Hollywood: Pelakon, Penduduk Berpesta

25 Feb

Susunan Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
KEJAYAAN filem Slumdog Millionaire mencatat kejayaan besar dengan lapan anugerah termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik pada Anugerah Academy ke-81 kelmarin, turut disambut penuh gembira rakyat miskin di Mumbai, India.

Satu lorong kecil berdekatan landasan kereta api di Mumbai, bertukar menjadi satu pesta apabila mereka beramai-ramai menari dan menyanyi meraikan kejayaan filem arahan Danny Boyle yang banyak paparkan kehidupan orang miskin di Mumbai.

Barisan pelakon filem itu yang terbang dari India ke Los Angeles untuk menghadiri majlis paling prestij di Hollywood itu turut diraikan dalam acara khas selepas selesai majlis anugerah bersama pemenang lain serta tetamu undangan.

Ramai pihak menganjurkan majlis khas ini sebaik saja selesai majlis anugerah yang berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles, sebagai tanda penghargaan dan meraikan pemenang, walaupun dalam keadaan dunia mengalami krisis ekonomi.

Antaranya majlis anjuran Fox Searchlight di ONE Sunset di West Hollywood khusus meraikan kejayaan filem Slumdog Millionaire dan The Wrestler.

Ayush Mahesh Khedekar, 8, yang memegang watak Jamal waktu kecil, hanya minum Coca-Cola dalam tin berbeza tetamu dewasa lainnya meraikan kejayaan itu dengan champange dan minuman keras lainnya bersama hidangan koktel.

Apa yang dilalui Ayush yang tinggal di India, umpama peluang sekali seumur hidup. Ayush duduk di sofa di kelab itu sambil minum soda dalam majlis berlangsung sampai lewat malam.

“Saya sangat teruja,” komen Ayush mengenai kejayaan Slumdog Millionaire.

Katanya, ia sesuatu yang tidak diduga sama sekali. Malah seumur hidupnya tidak pernah bermimpi akan menghadiri majlis Oscar dan filem lakonannya mencatat kejayaan besar.

“Kejayaan ini tidak pernah saya jangkakan dan saya tidak pernah bermimpi berada di sini. Daniel (pengarah Danny Boyle) ada berkata, kalau saya buat bersungguh-sungguh, Oscar akan datang kepada saya. Ternyata kini ia menjadi kenyataan,” katanya.

Madhur Mittal yang memegang watak Salim, tidak melepaskan peluang mengambil minuman setiap kali pelayan wanita lalu membawa minuman.

“Ia jauh berbeza dengan kehidupan biasa saya. Saya datang dari India dan tidak pernah bermimpi berada di sini menghadiri majlis Oscar kerana hanya memegang watak kecil dalam filem ini. Ini hari paling bermakna dalam hidup saya,” katanya.

Tidak jauh dari majlis Fox Searchlight, berlangsung acara lebih meriah anjuran Vanity Fair khusus untuk bintang kelas A Hollywood di Hotel Sunset Tower di West Hollywood.

Pemenang Oscar malam itu diraikan dengan sambutan cukup meriah, apatah lagi majlis tahunan ini tidak dapat diadakan tahun lalu kerana mogok dilancarkan di kalangan penulis Hollywood. Kali ini majlis diadakan di tingkat atas hotel beraksikan panorama indah Los Angeles berbanding sebelumnya di Restoran Morton.

Antara tetamu awal yang tiba ialah Kate Winslet yang menang Aktres Terbaik melalui lakonannya dalam The Reader hadir bersama suami, pengarah Sam Mandes. Sebelah tangannya menggenggam oscar dimenangi dan sebelah lagi memegang gelas champagne sambil membalas pelukan tetamu yang tidak putus-putus mengucap tahniah.

“Britain hebat,” ucap Anthony Hopkins sambil memeluk Kate. Ternyata ucapan itu membuat Kate terkejut kerana menerima ucapan tahniah daripada bintang veteran Britain.

Tetamu lain, Jennifer Aniston bersama John Mayer, Halle Berry, Penelope Cruz (Aktres Pembantu Terbaik), Tilda Swintonm, Amy Adams, Uma Thurman, Jake Gyllenhaal, Reese Witherspoon, Robert De Niro, Tina Fey dan Josh Brolin.

Sementara itu Elton John juga menganjurkan majlis di Pacific Design Center bersama tetamu undangannya yang terkenal dan glamor. Antaranya Simon Cowell, Sharon Stone, Chace Crawford dan Carrie Underwood.

Sementara itu Jennifer Love Hewitt meraikan tetamu dalam majlis tahunan AIDS Project Los Angeles di The Abbey manakala Chevy Chase, Laura Dern serta beberapa selebriti terkenal lainnya berpesta dalam majlis gala The Night 100 Stars di Hotel Beverly Hills.

Tidak ketinggalan, Lindsay Lohan menghadiri majlis anjuran Mercedes-Benz di Montage Beverly Hills sementara Sean Penn yang menang Aktor Terbaik bersama Taraji P. Henson, Marisa Tomei, Amy Adams dan Anne Hathaway yang dicalonkan Aktres Terbaik, antara yang tiba awal di majlis yang diadakan di Governors Ball, Kodak Theatre.

Tetamu dihidangkan dengan udang kara dan udang bersama tiga tingkat kotak pencuci mulut yang disalut cokelat. Penn bersama Emile Hirsch yang turut berlakon dalam Milk dan juga bintang Twilight, Robert Pattinsoni berbual sambil menghisap rokok di luar dewan.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: