Bikin Filem Guna Handycam

5 Mar

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
BEGITU banyak dugaan dilalui Farizie Morinding sebelum berjaya menang kategori utama – Filem Pendek Terbaik pada majlis Anugerah Filem Pendek Kirana 08/09 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penat lelah Farizie itu dibayar dengan ‘harga mahal’ apabila karyanya, Odui Odu (Oh Grandma) menerima geran pengarahan filem RM100,000, wang tunai RM5,000 dan trofi.

Menceritakan pengalaman menerbitkan filem pendek itu, jelas Farizie ia dibuat tanpa peralatan lengkap tapi hanya menggunakan handycam yang dibelinya pada 2003 ketika menuntut dalam jurusan Seni Persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan harga RM1,500.

Pada handycam itulah dia meletakkan seluruh harapan dan impiannya untuk memulakan langkah dalam industri perfileman.

“Komputer pun tiada di rumah dan saya terpaksa pinjam komputer kawan. Kali pertama dia kata boleh tolong suntingkan filem itu tetapi kemudian dia lari. Saya terpaksa minta tolong kawan lain tetapi komputernya tak hidup.

“Dengan segala macam rintangan dan halangan, saya hampir berputus asa.

“Suatu ketika saya duduk di satu tempat untuk mencari kekuatan dalam diri di samping melihat kelemahan yang ada. Apabila hati kembali tenang, saya terfikir kemiskinan bukan alasan untuk mengalah.

“Saya perlu kuat dan tabah. Akhirnya suntingan Odoi Odu dapat dilakukan menggunakan komputer riba yang hanya dilengkapi perisian asas pembikinan filem. Selepas selesai membuat salinan, saya berjalan 10 kilometer untuk ke perhentian bas sebelum ke pejabat pos menghantar penyertaan menggunakan pos laju.

“Kejayaan ini amat berharga kerana ia dapat dilakukan dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.

Kemenangan malam itu paling manis buat pemuda dari Ranau, Sabah kerana Odoi Odu juga membawa pulang tiga trofi lain iaitu Lakonan Terbaik, Cerita Terbaik dan Pengarahan Terbaik.

Odoi Odu yang menggunakan bahasa Dusun mengisahkan cerita sedih seorang nenek yang dapat melihat roh suaminya.

Biarpun kerap ditohmah malah ada yang beranggapan dia gila, nenek itu sabar menempuh semua dugaan. Nenek itu hidup bertemankan kucing yang ditemuinya dalam kelaparan.

Tempat kedua dimenangi Christopher Low menerusi Mirror manakala tempat kedua, Shuhaimi Zulkefli (Aku) masing-masing menerima RM3,000 bersama trofi dan RM2,000 bersama trofi.

Christopher mengakui terkejut dengan kemenangan itu kerana Mirror adalah filem pendek pertama dihasilkan.

Katanya, banyak dugaan membuat Mirror yang menjalani penggambaran di Terengganu dan siap dalam masa sehari. Ia berkisar kepada seorang gadis yang cuba membunuh diri.

Shuhaimi pula tersepit dengan harapan orang lain terhadap dirinya apabila seorang ustazah memintanya memilih dunia atau akhirat.

“Saya bekas pelajar Sekolah Agama Arab Tinggi di Kedah. Puas saya kena ‘basuh’ dengan ustazah tetapi jiwa saya meronta untuk menceburi dunia perfileman.

“Saya juga melepaskan tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir sebaliknya memilih ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Setahun saya menjana idea membuat filem ini kerana perlu melakukan pelbagai kajian. Aku dihasilkan dengan bajet paling kecil iaitu RM4 di Langkawi.

“Saya minta bantuan orang kampung dan semua peralatan untuk membuat filem pendek ini dipinjam dari ibu saudara. Kayu digunakan sebagai tripod.

“Tidak banyak yang saya tahu mengenai pembikinan filem. Saya belajar di Aswara pun baru enam bulan dan tidak banyak yang dipelajari.

“Saya buat juga kerana minat berkobar dan untuk menjadikannya satu kenyataan, saya banyak melakukan kajian,” katanya.

Pemilihan mereka ditentukan lima juri, Pengurus Besar dan Penerbit Eksekutif Kanan, Tayangan Unggul Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai, pengarah James Lee, pelakon dan pengarah Afdlin Shauki, pengarah muda, Osman Ali dan Pengarang Kanan di sebuah universiti swasta, Wong Tuck Cheong.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah pada majlis anugerah itu berkata, geran diberi kepada pemenang pertama supaya idea asas dapat dikembangkan dan Astro akan sentiasa memberi sokongan kepada semua bakat baru itu.

Bagaimanapun jelas Zainir, perjalanan mereka masih jauh namun Astro menyediakan platform untuk mereka mengasah bakat yang ada. Untuk berjaya mereka perlu bekerja kuat.

“Bakat baru sekarang bertuah kerana mereka ada banyak ‘sistem sokongan’ tetapi sejauh mana mereka boleh pergi, bergantung kepada diri masing-masing. Mereka perlu mengambil kejayaan pengarah yang berjaya hari ini yang terlebih dulu mengharungi rintangan. Karya mereka yang menang akan disiarkan di Astro Kirana,” katanya.

Tambah Zainir, penganjuran acara itu membuktikan komitmen Astro dalam menyokong industri perfileman tempatan serta pembangunan penghasilan pengisian dengan menyediakan landasan untuk penggiat muda dan profesional menonjolkan kreativiti mereka.

“Acara tahun kedua itu menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 120 penyertaan menyaksikan peningkatan sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu.

“Astro sudah menyediakan platform ini, diharap ia dapat membawa setiap pengkarya melangkah ke dalam industri dengan lebih yakin.

“Mereka sewajarnya menggunakan ruang yang ada itu untuk mencetuskan idea lebih besar kerana industri sentiasa membantu mereka yang

bersemangat,” katanya.

Majlis anugerah itu dihoskan AC Mizal dan Sazzy Falak dan turut dimeriahkan dengan persembahan Misha Omar, Aizat, Nikki, Stacy, Meet Uncle Hussein, Bunkface, Saiful Apek dan Adam.

Ia juga meriah dengan kehadiran artis terkenal sebagai penyampai anugerah seperti Rosyam Nor, Fazura, Hans Isaac, Nasha Aziz, Rozita Che Wan, Zizan Nin dan Ning Baizura. Turut hadir, Pengarah Eksekutif Tayangan Unggul, Tengku Datuk Anuar Mussaddad.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: