'Masih Ada Yang Sayang'

2 Mar

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
HANYA berbeza 0.2 mata atau 200 undi SMS daripada penonton, peserta Mohamad Amirullah Azmi atau Amir berjaya mengatasi kumpulan LNJ untuk layak ke peringkat akhir program realiti, Raja Lawak musim ketiga.

Amir bersama kumpulan LNJ yang dianggotai Afzan Saffuan Ahmad dan Wan Sharizon Rahim berkongsi kedudukan SMS terendah pada peringkat separuh akhir program ini yang berlangsung pada Jumaat lalu.

Menariknya, Amir menjadi peserta ketiga melangkah ke peringkat akhir bersama Nuur Jihan Musa (Jihan) serta kumpulan Sepah dibarisi Shamira Muhamad, Mohd Nadzri Zainal Abidin dan Mohd Noor Murad.

Berbeza dengan cabaran lapan minggu sebelumnya, kali ini setiap peserta diberi dua tugasan iaitu pertama, lawak dengan tema Kisah Sebuah Cinta manakala kedua, peserta diberi satu barang sebagai idea berlawak.

Antara empat peserta yang masih tinggal, Jihan mendapat undian SMS tertinggi penonton sebanyak 30.6 peratus diikuti Sepah (25.9 peratus) dan Amir (21.8 peratus). Nyata, persembahan Jihan turut memikat hati tiga juri profesional, Zaibo, Fauziah Nawi dan Radhi Khalid sebagai juri jemputan.

Untuk dua persembahan, Jihan berjaya mencetuskan tawa penonton. Fauziah menyatakan Jihan bijak dalam bermain kata-kata dan mempunyai idea lawak yang menghiburkan.

Zaibo juga memuji Jihan kreatif dalam membuat penonton berimaginasi dengan persembahan lawaknya. Radhi pula memberi kata-kata semangat kepada Jihan agar lebih agresif dengan mencari stamina pada persembahan.

Seperti Jihan, Sepah turut mendapat pujian juri. Kata Fauziah, kumpulan trio itu berjaya menunjukkan peningkatan setiap minggu. Zaibo menyifatkan persembahan Sepah mempunyai dinamik dengan gabungan tiga anggota manakala Radhi melihat kumpulan ini bersedia dan menghiburkan.

Persembahan duo LNJ pula mendapat komen positif daripada Zaibo yang mengatakan kumpulan ini mempunyai kombinasi yang baik antara satu sama lain dan menghiburkan. Fauziah menegur lontaran suara Afzan yang kurang jelas pada persembahan pertama manakala faktor terlalu banyak idea menjadikan persembahan kedua kurang menarik.

Radhi menilai persembahan kumpulan ini pada tahap sederhana tetapi bagus kerana mempunyai semangat untuk mencuba idea lawak baru.

Untuk persembahan Amir, tiga juri mempunyai pandangan yang sama iaitu peserta masih mempunyai kelemahan pada gaya penyampaian yang mendatar dan tersekat. Walaupun Fauziah menilai persembahan Amir kali ini tiada kemajuan tetapi dia dan Zaibo beranggapan Amir adalah peserta bertuah kerana masih bertahan.

Radhi masih percaya Amir mempunyai idea lawak yang menarik sebaliknya kekurangan dari aspek keyakinan diri. Bagi Amir pula, dia mengakui persembahan kali ini adalah yang paling teruk dan masih mempunyai masalah untuk menghubungkan antara satu cerita pada cerita lain. Katanya, dia cuba perbaiki kelemahan diri sebagai persiapan ke peringkat akhir nanti.

“Ada juga rasa bersalah apabila LNJ diumumkan tersingkir. Walaupun persembahan kali ini teruk tetapi saya berusaha untuk memberi yang terbaik pada persembahan akhir nanti,” katanya.

Jihan pula sebenarnya sejak awal lebih selesa tidak meletakkan sebarang jangkaan untuk menang. Namun, dia tetap gembira apabila menjadi peserta wanita pertama yang layak ke peringkat akhir program ini.

“Sejak awal, saya rasa sukar untuk berlawak kerana peserta lelaki lebih cepat sesuaikan diri. Bagaimanapun, saya fokus pada persembahan agar bertambah baik. Sebelum ini, saya tidak termimpi untuk menjadi Raja Lawak kerana hasrat awal saya menyertai program ini sekadar mahu mencuba nasib.

“Sebelum ini, saya pernah terbabit dengan teater dan kini saya mencari kepuasan sebagai pelawak. Pada saya, Sepah memberi saingan kuat kerana mereka mempunyai idea daripada tiga anggota,” katanya.

Kumpulan Sepah sebaliknya tidak berasakan mereka berada dalam kedudukan selesa tetapi melihat Jihan dan Amir masih mampu memberi saingan kuat kepada mereka. Kata Mohd Nadzri, keputusan siapa juara bergantung pada penonton untuk mengundi menerusi SMS.

“Kami sering berbincang dan membantu satu sama lain supaya persembahan bertambah baik. Juri sebenarnya banyak memberi semangat kepada kami untuk berlawak. Malah, kami tidak mahu dibandingkan dengan pelawak popular Senario sebaliknya kami adalah pelapis generasi pelawak,” katanya.

Bagi LNJ, mereka menganggap kekalahan ini bukan rezeki untuk mereka pergi ke peringkat akhir. Kata Afzan, mereka terpaksa akur dengan konsep program realiti apabila SMS penonton menjadi penentu berbanding persembahan itu mendapat pujian juri.

Katanya, Amir masih mempunyai kelebihan kerana tagline I’m Sorry disukai penonton sama ada tua atau muda. Mengenai perancangan selepas ini, Wan Sharizon pula berkata mereka mahu meneruskan impian bergelar pelawak.

“Kami menganggap program ini sebagai platform untuk belajar perkara baru. Mungkin jika selepas ini ada peluang lain seperti berlakon, kami juga mahu mencuba nasib. Bagaimanapun, kami percaya masih ada penonton yang sayangkan kami walaupun kami tidak mendapat undian yang banyak,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: