Search Tebus Kecewa

24 Mar

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
KONSERT sempena ulang tahun Search ke-25 yang sepatutnya berlangsung dua tahun lalu sememangnya sesuatu yang cukup bermakna buat setiap anggota Search.

Namun, mereka terpaksa menarik diri demi mempertahankan harga diri serta menjaga hak peminat mereka.

Kini S2 Celebration Concert Search 25th Anniversary yang diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 5 Januari 2007 tanpa kehadiran Search, bukan lagi satu peristiwa yang mahu dikenang.

Tentunya bagi sebuah kumpulan bertaraf legenda, Search menginginkan sebuah konsert ulang tahun yang hebat. Namun, gara-gara kegagalan penganjur memenuhi beberapa spesifikasi yang diinginkan, Search lebih rela berputih mata.

Namun, untuk mengaku tewas pada keadaan bukan prinsip Search kerana impian untuk menghimpunkan peminat dalam sebuah konsert sentiasa mekar dan tidak pernah bernoktah.

Dua tahun beredar dengan pantas, akhirnya perjuangan dan suara hati Search itu didengari apabila syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia menyatakan kesudian mereka menaja konsert Search secara besar-besaran.

Difahamkan, konsert bakal dilancarkan April ini membabitkan 10 lokasi serata Malaysia antaranya Pahang, Pulau Pinang, Teluk Intan, Perak; Terengganu, Kelantan, Selangor, Sabah dan Sarawak sebelum pengembaraan berakhir di Kuala Lumpur.

Konsert seumpama ini pernah Search jayakan pada 1989 menerusi Konsert Isabella, Search & M Nasir dan Konsert Karisma (1991).

Suhaimi A Rahman atau Amy, 51, selaku vokalis Search berkata, konsert berkenaan adalah sesuatu yang mereka impikan sekian lama.

“Hasil perbincangan penganjuran konsert ini nampaknya hampir mencapai matlamat cuma saya tidak mahu pukul canang selagi tiada sebarang kenyataan rasmi daripada syarikat telekomunikasi yang bertindak sebagai penaja konsert kami.

 

 

“Apa yang boleh saya katakan, jika ia menjadi kenyataan, Search menjanjikan sebuah konsert yang akan diingati. Ia adalah konsert impian kami selepas sekian lama menunggu peluang ini,” katanya.

Amy turut menyatakan rasa terharunya kerana akhirnya syarikat telekomunikasi di Malaysia yang sebelum ini terarah menganjurkan konsert artis Barat dan Indonesia, sudi menganjurkan konsert mereka.

“Sebelum ini mungkin mereka terikat dengan pelbagai perancangan membabitkan konsert artis antarabangsa yang sudah pun dipersetujui lebih awal.

“Apapun, saya mahupun Search tidak mahu campur tangan dengan urusan perniagaan mereka. Apa yang penting syarikat telekomunikasi yang lain harus mencontohi syarikat ini kerana usaha mereka ini bukan saja dapat mengembalikan kegemilangan industri seni suara, tetapi juga memartabatkan nilai artis tempatan itu sendiri,” katanya.

Enggan mendedahkan perancangan konsert secara terperinci, namun daripada sumber yang boleh dipercayai konsert yang bakal dinamakan Farewell Tour Search ini akan menampilkan barisan pemuzik sekarang iaitu Amy, Hillary, Din, Nasir dan Yazid.

Selain itu, Search bakal mengundang Man Kidal, Yan dan Kid yang pernah bersama Search untuk membuat penampilan khas.

Persoalannya, apakah Search akan dibubarkan dan semua anggota akan membawa haluan masing-masing selepas konsert ini?

Ini memandangkan judul yang diberikan untuk konsert berkenaan bagai memberi gambaran bahawa ia akan menjadi konsert terakhir kumpulan yang ditubuhkan pada 1982 itu.

Selain konsert, mereka khabarnya juga akan mengeluarkan dua single terbaru sebagai penghormatan terakhir kepada peminat.

“Saya tidak akan menjawab soalan itu, kita tunggu dan lihat. Ia mungkin benar, mungkin juga tidak. Apa yang kami harapkan Search akan terus bertahan sampai bila-bila.

“Berhubung konsert ini, kami sudah sedia beraksi dan kalau ikutkan persediaan mental dan fizikal sudah kami perlengkapkan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: