Pupuk Cinta Orang Muda

17 Mar


MEET UNCLE HUSSAIN

KEAMANAN serta kedamaian negara tanpa perang, tanpa bom dan tanpa darah kadang-kadang membuatkan sebilangan daripada masyarakat Malaysia hidup dalam leka.

Ada juga di kalangan generasi baru hari ini tidak kenal erti sejarah dan tidak menghargai nikmat yang dikecapi sehinggakan mereka alpa dan kabur tentang ke mana arah hendak dituju.

Di situlah media dan pucuk pimpinan kerajaan harus menyemai peranan, yang buruk dijadikan tauladan dan baik dijadikan sempadan.

Untuk sempadan diri dan memberi sokongan kepada masyarakat dunia khususnya generasi yang muda yang tidak berpeluang hidup sentosa seperti mana yang dinikmati di Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan mengambil inisiatif menganjurkan Konsert Menjunjung Damai – Belia Malaysia Cintakan Keamanan.

Tujuannya bukan sahaja untuk menyemarakkan muzik dan seni yang menjadi budaya sihat anak muda masa kini tetapi acara sebegitu juga dapat menyerapkan perkembangan sahsiah dan pembangunan modal insan yang positif dalam diri anak muda Malaysia.

Jika matlamatnya sampai ke jiwa semua, acara itu boleh menggerakkan anak muda Malaysia menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab, mempunyai ketahanan diri, daya saing, daya tahan, daya juang dan berwawasan yang asasnya adalah melalui melodi muzik dan seni.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, acara itu bukan sekadar satu acara, sebaliknya dengan manifestasi yang cukup bersemangat untuk memupuk rasa kasih sayang golongan muda demi cinta serta kasih kepada negara yang telah menghadiahkan sejuta keamanan kepada mereka.


ESTRANGED

“Segala keamanan yang menjadi milik kita hari ini datangnya daripada kestabilan politik, ekonomi dan sosial yang diterajui oleh kepimpinan yang berwawasan dan berdarjat.

“Kerana itu kita mahu mendedahkan anak-anak muda menjadi manusia yang bertanggungjawab bukan saja pada diri bahkan pada agama, bangsa dan negara,” kata beliau pada sidang media baru-baru ini.

Acara konsert itu akan merangkumi persembahan lagu-lagu yang menepati selera anak muda.

Namun, melodi-melodi yang akan dilagukan kelak masih lagi berlandaskan keamanan dan kesejagatan serta menolak perang dan keganasan.

Menurut Ismail, objektif paling utama Konsert Menjunjung Damai – Belia Malaysia Cintakan Keamanan adalah untuk memperkasakan khazanah seni bangsa kepada generasi muda ke arah menanamkan semangat cintakan bangsa melalui lagu-lagu dan puisi bertemakan keamanan dan kesejagatan.

“Bahkan, menjadi hasrat kerajaan untuk menyebarluaskan pengaruh positif, berkasih sayang dan saling mencintai sesama manusia di kalangan remaja selain menjitukan semangat kenegaraan dalam jiwa anak bangsa melalui persembahan kesenian yang membangkit citra diri,” tambah beliau.

Sehubungan itu, dalam usaha menarik perhatian khalayak khususnya warga kota, Konsert Menjunjung Damai menyenaraikan nama-nama besar dalam gelanggang seni.

Mereka terdiri daripada band-band indie yang berpengaruh seperti Kumpulan Meet Uncle Hussain, Kumpulan Estranged dan Kumpulan Bunkface.

Benar jenis muzik dan pembawaan imej anak-anak muda yang mewakili kumpulan indie itu sedikit kebaratan namun mereka berkongsi satu jiwa dengan seluruh pencinta muzik bahawa muzik boleh menyatukan rasa.


BUNKFACE

Dedikasi serta kesungguhan mereka itulah yang harus dipuji kerana mereka berjaya menzahirkan perasaan di jiwa dalam intonasi yang tidak merosakkan bangsa sebaliknya menggembirakan kita semua.

Tidak ketinggalan anak-anak muda yang terus menjadi kegilaan seperti Dafi dan Aizat juga akan memeriahkan pentas pada konsert yang akan diadakan pada 20 Mac ini di Dataran Remaja, Kompleks Sukan Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sudah tentu penyanyi yang memiliki aura iaitu Mawi turut terlibat mengadakan persembahan nyanyian selain bacaan sajak.

Aktres terkenal Fazura, Fouziah Gous serta Angkasawan Negara, Mejar Dr. Faiz juga akan muncul di pentas.

Acara pembacaan puisi pada malam itu pula akan diserikan oleh jaguh-jaguh dalam lapangan itu seperti ASP Rosebaini Kassim, Lt. Kol. Radzi Abdul Hamid serta Pengarang Hiburan Kosmo!, Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Konsert Menjunjung Damai – Belia Malaysia Cintakan Keamanan turut mendapat kerjasama akrab daripada stesen radio Suria FM.

Stesen berkenaan juga sudah merancang untuk mengadakan pelbagai kuiz yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan.

Jadi, kepada anda, peminat-peminat band indie serta artis-artis arus perdana yang lain, jangan lupa untuk sama-sama berhimpun menjayakan program tersebut.

Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: