Luasnya Alam Muzik M Nasir

3 Mar

Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my

PEMUZIK iringan yang diketuai Nan membantu menghangatkan lagi konsert Alam Muzik M Nasir di Istana Budaya.

Tiga jam beraksi dalam konsert tanpa henti membuktikan tenaganya masih belum berkurangan

DALAM usia 52 tahun, menyanyikan 30 lagu dalam masa tiga jam untuk tiga malam berturut-turut tetapi aksi dan tenaga yang dipaparkan M Nasir bagaikan anak muda berusia 25 tahun. Tiada tanda kepenatan biarpun peluh sudah membasahi bajunya.

Dia terus berdiri tatkala bermain gitar secara solo sedangkan pemuzik yang mengiringinya masih ada kesempatan untuk berehat seketika.

Pentas Panggung Sari di Istana Budaya memang cukup luas dan jelas sekali Nasir tidak menggunakan sepenuhnya ruang yang ada tetapi itu bukanlah satu kekurangan pada dirinya.

Alam muzik M Nasir memang cukup luas. Daripada pop rock kepada inang dan joget, Daripada keroncong, jaipong dan irama padang pasir hinggalah kepada muzik funky. Segala-galanya dikeluarkan sepanjang tiga jam beraksi dalam persembahan yang dinamakan Konsert Alam Muzik M Nasir.

Biar dalam genre muzik apa sekalipun, yang ketara ialah jiwa dan jati diri semangat Melayu kukuh dalam diri penyanyi dan komposer ini. Terbukti apabila setiap lagu yang dinyanyikannya sepanjang konsert itu, mesti terdapat elemen keMelayuan atau paling tidak ada unsur Nusantaranya.


GAYA seorang penghibur.

Dimulakan menerusi lagu Cermin Mimpi diikuti dengan Bukalah Hatimu dan diakhiri pula dengan Juwitaku…Citra Terindah, segala-galanya memang tidak menghampakan penonton yang memenuhi tempat duduk tiga tingkat Istana Budaya.

Tidak dinafikan barisan pemuzik yang diketuai oleh Aznan Alias turut membantu memantapkan lagi persembahan M Nasir. Alunan gitar bass daripada Jay Jay cukup jelas dan menghiburkan, satu bukti betapa pengalamannya sebagai orang lama memang tidak pernah berkarat.

M Nasir juga tidak perlu bercakap banyak. Itu mungkin satu kebetulan dengan karektornya yang serius dan pendiam. Dalam konsert sepertinya, memang Nasir tidak perlu berkomunikasi secara dua hala dengan penonton kerana jika dilakukan ia adalah suatu aksi yang klise.

Lagipun beliau bukan orang baru dalam alam muzik ini untuk berbuat demikian. Dan, penonton bukan hendak mendengar dia berceloteh.


KUDRATNYA tidak berkurangan walaupun beraksi tanpa henti hampir tiga jam.

Namun sesekali bercakap, penuh dengan sindiran. Walaupun bersahaja, tetapi kayanya sinis.

“Ada syarikat yang berasakan apa kelas kalau mereka menaja (konsert) penyanyi tempatan,” katanya dalam senyum tetapi maksudnya cukup mendalam. Atas sebab itulah, katanya, dia juga tidak ketinggalan untuk penyanyi yang dibawa khas dari Los Angeles iaitu ‘Beyonce’, ‘Rihanna’ dan ‘Britney Spears’.

Hakikatnya, ketiga-tiga nama penyanyi yang disebutkan tadi ialah penari perempan berbadan besar untuk menari mengiringi Nasir menyanyikan lagu Sahabat Gua dalam irama jaipong.

Lagu Mentera Semerah Padi yang dipetik daripada album Canggung Mendonan ternyata bagaikan menyuntik semangat penonton untuk bangkit menggerakkan badan mengikut alunan irama. Memang tidak sukar untuk mengenali lagu ini apabila seorang peniup serunai muncul beraksi secara solo.

Sekadar mengimbas perjalanan awal seninya, M Nasir menyanyi lagu Hati Emas tetapi ada sedikit gubahan apabila pengenalannya disuntik dengan lagu Ekspres Rakyat. Begitu juga dengan lagu Keroncong Untuk Ana dan Suatu Masa, yang semuanya adalah untuk mengimbas nostalgia Nasir Kedua kumpulan Kembara yang turut disertai A Ali dan S Sahlan sekitar penghujung tahun 80-an.

Bagaikan mengikut urutan, dia kemudian menyanyikan lagu Rajawali Terbang Tinggi dipetik daripada album solo pertamanya diterbitkan pada tahun 1989. Selain Rajawali M Nasir turut menyanyikan lagu Falsafah Cinta yang asalnya berduet dengan Rahim Maarof.

Cerita dan lagu M Nasir

IBARAT sebaris seni kata lagu Ada, iaitu Dalam Aku, ada dia, dan dalam dia ada kita semua – hampir semua lagu yang dinyanyikan oleh M Nasir memang ada kisah dan ceritanya tersendiri sama ada tersirat atau tersurat.

Mentera Semerah Padi yang dimuatkan dari album Canggung Mendonan pada tahun 1993, Loloq bagaikan menjadi teras kepada Konsert Alam Muzik M Nasir. Lagu yang seni katanya ditulis oleh Nurbisa (nama lain yang digunakan oleh Allahyarham Loloq) menghangatkan suasana dalam panggung.

Lagu Apokalis (dari album Saudagar Mimpi, 1992) pula mengenai realiti kehidupan bahawa dalam apa perancangan manusia, yang menentukan ialah kuasa Yang Maha Besar iaitu kalau sesuatu hendak terjadi, ia tetap terjadi juga dengan izinNya.

Ceritanya mengenai kesetiaan dan perjuangan orang Melayu yang tidak berbelah bagi dalam mempertahankan sesuatu yang hak.

Ternyata muzik rentak perlahan atau sentimental seperti bukan jiwa M Nasir. Penyanyi ini hanya berdiri tegak apabila menyampaikan lagu bernada syahdu seperti Keroncong Untuk Ana, Suatu Masa, Hijab Kekasih dan Masirah serta lagu yang dikatakan paling seksi baginya iaitu Sentuhan Listrikmu.

Biarpun diakui lagu balada nyanyiannya tetap indah, tetapi dalam konsert seperti ini, penyanyi itu selesa untuk membawakan lagu rancak biarpun ia bermakna itu akan mengerah banyak kudratnya.

Ketika inilah dapat disaksikan bagaimana M Nasir seperti orang ‘naik hantu’ dengan aksi tari yang cukup spontan saja sehingga tidak dapat dipastikan sama ia silat, tarian atau kungfu. Tetapi itulah gaya Nasir apabila menyanyikan lagu Raikan Cinta, Ada, Phoenix Bangkit Dari Abu dan Andalusia atau Keroncong Nostradamus.

Sambil bermain gitar secara solo pula, Nasir menyanyikan lagu Langgam Pak Dogo dalam loghat Kelantan selain dengan bersahaja mengalunkan lagu klasik daripada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Getaran Jiwa.

Begitupun tidak dinafikan barisan pemuzik yang mengiringi persembahannya selama tiga jam memang antara terbaik dan menjadi tulang belakang konsert. Diketuai oleh Aznan Alias atau Nan sebagai pemain gitar utama, pemuzik lain ialah Zulkifli Mahat (piano), Jay Jay (bass), Ahmad Firdaus Mahmud (keyboard pertama), Eddie Ahmad@Eddie Sham (keyboard kedua), Mohd Hanafi Hamdan@Napie Spider (gitar kedua), Shaharudin Sariman@Ujang (drama), Muhardiman Ismail@Mohar (seruling), Khairul Izwan Kamrulzaman@Pa’ang (perkusi pertama) dan Hamzah Hashim (perkusi kedua).

Turut membantu persembahan vokal M Nasir ialah empat penyanyi latar iaitu Tijah Muhamad Nor, Yuaz Bahtiar Kasim, Juwanita Ismail dan wan Mohd Azran Wan Hamzah.

Tiga jam memang tidak cukup untuk menyanyikan semua lagu-lagu terbaiknya. Banyak lagu popular tidak disampaikan oleh M Nasir seperti Tanya Sama Itu Hud Hud, Anak Anak Kita, Bonda, Mustika, Biarkan Luncai Terjun dan banyak lagi.

Seperti kata-kata Nasir dalam kulit album Phoenix Bangkit; “Selagi mentari harapan memancarkan sinarnya, akan tetap ada lagu untuk dinyanyikan. Syukur pada illahi atas segala-galanya.”

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: