Komen Kasar Tapi Jujur

2 Mar

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

PERSEMBAHAN peserta One In A Million musim ke-3 (OIAM3) ketika konsert minggu kedua kurang memberangsangkan berbanding ketika minggu pertama.

Kesilapan sama masih dilakukan, misalnya pemilihan lagu tidak tepat dan di luar kemampuan vokal mereka termasuk masalah nyanyian sumbang. Malah difahamkan, ramai peserta kurang sihat mungkin disebabkan perubahan cuaca.

Berasa hampa dengan keadaan itu, akhirnya perkataan ‘menyalak’ terpacul dari mulut juri tetap wanita, One In A Million (OIAM) musim ke-3, Syafinaz Selamat, sewaktu memberi komen terhadap persembahan Aweera, yang membawakan lagu She’s Gone dipopularkan Steel Heart.

Dalam program yang disiarkan secara langsung di 8TV dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu, Syafinaz mengatakan rock gergaji elektrik Aweera tidak berfungsi.

“Saya tahu matlamat anda mahu menyanyi nada paling tinggi tetapi apa yang anda lakukan bukan menyanyi, menjerit pun tidak, mungkin menyalak!” katanya.

Meskipun kenyataan Syafinaz ada benarnya berdasarkan persembahan Aweera yang sumbang, namun segelintir penonton terutama peminat Aweera beranggapan kenyataan yang dilemparkan itu agak kasar dan keterlaluan.

Sejurus selepas Syafinaz menyebut perkataan itu, penonton di studio saling berpandangan dan terkejut. Bahkan laman online OIAM mula dihujani pelbagai kritikan serta komen daripada penonton dan peminat.

Menjelaskan hal ini, Syafinaz yang ditemui pada majlis sidang media sejurus selepas konsert berakhir berkata, komen itu dibuat bukan secara membabi buta sebaliknya perlu jujur kerana itulah yang dirasakan ketika menyaksikan persembahan Aweera.

“Saya minta maaf pada mereka yang tersinggung. Komen pada malam ini mungkin agak kasar bagi sesetengah pihak yang mendengarnya. Apa yang dikatakan itu bukan kerana mahu menjatuhkan mereka atau ada perasaan dengki. Sedikit pun tidak malah kerana sayangkan setiap peserta, saya harus jujur kerana tahu mereka ada potensi.

“Minggu lepas, kami dapat maklum balas penonton yang memuji kumpulan peserta kali ini yang semuanya boleh menyanyi. Alih-alih minggu ini mereka tidak buat dengan baik.

“Menyalak, kenyataan itu kerana saya tidak jangkakan persembahan peserta yang bagus minggu lalu akan seteruk ini. Minggu lepas kami (juri) puji macam nak rak, minggu ini persembahan mereka mengecewakan,” katanya.

Syafinaz yang juga Pensyarah Vokal dan Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, turut diminta menjelaskan punca yang mendorong ‘kegagalan’ persembahan peserta malam itu.

“Sama ada peserta lelaki atau perempuan, kebanyakannya membuat pilihan lagu tidak tepat, tidak menarik, tidak relevan dan tidak melambangkan diri mereka serta di luar kemampuan vokal mereka.

“Saya tidak faham kenapa harus lakukan perkara yang kita tidak mampu. Masalah ini ada kaitan dengan aduan yang kami dengar dari pihak Aubrey Suwito yang maklumkan ada peserta lebih gemar meminta pandangan keluarga sehingga membelakangkan peranan pengarah muzik.

“Saya percaya OIAM menyediakan tenaga pengajar yang terbaik dan berpengalaman malah ilmu daripada mereka inilah yang sepatutnya peserta rebut. Namun, apabila pandangan pengarah muzik sendiri tak mahu dengar, maka timbullah masalah seperti kita saksikan di pentas.

“Bukan tidak boleh minta pandangan keluarga. Kalau ibu bapa berpengalaman luas dalam bidang muzik macam juri jemputan, Salamiah Hassan, tidak mengapalah. Peserta tidak boleh leka kerana ini adalah pertandingan. Setiap kali menyanyi pemilihan lagu kena tepat,” katanya.

Aweera atau nama sebenarnya, Nasharul Aweera Noriyissham, 18, ketika ditanya apakah perasaannya tatkala mendengar komen Syafinaz yang menyamakan nyanyian seperti menyalak, mengakui dirinya tidak sihat sejak dua hari lalu.

“Mulanya diserang demam sehingga kerongkong saya berdarah. Mengenai komen itu, saya tidak tahu nak kata macam mana,” katanya dengan wajah penuh kecewa.

Bagaimanapun, Syafinaz sudah mengingatkan peserta sejak minggu lepas lagi supaya menjaga kesihatan mereka. Katanya, ini pertandingan takkan setiap kali perlu beri alasan sakit dan peserta harus tahu peminat tidak mahu dengar alasan.

Sementara itu seorang lagi juri tetap, Paul Moss, berkata, persembahan minggu ini dan sebelumnya tidak banyak beza kerana masih ada menyanyi sumbang, tetapi ada beberapa peserta berjaya dengan persembahan mereka walaupun terpaksa mengambil risiko.

“Saya suka persembahan Fify malam ini yang membawa penonton melihat sudut berbeza yang ada pada dirinya. Pilihan lagu yang tepat disuntik idea muzik menarik sehinggalah penampilannya malam ini bertentangan personaliti Fify yang sebenar.

“Selepas ini, saya juga mahu melihat lebih ramai peserta mempertaruhkan lagu mereka sendiri sebagaimana dilakukan Amylea. Tindakan itu cukup bijak sekali gus menonjolkan kebolehan lain yang dimiliki mereka,” katanya.

Amylea yang juga Bintang Akademi Fantasia 3 (AF3) turut merampas imuniti daripada teman sebiliknya, Esther yang muncul sebagai peserta pertama menerima kelebihan itu pada konsert pertama dan secara automatik menyelamatkannya daripada sebarang penyingkiran.

“Sewaktu pengacara mengumumkan nama berada di ‘bottom 3’ seawal rancangan tadi saya berasa agak tertekan dan sedih kerana saya enggan pulang. Justeru apabila diberikan imuniti ini saya rasa lega walaupun tidak menjangkakan sama sekali,” katanya.

Jika ia malam paling menggembirakan Amylea, namun sebaliknya buat Nurhidayu Md Tekhary (Ayu), 20, yang berasal dari Muar, Johor apabila diumumkan pengacara, Awal dan Marion Counter sebagai peserta yang tidak berkesempatan meneruskan perjuangan minggu itu.

Belum pun sempat mengembalikan kepercayaan penonton di konsert minggu kedua menerusi persembahannya dengan lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi (Mulan Jameela), Ayu terlebih dulu disingkirkan, gara-gara kegagalan persembahannya minggu lalu menerusi lagu Matahari (Agnes Monica).

Ayu bukan hanya agal menambat undian penonton bahkan, Paul Moss sendiri meramalkan namanya salah seorang daripada empat peserta yang akan pulang malam itu.

“Saya sudah jangka akan tersingkir dan akuinya persembahan minggu lalu tidak memuaskan. Saya sudah bersedia walaupun tidak nafikan kecewa dan sedih tetapi tidaklah mahu menangis sampai pengsan.

“Tersingkir bukan titik noktah perjuangan saya, banyak peluang yang terbentang dan kita kena rajin mencarinya. Rancangan saya selepas ini adalah bergerak bersama band saya,” katanya.

Daripada 11 peserta yang meneruskan perjuangan, hanya tiga berjaya memberi persembahan membanggakan. Selain mengambil risiko keluar dari zon selesa mereka pada malam bertemakan ‘Memori Tercipta’ itu yang turut menampilkan penyanyi senior, Salamiah Hassan sebagai juri jemputan.

Mereka adalah Fify yang menyampaikan lagu Tidak Tercapai Akalmu dipopularkan Elyana, Simon (Knocking On Heavens Door/Guns N’ Roses) dan Amylea dengan lagu ciptaannya sendiri, Akan Tiba dipopularkan oleh Alif (OIAM musim pertama).

Diselubungi perasaan sedih akibat penyingkiran Ayu, persembahan pemenang imuniti minggu lepas, Esther yang membawakan lagu Mengenangmu (Kerispatih) terganggu sekali gus menyebabkan persembahan kurang mendapat pujian berbanding sebelumnya.

Nine yang juga vokalis kumpulan Coco turut menghampakan juri serta peminat menerusi lagu yang dipertaruhkan, Berita Dari Rantau (Alleycats). Peserta lain, Anith (Rindu/Hetty Koes Endang), Rizu (My Way/Frank Sinatra), Han (Getaran Jiwa/P Ramlee), Tomok (Rahsia Pohon Cemara/Exist) dan Pija (Since You’ve Been Gone/Kelly Clarkson) yang menampilkan persembahan cukup makan.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: