Akhirnya Emelda Tunangan Adlin

16 Mar

Oleh Nurhayati Abllah
yati@bharian.com.my

ADLIN dan Emelda ceria selepas majlis pertunangan mereka.

Mereka tetapkan tarikh pernikahan pada 23 Mei

APA yang diharapkan pasangan bercinta selain kasih yang disulam berakhir di jinjang pelamin. Begitulah juga impian bagi pasangan pelakon serasi, Emelda Rosmila, 29, dan Adlin Aman Ramlie, 37 yang kini dalam debaran menunggu hari disatukan.

Keutuhan kasih yang dibelai rapi selama ini diikat dengan tali pertunangan menandakan diri masing-masing sudah dimiliki dan hanya menunggu masa untuk diijab kabulkan.

Emelda atau dikenali dikenali dengan panggilan manja Mel, selamat mengikat tali pertunangan bersama Adlin di rumahnya, Kampung Melayu Batu Lapan, Ulu Kinta, Sabtu lalu. Diiringi restu ibunya, Rokiah Ibrahim, 63, Mel yang mengenakan baju kurung moden berona putih diserikan selendang sedondon kelihatan manis dan tersenyum bahagia menunggu kedatangan rombongan lelaki.

Tanda kasih sayang pasangan itu juga ditonjolkan dengan kesediaan Adlin memilih untuk mengikat tali pertunangan pada tarikh sama dengan tarikh kelahiran Emelda iaitu 14 Mac, sementara tarikh pernikahan 23 Mei depan, bersamaan pula dengan tarikh kelahiran bagi Adlin.

Rombongan lelaki disertai enam kenderaan termasuk rakan baik Adlin, pengarah dan novelis terkenal, Raja Azmi Raja Sulaiman tiba di kediaman Mel, kira-kira jam 12.30 tengah hari dengan membawa tujuh dulang sebagai hantaran antaranya tepak sireh, kek, buah-buahan, kain pasang dan bunga rampai. Sementara pihak perempuan berbalas sembilan hantaran antaranya kemeja-T Guess, tali pinggang dan sebentuk cincin perak.


MAK MAH mengetuai rombongan peminangan anaknya.

Suasana gembira bercampur pilu apabila menyaksikan ibu Adlin, Ruminah Sidek, 63, menitiskan air mata apabila melihat wakilnya iaitu kakaknya sendiri, Jumaiyah Sidek menyarungkan cincin pertunangan berupa emas putih bertatah berlian ke jari manis Mel sebagai tanda pelakon manis itu bakal menjadi menantunya.

Bagi Ruminah yang dikenali dengan Mak Mah, tiada apa yang menjadi kepentingannya selain melihat Adlin mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati. Sememangnya itu menjadi impian dan doa setiap insan bergelar ibu.

“Mak Mah berharap, pertunangan mereka berakhir dengan sempurna hingga ke jenjang pelamin. Mak Mah bersyukur dan Mel adalah pilihan Adlin. Selama ini mereka berkawan dan sering tertanya-tanya tentang perakhiran hubungan mereka. Jadi apabila sudah bertunang, mereka hanya perlu sabar menunggu untuk diijab kabulkan.

“Mak Mah sering berdoa supaya Allah mempermudahkan urusan kerana hambanya ingin berbuat kebaikan iaitu mendirikan rumah tangga. Mak Mah bersyukur kerana selepas empat tahun menyulam cinta, mereka akhirnya akan disatukan sebagai suami isteri,” luahnya.

Malah tanda kesyukuran Mak Mah untuk menerima Mel sebagainya menantunya terserlah selepas beliau sendiri sanggup menambah jumlah hantaran yang dijanjikan Adlin kepada bakal isterinya sebelum ini.

Ketika perundingan dilakukan, Mak Mah rela hati menambah RM1,000 untuk wang hantaran. Walhal sebelum ini, pasangan itu bercadang untuk menyediakan hantaran perkahwinan sebanyak RM29,000, sementara mas kahwin berjumlah RM1001.

“Perkara itu memang tidak diberitahu kepada Adlin. Mak Mah memang bernazar jika ada di kalangan anak lelaki Mak Mah akan mendirikan rumah tangga, Mak Mah akan tambah wang hantaran RM1,000 daripada nilai yang dijanjikan. Mungkin ia jumlah kecil, tetapi ia bermakna bagi saya sebagai ibu,” kata Ruminah.

Bersyukur majlis lancar

SEMENTARA itu Emelda ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana majlis pertunangan dapat berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Menurutnya bukan mudah untuk melaksanakannya kerana pelbagai halangan terpaksa ditempuh.

“Sepatutnya majlis itu diadakan tahun lalu, tetapi kematian bapa, Abdul Hamid Mad Ally pada Februari tahun lalu menyebabkan ia tertangguh. Lagipun kesibukan kami dalam karier masing-masing juga menjadi halangan untuk kami disatukan lebih awal.

“Bagaimanapun, cadangan mama untuk melihat kami cepat disatukan menyebabkan kami tidak dapat bertangguh lagi. Lagipun kesihatan mama tidak menentu selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di pankreas, Februari lalu,” katanya yang menegaskan tidak mahu mengikat tali pertunangan terlalu lama.

Bercerita detik perkenalannya bersama Adlin, Emelda yang juga anak ketiga daripada empat beradik berkata, dia dipertemukan Adlin dalam satu majlis Tayangan Unggul yang mana ketika itu Adlin hangat dengan lakonan sebagai Sultan Mahmud dalam filem Puteri Gunung Ledang.

“Saya mengkaguminya dan meminati lakonan Adlin. Bermula dari situ, kami berkenalan dengan bertukar nombor telefon. Lagipun, abang ipar saya, AC Mizal juga bertanggungjawab mendekatkan lagi hubungan kami.

“Kami berkawan selama setahun dan empat tahun selepas itu serius bercinta. Bagi saya, Adlin adalah seorang lelaki yang matang dan berbakat dalam kariernya,” katanya yang kini dalam persiapan untuk menjalani penggambaran dalam drama genre komedi terbaru berjudul Jongkang Jongket arahan Adlin sendiri. Antaranya pelakon lain terbabit dalam drama itu ialah, Faizal Yusof, Ruminah, Zaibo, Rosnah Mat Aris dan Sharifah Shahora.

“Mungkin itu adalah penggambaran terakhir saya sebelum sibuk melakukan persiapan perkahwinan. Saya perlu menyusun jadual sebaik mungkin dan bernasib baik Adlin sendiri yang jadi pengarah drama itu,” kata Emelda yang juga adik Emylia Rosnaida.

Bagi pihak Adlin pula, dia bersyukur kerana Allah mempermudahkan urusan pertunangannya bersama Emelda selepas dua kali tertangguh. Bagi dirinya, dalam keadaan usianya menginjak 37 tahun, dia sudah bersedia untuk memikul tugas sebagai seorang suami.

Profil Emelda Rosmila Abdul Hamid

Tarikh Lahir: 14 Mac 1980

Tempat Lahir: Ipoh, Perak

Umur: 29 tahun

Hobi: Melukis, mengembara dan berenang

Makanan Kegemaran: Gulai lemak cili padi

Minuman Kegemaran: Teh O ais

Drama: Kasanova XXL, Manjalara, Sephia, Marikas, Gila Gila Pengantin, Natasha, Trafik Light, Segalanya Berubah dan Aishah, Kekasihku Seru.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: