Dunia Buku: Breaking Dawn Mendebarkan

27 Feb

Oleh Nur Azzureen Nor Hisham

Stephenie Meyer buktikan kepakaran kekal minat pembaca

BREAKING DAWN menakjubkan kerana Stephenie Meyer sekali lagi berjaya meraih minat mahupun perhatian pembaca menerusi novel terbarunya itu yang menjanjikan bacaan mendebarkan meskipun kekal dengan karya fantasi.

Sama seperti novelnya sebelum ini; Twilight, New Moon dan Eclipse, Breaking Dawn penantian yang berbaloi untuk peminat setia pengarang terbabit, meskipun terbahagi kepada tiga bahagian dengan setiap satu menceritakan perjalanan kehidupan dari perspektif watak masing-masing.

Kebijaksanaan penulis dalam merangka perjalanan cerita dalam Breaking Dawn menyebabkan pembaca seolah-olah dipukau untuk terus membelek ke halaman seterusnya dengan bahagian pertama, pembaca dibawa mengikuti perjalanan kehidupan Bella Swan.

Bella sebelum bertunang dengan kekasih hatinya, Edward Cullen, menjalankan penyiasatan mengenai latar belakang kehidupan calon suaminya sebagai pontianak, tetap meneruskan perkahwinannya meskipun diburu mimpi aneh yang menggelisahkannya sebelum hari bahagianya.

Selesai majlis perkahwinan, pasangan terbabit bergegas ke destinasi bulan madu mereka di Pulau Esme milik keluarga Cullen dan Bella sering mengalami mimpi ngeri hingga membimbangkan suaminya serta akhirnya memaksa mereka pulang ke rumah keluarga suaminya di Forks bagi mencari kepastian.

Bahagian kedua pembaca dihidangkan dengan perjalanan hidup sahabat baik Bella, Jacob Black, serigala jadian yang nyata sangat menyayangi dan mencintai Bella, meskipun mengetahui wanita pujaannya itu sudah berkahwin.

Jacob meskipun membenci Edward dan keluarganya, sentiasa berada di sisi Bella ketika wanita itu sedang sakit mengandung serta membuat langkah drastik meninggalkan kawanan serigala jadiannya, lalu membentuk gerombolannya sendiri, demi menjaga keselamatan Bella.

Kandungan Bella yang semakin membesar menyebabkan keadaannya seperti nyawa-nyawa ikan. dan semakin pucat, memaksa ketua keluarga Cullen, Carlisle, memutuskan memberi Bella minuman darah kerana risau keadaannya yang semakin teruk.

Keputusan Carlisle nyata menyelamatkan Bella kerana kandungannya memerlukan darah untuk membesar, tetapi bakal ibu itu berdepan pula dengan masalah kerana kandungannya dilindungi kulit pontianak, meskipun ada cara melahirkannya, ia benar-benar menakutkan!

Bahagian akhir menceritakan kehidupan Bella sebagai pontianak yang hauskan darah sehingga keluarga Cullen turut menjauhkan anak perempuannya, Renesmee kerana bimbang wanita itu akan membunuh anaknya yang juga manusia separuh pontianak.

Keajaiban berlaku apabila Renesmee mempunyai cara tersendiri untuk berkomunikasi dengan orang di sekitarnya walaupun pada usia muda sehingga menyebabkan semua jatuh kasih dan sayang kepadanya.

Bella akhirnya membawa anaknya merantau ke Amerika Selatan, tetapi malang menimpa apabila berlaku salah faham dengan Irina mengenai Renesmee sehingga menyebabkan mereka sekeluarga berada dalam bahaya dan diburukkan lagi apabila sahabat baik Bella, Alice melarikan diri.

Mengapakah Alice bertindak sedemikian, mampukah Bella mengharungi semuanya tanpa kehadiran Alice dan mempertahankan keluarga barunya selain apa pula usahanya dalam menegakkan semula benang yang basah?

Breaking Dawn sarat dengan nilai kekeluargaan, kasih sayang dan nilai persahabatan antara Jacob dengan Bella yang tidak pernah tergugat walaupun wanita itu pernah menyakiti hatinya, manakala cinta mendalam Edward terhadap isterinya terbukti sehingga sanggup melakukan apa saja demi menyelamatkannya.

Seperti novelnya sebelum ini, Stephenie Meyer mampu membawa pembacanya ke alam fantasi yang penuh dengan mitos dan legenda sehingga pembaca berasa terpesona dengan jalan cerita dan penulis juga bijak dalam meletakkan unsur komedi bagi menceriakan bacaan.

Novel ini bacaan wajib peminat setia The Twilight Saga dan jika anda tidak pernah membaca siri sebelum ini, Breaking Dawn mampu menarik perhatian kerana jalan ceritanya mudah difahami selain anda tidak akan dapat tidur dengan lena kerana mahu menyudahkan bacaan.

INFO: Breaking Dawn Penulis: Stephenie Meyer Tebal: 756 halaman Penerbit: Little, Brown and Company Harga: RM49.90 senaskhah Bintang: 4

Mimpi Meyer bawa tuah

MIMPI yang dialaminya menyatakan keperluan menghasilkan novel pertamanya, Twilight yang pada mulanya hanya mensasarkan pembaca muda, nyata terjual lebih daripada 40 juta naskhah dan diterjemahkan kepada 37 bahasa di seluruh dunia.

Stephenie Meyer dilahirkan pada 24 Disember 1973 mula terkenal dengan novel romantis kisah pontianak dalam Twilight, juga penulis novel fiksyen sains, The Host, sehingga diiktiraf penulis laris di pasaran pada 2008 apabila 22 juta buku terjual dalam masa setahun lewat siri Twilight: New Moon, Eclipse, dan Breaking Dawn.

Dilahirkan di Hartford, Connecticut dan dibesarkan di Phoenix, Arizona bersama-sama lima adik-beradik dan memulakan persekolahan di Chaparral High School di Scottsdale, Arizona,

Meyer dianugerahkan National Merit Scholarship kerana kecemerlangan akademiknya.

Meyer memang tidak pernah berniat menjadi penulis, apatah lagi novelis terkemuka dan kerana itu biasiswa yang diperolehnya digunakannya untuk menyambung pengajian di Brigham Young University di Provo, Utah, dalam jurusan sastera bukannya penulisan kreatif.

Beliau teringat sindiran daripada rakan di kolejnya yang mengatakan masa depan mahasiswa jurusannya paling corot dan hanya layak bekerja di restoran, tetapi sindiran itu kini dibalas dengan ketawa sambil membuktikan graduan jurusan sastera lebih berjaya.

Meyer berkenalan dengan suaminya, Christian atau nama gelarannya, Pancho, sejak berumur empat tahun ketika sama-sama membesar di Arizona dan berkahwin pada 1994 serta dikurniakan tiga anak lelaki; Gabe, Seth di samping Eli.

Beliau gemar membaca dan mengambil inspirasi daripada karya sastera klasik penulis yang dikaguminya seperti Orson Scott Card, Jane Austen, William Shakespeare, Maeve Binchy, Charlotte Bronte, Daphne DuMaurier, LM Montgomery, Louisa May Alcott, Eva Ibbotson, William Goldman, Douglas Adams dan Janet Evanovich.

Muzik banyak mempengaruhi beliau dalam berkarya sehingga turut mendengarnya ketika berkarya dan antara pencetus idea kepadanya ialah Muse, Linkin Park, My Chemical Romance, Coldplay, The All American Rejects, Travis, The Strokes, Brand New, U2, Kasabian, Jimmy Eat World dan Weezer.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: