Tidak Lepas Peluang

17 Mar

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

CALON uji bakat Worldstars – Road to Hollywood kategori vokal bersiap sedia di belakang pentas sebelum nama mereka dipanggil.

Ramai teruja mewakili Malaysia ke WCOPA

SEJAK 2005, pasukan Malaysia tidak pernah pulang dengan tangan kosong apabila ada saja wakil negara ini yang memenangi pingat pada Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) yang berlangsung di Hollywood, California, Amerika Syarikat. Nama seperti Dina, Deja Moss dan Noryn Aziz ialah antara penyanyi popular tempatan yang menempa nama pada pertandingan antarabangsa berkenaan.

Ketika ini, siri uji bakat bagi mencari wakil Malaysia ke pertandingan berkenaan giat dijalankan. Pada 14 dan 15 Februari lalu, uji bakat dilangsungkan di Johor Bahru, diikuti lokasi Pulau Pinang (21 dan 22 Februari), Kuala Lumpur (28 Februari dan 1 Mac), Kuching dan Kuantan (7 dan 8 Mac) serta Kota Kinabalu (14 dan 15 Mac).

Ketika sesi uji bakat yang dikenali sebagai Worldstars – Road to Hollywood itu diadakan di Berjaya Times Square di ibu kota, turut kelihatan beradu nasib pada acara berkenaan ialah beberapa bekas peserta rancangan realiti termasuk Bob, Sahri, Nabil dan Cicik. Penyanyi Siti Sarah dan Anis Aneesa turut tidak ketinggalan menghadiri uji bakat terbabit demi mengintai peluang berbakti kepada negara menerusi seni nyanyian.

Bob menganggap jemputan menghadiri uji bakat bagi pertandingan sebesar WCOPA tidak harus dilepaskan begitu saja.

Tidak kiralah sama ada artis yang sudah dikenali ataupun bakat baru, katanya, pertandingan sebegitu bakal memberikan pulangan yang bukan sedikit dari segi pengalaman dan pendedahan.


BOB bersama Sahri dan Nabil tidak ketinggalan menyertai uji bakat.

“Menghadiri uji bakat bagi pertandingan seperti ini harus direbut oleh semua penggiat seni. Apatah lagi apabila ia menjanjikan pendedahan bakat ke peringkat antarabangsa. Kita sendiri tidak mahu bakat yang dimiliki dipersiakan begitu saja. Lantas, jika rezeki menyebelahi, paling tidak bakat itu dapat dipertontonkan ke peringkat lebih tinggi.

“Dengan menyertai pertandingan begini juga kita berupaya mengukur kemampuan diri, serta melihat sejauh mana keupayaan kita dalam industri seni. Ia mencabar diri kita melakukan sesuatu yang mungkin pernah dilihat sebagai mustahil – iaitu bertanding pada peringkat antarabangsa!

“Sekiranya terpilih ke peringkat, tentulah ia menjadi habuan paling bermakna,” kata Bob yang ditemui sebelum menaiki pentas menyanyikan lagu My Baby You pada uji bakat berkenaan.

Bob mengaku, kejayaan penyanyi seperti Noryn dan Deja banyak memberikan dorongan untuknya turut mencuba nasib pada pertandingan itu. Keupayaan mereka merangkul kemenangan di WCOPA membuatkannya lebih bersemangat untuk mencatat kejayaan serupa.


BEKAS peserta Akademi Nasyid, Cicik, turut mencuba nasib.

“Kadangkala, wujud keadaan yang mana seseorang penyanyi kurang diterima di negara sendiri. Bagaimanapun dek bakat yang dimiliki, mereka diiktiraf juga pada peringkat antarabangsa,” katanya penuh bermakna.

Pada petang 1 Mac lalu, Bob memperdengarkan suaranya di hadapan lima juri iaitu Deja, Hans Isaac, Tengku Azura, Dayang Mariana dan Hussein Ali. Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu nyanyian, lakonan, peragaan, tarian dan permainan alat muzik intrumental.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan seninya, Bob memberitahu, sehingga kini dia sudah pun merakamkan enam lagu yang kebanyakannya dicipta komposer Sharon Paul dan Azmeer. Lagu terbabit pula dikeluarkan secara single demi single, sebelum himpunannya nanti diterbitkan pula dalam bentuk album.

Antara lagu yang sudah pun dirakam dan disiarkan radio tempatan ialah sebuah karya berjudul Armada. Kata Bob, lagu ciptaan Sharon itu dianggapnya berbaur ketuhanan.

“Sayangnya, putaran lagu itu di radio tidaklah serancak lagu Cinta Terhalang. Bagaimanapun, ia sebuah lagu yang cukup indah dan saya amat menyukai melodinya. Kali pertama saya mendengar iramanya, saya terus terpesona,” cerita Bob yang masih mencari material terbaik untuk album terbabit.

Info:

WCOPA boleh dianggap sebagai Olimpik bagi penggiat seni apabila pertandingan bertaraf antarabangsa itu mempertandingkan kategori nyanyian, main muzik instrumental, tarian, lakonan, peragaan dan bakat pelbagai.

SELEPAS 11 tahun berkembang, ia muncul satu-satunya pertandingan bakat dan peragaan antarabangsa yang diadakan di Hollywood, ibu kota hiburan dunia.

KEJOHANAN Seni Persembahan Malaysia bermula pada 2005 apabila pasukan pertama negara dipilih menyertai kejohanan dunia di sana.

PERINGKAT suku akhir peringkat Malaysia akan diadakan pada 20 – 22 Mac, separuh akhir 3 – 5 April dan peringkat akhir pada 3 Mei.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: