N.E.R.D Dan Korn Beraksi Di KL

3 Mar

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

KORN akan muncul di Kelab Equesterian Bukit Kiara pada 21 mac.

Penyanyi, pemuzik tempatan juga diundang jayakan Festival Muzik Antarabangsa Sunburst

PERSOALAN penyanyi antarabangsa manakah yang akan beraksi bersama kumpulan N.E.R.D pada Festival Muzik Antarabangsa, Sunburst KL 2009 pada 21 Mac depan akhirnya terjawab apabila penganjur mengundang kumpulan rock terkemuka, Korn dan penyanyi R&B terkenal Erykah Badu.

Pengumuman yang dilakukan Pengarah Urusan Pineapple Concerts, Razman Razali yang juga penganjur konsert itu sekali gus menepis desas-desus yang mengatakan kononnya kumpulan rock dari British, Coldplay bakal menggegarkan acara festival tahunan itu.

Selain nama yang disebutkan tadi, Razman berkata kumpulan R&B dan Soul, Naturally Seven, penyanyi dari Britain, Skye, yang juga bekas vokalis kumpulan Morcheeba dan kumpulan hip-hop popular Amerika turut diundang menjayakan konsert itu. Turut diundang, penyanyi dari seberang seperti Nidji serta Andra & The Backbone.

Mengulas ketiadaan Coldplay biarpun sebelum ini kononnya ada percubaan untuk membawa kumpulan itu, Razman mempunyai alasan tersendiri berhubung perkara itu.

“Kami memang ada menawarkan mereka untuk membuat persembahan pada malam itu tetapi memandangkan kos yang diperlukan agak tinggi, jadi kami terpaksa melupakan hasrat itu. Begitupun, kumpulan Korn dan Erykah Badu juga mempunyai peminat tersendiri di sini.


Erykah Badu

“Erykah misalnya seorang penyanyi R& B yang berpengaruh dan kami sebenarnya ingin mengundang Erykah pada festival ini tahun lalu tetapi gagal. Lebih menarik, mereka akan membuat kemunculan secara eksklusif di sini dan mereka tidak akan berkunjung ke mana-mana negara Asia dalam tempoh itu,” kata Razman pada majlis sidang media mengumumkan barisan artis antarabangsa dan Xpac sebagai penganjur bersama konsert itu.

Hadir sama, Naib Presiden Pemasaran Celcom (Malaysia) Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin.

Ditanya mengapakah mengambil penyanyi yang boleh dikategorikan sebagai “senior” dan bukannya penyanyi muda, Razman berkata perkara itu sebenarnya sudah ada di dalam fikiran mereka.

“Kami memang ada bertanyakan perkara ini kepada penyanyi muda seperti David Archuleta. Tahun lalu penyanyi yang terpilih untuk menjayakan festival muzik itu ialah Incubus dan John Legend,” katanya.


Rihanna

Konsert yang bakal berlangsung di Kelab Equesterian Bukit Kiara selama 12 jam itu mengetengahkan pelbagai bentuk genre muzik seperti rock, R&B, pop, jazz dan hip-hop.

Bukan saja penyanyi dan pemuzik luar negara, tetapi konsert itu turut menampilkan penyanyi dan kumpulan muzik tempatan yang mempunyai nama besar dan antara yang sudah mengesahkan tempat termasuklah Meet Uncle Hussain, Hujan, Estranged, Butterfingers, Bunkface, Estrella, Pesawat, Gerhana Ska Cinta dan Joe Flizzow.

Pun begitu, terdengar juga suara nakal yang mengatakan ada di antara kumpulan muzik tempatan yang diundang itu tidak mendapat bayaran sesen pun walaupun diakui sesetengahnya memang mampu menarik penonton untuk menyaksikan konsert ini.

“Saya tak nafikan yang band tempatan mempunyai daya tarikan tersendiri. Malah tujuan festival ini diadakan pun adalah untuk memberi lebih pendedahan kepada pemuzik tempatan. Cuma soal bayaran, sebenarnya ada antara band tempatan yang kami undang dibayar.

“Yang tak dibayar itu sebenarnya mereka yang secara sukarela hendak membuat persembahan secara percuma dan kami hargai usaha mereka itu,” kata Razman sambil memberitahu sebanyak 2000 tiket telah pun terjual setakat ini.

Konsert Rihanna tetap diteruskan

HARAPAN untuk menyaksikan penyanyi lagu Umbrella dan Unfaithful, Rihanna beraksi di negara ini nampaknya masih ada apabila Razman, mengesahkan penyanyi kelahiran Barbados itu masih berhajat untuk meneruskan persembahan di Kuala Lumpur.

“Pihak ejen Rihanna di Los Angeles menyatakan yang Rihanna masih berminat untuk meneruskan konsertnya di sini. Dalam perbualan kami, pihaknya akan menetapkan tarikh baru itu dalam masa dua minggu lagi dan kami juga akan meneliti kembali lokasi untuk konsert berkenaan disebabkan tarikhnya sudah berubah,” jelas Razman memberi jaminan.

Katanya lagi, bagi mereka yang sudah membeli tiket konsert itu sebelum ini dan ingin menuntut bayaran semula, ia boleh dilakukan selepas pengumuman tarikh baru konsert itu dibuat.

“Mereka yang sudah pun membeli tiket mempunyai dua pilihan, sama ada ingin terus menonton konsert itu pada tarikh baru nanti atau pun menuntut semula bayaran penuh tiket,” katanya yang menambah penundaan konsert itu dulu tidak langsung menjejaskan jualan tiket setakat ini.

Konsert Rihanna Live In Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung pada 13 Februari lalu dibatalkan di saat akhir apabila dia dikatakan mengalami kecederaan akibat dipukul kekasihnya, Chris Brown, sehari sebelum acara Anugerah Grammy berlangsung.

INFO: Konsert Festival Muzik Antarabangsa Sunburst

Pineapple Concert juga menganjurkan Sunburst-On -The Move (SOTM) satu acara jelajah negara dengan kerjsama Litar Antarabangsa SepangPeminat juga berpeluang mendapatkan pas belakang pentas percuma dan juga sesi ramah mesra bersama artis undangan.

6 hingga 8 Mac di Plaza Gurney, Penang dari jam 10 pagi hingga 10 malam

13 hingga 15 Mac di Takashimaya, Singapura dari jam 10 pagi hingga 10 malam

14 Mac – kumpulan Estranged akan membuat persembahan.

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: