang bakal menginjak 30 tahun pada Oktober ini, ia dilihat sebagai antara peralihan transformasi dunia barunya.

Sambil berseloroh, Joe berkata, wajahnya mungkin sekali pandang seiras dengan Jay Z tapi seboleh-bolehnya dia enggan dibayangi dengan jolokan itu.

Tambahnya lagi, wajahnya mungkin sedikit kacak daripada penyanyi rap dan usahawan berjaya itu.

“Saya tidak boleh menidakkan suami kepada Beyonce Knowles itu banyak memberi inspirasi dan pengaruh bukan kepada saya saja, malah orang lain.

“Kesannya cukup besar terhadap saya. Memang saya berharap suatu masa nanti dapat berjumpa dengannya. Mana tahu, saya dapat berkongsi muzik dan ideologi dengannya,” katanya yang tidak kisah berimej memakai kot.

Ditanya mengenai kebangkitan band indie yang semakin mendapat perhatian sejak tiga tahun kebelakangan ini, Joe melihat ia sebagai satu perkara yang positif.

Katanya, ia juga menandakan bahawa masyarakat Malaysia sudah mula terbuka menerima pelbagai genre muzik.

“Ia satu impak yang positif dan sebelum kemunculan Estranged, Meet Uncle Hussain, Hujan dan Bunkface lagi, kita sudah ada kumpulan seperti Butterfingers dan OAG yang juga bermula secara underground.

“Perjuangan mereka dalam tempoh yang lama tanpa sebarang perhatian ramai akhirnya berubah serta merta seiring dengan perubahan evolusi muzik di negara kita,” katanya yang masih yakin peminat muzik hip hop masih ada.

INFO: Pemahaman Joe terhadap judul albumnya, The President

Albumnya diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Kartel Records yang ditubuhkan sejak 2006.

* Dirakamkan ketika negara sedang sibuk menghadapi pilihan raya.

Katanya lagi, kerana Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, dia hampir menukar judul album ini.

Ia ibarat luahan hatinya dan tidak bermaksud untuk mengatakan dirinya sebagai raja atau presiden kepada Hip Hop.

Ia merujuk kepada diri, seseorang yang boleh mencipta perubahan, melaksanakan sesuatu dan setiap butir bicaranya sentiasa didengar.

Simbol kepada impian Joe sendiri yang mahu mengukuhkan hasil kerja seninya tidak pudar dalam sanubari hatinya.

Dalam usaha untuk mencapai kejayaan dan kesempurnaan pasti akan ada halangan yang datang. Sebagai contoh, sewaktu mula menyanyi lagi, isu cetak rompak mula menular. Begitu juga sekarang, dengan kecanggihan teknologi hingga berlaku penyalahgunaan seperti muat turun lagu secara haram.

Album ini melakukan proses mastering secara maya di California membabitkan dua studio di Hollywood dengan kos harga RM10,000.

Lapan lagu dalam album ini menggunakan teknik muzik yang dipanggil 808s yang sering digunakan penyanyi rap, Timberland.

Penerbit yang terbabit untuk album ini tidak pernah langsung terbabit dalam penghasilan album Too Phat sebelum ini.

Lebih 80 ke 100 lagu dipilih sebelum ia dikecilkan menjadi 14 lagu pada akhirnya.

INFO: Joe Flizzow

Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 16 Oktober 1979.

Menyertai Too Phat pada usia 19 tahun

Album ini diciptanya ketika Joe ‘keseorangan’ dan ketika kisah ‘kehilangan’ Malique mula diperkatakan.

Masih menghubungi dan bertemu dengan Malique. Malah, Malique antara orang pertama ditunjukkan hasil akhir album ini.

Anak kepada bekas pembaca berita TV3, Ishak Nengah dan wartawan, Aishah Ali.

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: