2 Jam Saja

28 Feb

Susunan Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Penelope Cruz

Aktres Pembantu Terbaik, Penelope Cruz tidak fikir panjang menerima tawaran daripada Woody Allen

MELANGKAH bergaya dengan gaun vintaj berkilauan rekaan Balmain berusia 60 tahun membaluti tubuh, Penelope Cruz mencatat sejarah peribadi apabila menjadi aktres Sepanyol pertama menerima Oskar pada majlis Anugerah Academy ke-81, Isnin lalu.

Lakonan mantap yang ditunjukkannya menerusi filem komedi milik Woody Allen berjudul Vicky Christina Barcelona berjaya membuatkan juri sebulat suara memilihnya sebagai Aktres Pembantu Terbaik sekali gus menewaskan calon lain yang tak kurang hebatnya seperti Viola Davis (The Doubt), Marisa Tomei (The Wrestler), Taraji P Hensen (The Curious Case Of Benjamin Button) dan Amy Adams (Doubt).

Begitupun, ada cerita menarik di sebalik kejayaan yang diraih Cruz itu. Siapa sangka, keputusan Cruz menerima watak sebagai Maria Elena dalam filem Allen itu membuka peluang kepadanya untuk menjadi wanita Sepanyol pertama memenangi trofi Oskar di Anugerah Academy edisi ke-81.

Dalam satu temubual bersama pelakon Latin ini, Cruz mengakui dia menerima tawaran untuk berlakon dalam filem Allen itu selepas dua jam melihat skrip yang diberikan.

“Dia berikan saya skrip dan minta saya pulangkan kembali dalam masa dua jam sambil bertanyakan sama ada saya ingin berlakon dalam filem itu ataupun tidak. Kemudian saya baca skrip itu dan menyukainya.Lalu saya pulangkan dan beritahu Allen yang saya ingin berlakon.

“Sebenarnya saya amat menyukai karyanya sejak saya kecil dan selalu bermimpi untuk bekerja dengannya.Tak sangka, impian itu akhirnya menjadi kenyataan,”cerita Cruz dalam satu temubual bersama Time Online.

Kemenangannya itu barangkali bukanlah satu kejutan kerana pelakon ini diakui mempunyai aura tersendiri apabila beraksi di layar perak. Dan kalau bukan kerana aura itu, masakan pemilik nama penuh Penelope Cruz Sanchez ini mampu menjadi wanita Latin yang cukup menyinar di Hollywood sehingga kini.

Berbekalkan seraut wajah jelita, tubuh yang seksi serta bakat semula jadi dalam lakonan membuatkan nama Cruz mampu berdiri sebaris dengan pelakon yang berada dalam senarai A yang lain.

Walaupun mempunyai pakej yang lengkap untuk bergelar pelakon namun jauh di sudut hati jurucakap L’Oreal ini, terselit juga kebimbangan mengenai persembahan yang ditunjukkan dalam setiap lakonannya. Malah, perkara itu adalah sesuatu yang kerap disuarakan Cruz setiap kali diwawancara media.

“Saya selalu berasa tidak selamat setiap kali berada di set walau apapun berlaku. Apabila kamu bekerja dengan Woody Allen, kamu tahu yang dia boleh dipercayai, jika dia percayakan kamu, dia akan beritahu segala-galanya.

“Dia bukanlah lelaki yang suka bercakap tetapi dia jujur dan itulah yang saya harapkan. Kami menjalani penggambaran filem hampir lima minggu lamanya, jadi saya tak tahu apa yang terjadi. Pun begitu saya tak pernah sangsi dengan hasil kerjanya,” kata Cruz yang memiliki kemahiran dua bahasa lain iaitu Perancis dan Itali, selain bahasa ibundanya dan juga Inggeris.

Bukan saja boleh berlakon tetapi juga menyanyi dan menari. Sejak kecil lagi, Cruz sudah diasuh dengan tarian ballet dan juga jazz.Dek kerana minat yang mendalam terhadap bidang seni persembahan, anak kepada pasangan Eduardo Cruz dan Encarna Sanchez, sanggup menghabiskan masa selama sembilan tahun untuk mempelajari tarian klasik ballet di Spain’s National Conservatory di Madrid dan juga tarian ballet Sepanyol di bawah bimbingan Angela Garido selama tiga tahun.

Tak cukup dengan tarian ballet, Cruz turut mempelajari tarian jazz bersama Raul Caballero dan juga Cristina Kota di kota New York selama empat tahun.

Gemar Cinta di Lokasi

BIARPUN hadir di bumi Hollywood bersama 20 filem serta berbekalkan Anugerah Academy Sepanyol sebagai profil dalam fail seninya, namun nama Cruz hanya meledak di Amerika kerana menjalinkan hubungan dengan dua lelaki terkenal iaitu Tom Cruise dan Matthew McConaughey.

Cruz mengenali Tom sekitar 2001 ketika membintangi filem Vanilla Sky. Manakala percintaannya dengan Matthew terjalin pada tahun 2005, selepas berlakon berdua dalam filem Sahara. Namun jodoh tidak menyebelahi kedua-duanya apabila ikatan yang terjalin berkecai di pertengahan jalan.

Walaupun sedikit kecewa namun Cruz reda dengan apa yang berlaku. Namun begitu, tidak lama berseorangan, hati wanita Cruz dilamar jejaka yang juga pelakon popular, Javier Bardem, yang turut menjadi pasangannya dalam filem Vicky Christina Barcelona.

Walaupun sebelum ini, Cruz pernah melafazkan bahawa dia tidak percaya pada institusi perkahwinan namun apabila bertemu dengan pemuda ini, serta merta pendiriannya berubah. Khabarnya, Bardem sudah pun melamar Cruz sewaktu mereka menghabiskan percutian bersama di Perancis, baru-baru ini.

Biarpun cerita ini masih lagi belum sahih akan kebenarannya namun melihat kepada keserasian yang dimiliki pasangan ini bakal membawa mereka ke alam rumah tangga.

Amat menyayangi kanak-kanak, Cruz pernah dilaporkan berkata dia begitu teringin untuk menimang cahaya mata.

“Saya memang teringin untuk mempunyai anak sendiri dan juga anak angkat. Buat seketika, saya dapat merasakan yang hidup saya tak akan sempurna jika saya tidak mengambil anak angkat,” jelas ruz sewaktu ditemubual majalah Marie Claire edisi Sepanyol, April tahun lalu.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: