Belasungkawa Mohd Arzmy Mohmad (1954 – 2009): Tak Sempat Anjur Bulan Solat

6 Mar

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

Rap
MUNGKIN tidak ramai mengenali Mohd Arzmy Mohmad, 55, kerana beliau bukan artis tetapi di kalangan karyawan seni, lelaki bertubuh besar dan mesra senyuman itu sememangnya cukup dikenali.

Mana tidaknya, Mohd Arzmy bertugas sebagai orang penting dalam melahirkan penyanyi di syarikat rakaman terkenal, EMI (M) Sdn Bhd yang melahirkan nama-nama besar dunia hiburan. Antaranya Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Datuk Sharifah Aini, Hail Amir, Uji Rashid, KRU, Ella, Fauziah Latiff, Awie, Amok, Cromok, Butterfingers dan Rabbani.

Kreativitinya dianggap unik sehingga menjadi identiti seseorang artis itu seperti Amok dengan imej bertopeng malah kumpulan itu berjaya dijadikan ikon Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) manakala Amy Search pula ikon bulan dakwah.

Beliau juga disifatkan seorang tegas tetapi mesra, mampu melihat potensi seseorang artis, kreatif, serius dengan tugas dan berani memperkenalkan idea baru. Di kalangan karyawan dan rakan media, beliau dikenali sebagai seorang yang mesra dan mudah didekati.

Bagaimanapun, bekas Ketua Operasi Bahagian Domestik EMI itu meninggal dunia jam 11 malam kelmarin, akibat serangan sakit jantung. Beliau pengsan ketika mengadakan mesyuarat di Hotel Flamingo, Ampang dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang berkejar ke tempat selepas dihubungi.

Sehingga akhir hayatnya, Allahyarham yang bergerak sebagai freelancer penganjuran majlis, masih memperjuangkan industri hiburan tempatan kerana mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan projek mengenai perkembangan beberapa artis. Pastinya pemergian arwah satu kehilangan besar kepada industri muzik yang ketika ini masih tenat.

Bagi Pengarah Urusan RPSB merangkap vokalis Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, jasa Allahyarham cukup besar kepada Rabbani sepanjang 11 tahun bergiat dalam dunia hiburan.

“Arwah yang berusaha membawa Rabbani ke EMI dan menaikkan nama kumpulan ini menerusi pelbagai idea yang dicurahkan sehingga kami dikenali dengan idea terbaru arwah, duet bersama Amy Search.

“Memang tidak terhitung jasanya kepada kami. Malah arwah boleh dianggap seorang bapa kepada kami kerana sentiasa menjaga kebajikan kami malah pencetus kepada kemunculan Rabbani,” katanya.

Katanya, perkara paling tidak dapat dilupakan ialah cadangan Allahyarham untuk menganjurkan Bulan Sembahyang sebagai satu usaha dakwah.

“Tiga hari lalu semasa pelancaran Bulan Dakwah di Kota Bharu, Kelantan, arwah merancang membuat koloborasi antara Amy Search dengan Rabbani untuk menganjurkan Bulan Sembahyang.

“Kami merancang mengemukakan kertas cadangan itu kepada kerajaan dalam masa terdekat tetapi Allah lebih menyayangi arwah,” katanya.

Anggota kumpulan Cromok, Tarmizi Mokhtar atau Miji berkata, Allahyarham disifatkan seorang yang berani kerana mahu mengambil kumpulan ‘heavy metal’ seperti mereka sebagai artis EMI.

“Arwah mendekati kami sebaik pulang dari Australia sekitar 1992 lalu dan pada pertengahan 1993, kami melancarkan album sulung di Malaysia iaitu Forever In Time.

“Beliau ketika itu memang terkenal sebagai seorang yang berpengalaman kerana pernah bekerja dengan beberapa artis terkenal. Namun keberanian serta keyakinannya terhadap kumpulan Cromok yang membawa muzik metal sehingga terkenal menyebabkan saya amat menghormatinya,” katanya.

Tambah Miji, komitmen Allahyarham dalam memperjuangkan industri muzik sukar dicari ganti.

Katanya, arwah memang tegas kerana mahukan yang terbaik dan tahu apa yang dikehendaki daripada artisnya.

Miji turut hadir di Rumah Mayat, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) semalam. Jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Melayu Ampang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang, petang semalam.

Dilahirkan pada 25 Februari 1954 di Pulau Pinang, arwah meninggalkan isteri, Asma’ Mohammad, 43, dan dua anak, Alia Amalina, 19 dan Al-Aiman, 17.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: