Masih Terlalu Amatur

25 Mar

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my


CLAUDIA, ibu beranak satu yang dilihat berpotensi besar.

MASUK minggu kedua program dan konsert Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) kembali mengisi hidup peminat dan pemerhati dunia seni, program yang melaungkan ‘transformasi’ untuk musim ketujuh itu masih tercari-cari rentak dan tari.

Vokal masing-masing boleh dikatakan layak untuk bergelar penyanyi dan biarpun rata-rata pelajar bersemangat waja setiap kali menjayakan tugasan, itu semua belum cukup untuk meletakkan mereka sebagai bintang.

Seperkara lagi, kemampuan beraksi tanpa kekok dan persembahan kesemua pelajar masih di tahap rendah, terlalu amatur bak kata salah seorang pengkritik tetap AF7, komposer popular, Edrie Hashim.

Si pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jaquelina juga mengakui kelemahan yang paling ketara yang ada dalam diri setiap peserta adalah penghayatan lagu.


TIGA pelajar AF7 yang mula mendapat perhatian. (Dari kiri) Qhaud, Hafiz dan Aisyah.

“Kefahaman tentang apa yang hendak disampaikan menerusi lagu selalu menjadi punca kegagalan mereka di pentas.

“Saya sedar masalah itu dihadapi oleh semua pelajar, dan selepas konsert kedua, kami (tenaga pengajar) juga akan fokus terhadap setiap kelemahan pelajar secara individual. Saya harap semua akan faham kedudukan kami di akademi, ini baru minggu kedua dan semua perkara harus ditangani dengan semua oleh semua pelajar termasuk kami, para tenaga pengajar,” ujar Tiara.

Sebenarnya masih terlalu awal untuk menjustifikasi kredit kepada mana-mana pelajar, konsert minggu kedua yang menampilkan tema medley dan setiap pelajar diberi peluang menyampaikan dua buah lagu, satu berentak perlahan dan lagu berentak laju dianggap penyelamat kepada kelesuan persembahan semua 14 pelajar termasuk Adila yang menjadi peserta pertama tersingkir.

Untuk menutup kelemahan atau menyuntik elemen transformasi, ironinya hanya pelajar yang berbakat besar sahaja yang menyerlah di mata pemerhati. Nama-nama seperti Claudia Fay Geres atau sekadar panggilannya Claudia, 24 dan Hafiz, 19, sahaja yang berada di kedudukan teratas dari segi usaha dan kemampuan yang ditunjukkan.

Lain-lain pelajar, Rubisa, Zizi, Aishah dan Qhaud sekadar biasa-biasa sahaja manakala Isma, Rini, Yazid, Sidi, Aril, Akim dan Obri pula bila-bila masa sahaja akan mengheret beg tajaan turun dari pentas setiap konsert berakhir. Itu jika mereka tidak menunjukkan prestasi yang dimahukan semua penonton AF7, namun jika mereka mampu menjadi sebahagian daripada transformasi dalam AF7 seperti yang dilaung-laungkan, nasib mereka mungkin berbeza.


ZIZI, antara yang menyerlah.

Walau bagaimanapun, permainan AF7 sudah bermula sepenuhnya usai konsert minggu kedua, Sabtu lalu. Bukan sahaja dilengkapkan dengan persembahan lagu tema Menuju Puncak dalam gerak tari yang sangat mengujakan sebagai pembuka tirai, di akhir acara pula penyingkiran Adila menjadi penutup tirai.

Sepanjang dua minggu di akademi, Adila bukan pelajar yang lemah, nyanyian dan persembahannya lulus di mata para juri namun di mata peminat dan pengundi SMS, Adila ternyata bukan calon yang dimahukan kekal.

Ketika menyanyikan lagu Merawat Cinta Luka nyanyian asal Liza Hanim dan Asyik (Amelina), tiada banyak cacat yang dilakukan Adila kecuali disifatkan juri vokalnya terlalu lantang persembahannya juga tidak menggambarkan kesedihan lagu yang dilontarkan, selebihnya Adila antara yang okey.


LINCAH Adila tidak mampu menyelamatkan daripada menjadi mangsa penyingkiran.

“Mungkin status saya sebelum ini sebagai penyanyi yang menyebabkan tidak ramai yang mahu mengundi saya. Tapi saya langsung tidak malu kerana menjadi peserta pertama yang tersingkir kerana sebenarnya saya telah berjaya menempatkan diri daripada 9000 peserta yang datang ke uji bakat. Pengalaman di AF7 ini sangat mahal dan tidak dapat dijual-beli buat saya,” luah pemilik nama sebenar Nas Adila Mohd. Dan itu tega.

Terkejut dan terkilan semuanya bermain di jiwa memikirkan dirinya sudah hilang kesempatan untuk belajar lebih banyak ilmu daripada pengajar di AF7.

“Tujuan saya masuk ke AF7 kerana mahukan pendedahan memandangkan saya tidak bernaung dengan mana-mana syarikat. Selebihnya saya mahukan belajar, namun, saya tiada rezeki di sini.

“Selepas ini, saya masih tiada perancangan, semuanya tergantung kepada Astro dan Maestro,” beritahu Adila yang pernah menghasilkan dua buah album dan satu single itu optimis.


TIARA bersama tenaga pengajar lain berbincang ketika konsert berehat seketika.

Adila turut sedar, penyingkiran pertama yang menutup peluang di AF7 mungkin disebabkan sikapnya yang agak pendiam serta tidak agresif sepanjang di akademi.

“Saya cuma jadi diri sendiri dan tidak banyak ‘drama’, mungkin itu yang menyebabkan saya tidak menarik perhatian penonton. Mereka mungkin mahukan pelajar yang lebih agresif seperti Aril (Khairil Azam Pilus),” tambah Adila mengakhiri temu bual bersama media sejurus selepas konsert berakhir.

Sebagai info, konsert minggu kedua AF7 menampilkan barisan pelajar menyampaikan lagu medley iaitu Isma dengan lagu Jat Da Da Da dan Hello, Rini (Aku Sinderella dan Kiblatku), Claudia (Kumahu dan Wanita), Zizi (Sembilu dan Wonder Women), Aishah (Cuba dan Gila) serta Rubisa (Dingin dan Gagap).


ADILA sedih kerana tidak berpeluang terus menimba ilmu dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal.

Sementara pelajar lelaki, Qhaud pula menyampaikan lagu Bila Nak Saksi dan Lagu Untukmu, Yazid (Lelaki Ini dan Fikirlah), Sidi (Selamat Ulang Tahun Sayang dan Kukoo), Hafiz (Cinta Ini Membunuhku dan Toyol), Obri (Akan Tiba dan Ada Untukmu), Aril (Benar-Benar dan Robot) serta Akim (Satu dan Buronan Cinta).

Kosmo

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: