Kempen Bergelap Sejam

23 Mar

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Yasmin (kanan) bersama Shebby dan Karamjit Singh ketika pembikinan pengiklanan komersial
60 Earth Hour arahan beliau.

Selebriti tanah air tampil menyokong kempen anti pemanasan global 60 Earth Hour

TANGGAL 28 Mac iaitu pada jam 8.30 malam, lebih 300 bandaraya di seluruh dunia akan bergelap selama sejam iaitu bagi menyampaikan mesej mereka menyokong kempen anti pemanasan global – satu topik universal yang cukup hangat diperbincangkan ketika ini.

Dan selepas dua tahun acara yang dimulakan di Sydney, Australia itu berlangsung dan kemudian diikuti negara lain, tahun 2009 buat pertama kalinya menyaksikan Malaysia turut mengambil bahagian dalam kempen 60 Earth Hour ini.

Satu keputusan yang tepat buat Malaysia untuk bersama-sama menjayakan kempen ini kerana sebagai sebuah negara yang membangun, kita tidak dapat lari daripada tempias akibat daripada fenomena sejagat ini.

Bagi menunjukkan sokongan terhadap kempen itu dan tidak mahu dilihat sebagai melepaskan batuk di tangga, iklan mengenai kempen itu turut diterbitkan.

Dibuat dalam dua versi iaitu media cetak dan elektronik, orang yang bertanggungjawab untuk menghasilkan iklan itu adalah pengarah filem berkaliber iaitu Yasmin Ahmad. Baru-baru ini bertempat di Studio DL, Desa Pandan, berlangsung proses menghasilkan iklan dilakukan membabitkan ramai selebriti terkenal tanah air.


dari kiri; Daphne Iking, Sazzy, Yasmin dan Aishah Sinclair.

Antara wajah glamor dan popular dalam iklan itu termasuklah angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Sharifah Amani, Dafi, Sazzy Falak, Hans Isaac, Shebby Singh, Karamjit Singh, Reshmonu dan Susan Lancaster.

Sebagai duta kepada kempen itu, Yasmin akui teruja dengan penghormatan yang diberikan kepadanya itu. Jelas pengarah yang bakal muncul dengan buah tangan terbarunya berjudul Talentime ini, kempen 60 Earth Hour bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat semua betapa pemanasan global memberi kesan yang tidak baik kepada bumi.

“Kempen ini sebenarnya sudah lama diamalkan oleh sebilangan besar masyarakat dunia iaitu lebih kurang 300 bandaraya di seluruh negara mengambil bahagian dalam kempen itu tahun ini. Walaupun ini adalah kali pertama kita menjayakannya namun saya yakin, usaha ini pasti mendapat sokongan banyak pihak.

“Jika kempen ini tidak diadakan sekarang, apa akan jadi kepada masyarakat bumi pada masa depan. Justeru, dengan kudrat yang ada, saya akan cuba menerapkan amalan ini dalam jiwa setiap rakyat di negara ini,” ujar Yasmin sebagai mengulas tanggungjawabnya sebagai duta kempen ini.

Jelas Yasmin, cara untuk menunjukkan sokongan kepada kempen ini cukup mudah iaitu pada tarikh dan waktu yang ditetapkan, semua lampu haruslah dipadamkan dan bergelaplah selama sejam.

Sebagai pengarah yang pernah memenangi pelbagai anugerah berprestij di luar negara, Yasmin menggunakan kreativitinya serta pengalaman sebagai pengarah iklan untuk membuat iklan sebagai salah satu medium mempromosikan kempen berkenaan.

“Selebriti atau personaliti terkenal biasanya mempunyai pengaruh yang cukup besar dan ada pengikut mereka yang tersendiri. Jadi apalah salahnya jika kita gunakan apa yang mereka ada itu untuk bersama-sama menarik minat orang ramai supaya memahami kesan pemanasan global kepada bumi dan juga manusia.

“Hari ini kami membuatkan tiga iklan serentak iaitu iklan untuk media cetak, iklan untuk radio dan juga televisyen. Setiap personaliti akan digandingkan dengan selebriti lain mengikut kesesuaian jalan cerita dan keserasian mereka.

“Mereka ini dipilih berdasarkan kesesuaian, mereka yang pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini serta ada juga yang datang menawarkan diri secara rela untuk terbabit dalam iklan ini. Setakat ini saya gembira dengan komitmen mereka dan harap usaha kami ini mendapat maklum balas positif dari orang ramai,” tutur Yasmin yang turut gembira apabila usahanya itu turut mendapat reaksi positif daripada stesen televisyen tempatan.

Mualaf tetap ditayangkan di Malaysia

KONTROVERSI yang timbul sebelum dan selepas filem Mualaf dihasilkan membuatkan Yasmin agak ragu-ragu untuk menayangkan filem lakonan Sharifah Amani di negara ini. Memilih jalan selamat, Yasmin lebih rela menayangkan filem itu di Singapura terlebih dulu.

Mungkin keputusan itu sedikit sebanyak mengecewakan banyak pihak yang begitu teringin melihat filem yang turut menampilkan Datuk Rahim Razali, penyanyi Ning Baizura sebagai pelakon itu. Iyalah, selepas pelbagai publisiti diberikan tiba-tiba filem yang dibuat terkemudian daripada Mualaf pula yang akan ditayangkan terlebih dulu iaitu Talentime.

Enggan membiarkan penonton resah, Yasmin akhirnya memaklumkan bahawa Mualaf akan ditayangkan juga di negara ini.

“Insya-Allah, Mualaf akan ditayangkan pada bulan Julai depan. Kita tayangkan dulu Talentime yang dijadualkan akan muncul di pawagam, Mac depan,” ujar Yasmin yang kini sedang dalam peringkat praproduksi untuk filem terbarunya berjudul Wasurenagusa yang bermaksud sejenis bunga.

Mengulas lanjut projek terbarunya itu, Yasmin berkata filem ini akan dihasilkan secara usaha sama dengan kerajaan Jepun.

“Filem ini akan menampilkan lakonan Sharifah Amani dan juga seorang aktor dari sana. Buat masa ini, Amani sedang giat menjalani latihan dan antara latihannya adalah menunggang kuda. Filem ini akan mula menjalani penggambaran September depan dan ia berkonsepkan komedi romantik,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: