Lamaran Julfekar

30 Mar

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Enam finalis Bintang Idola Berita Harian berpeluang merakamkan single di bawah Millenium Art Sdn Bhd

MEREKA mungkin bukan dilahirkan dalam program realiti yang dilimpahi aura glamor seperti yang disiarkan di kebanyakan stesen televisyen, namun suatu hakikat yang tak dapat disangkal adalah mereka memang berbakat besar.

Dicungkil bakat mereka menerusi pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) iaitu pertandingan nyanyian yang berlangsung seiring dengan penganjuran siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang ketika ini sedang rancak mengembara dari satu destinasi ke satu destinasi terpilih yang lain, seramai empat peserta sudah pun mengesahkan tempat ke peringkat akhir.

Empat peserta ini dipilih di empat lokasi berbeza iaitu di Sungai Petani, Pasir Gudang, Kuala Terengganu dan juga Kuantan, Pahang dan mereka adalah Nurlida Ab Raman, Noor Nazatul Farahin Mohd Hussin, Farlyana Mohamad dan Muhamad Zaki Omar.

Pun begitu jika ada yang beranggapan bahawa pertandingan ini sama dengan pertandingan nyanyian yang lain, sila buang andaian itu jauh-jauh kerana BIBH menawarkan banyak keistimewaan bukan saja kepada pemenangnya tetapi juga untuk enam finalis lain.

Bayangkan, dengan disaluti persalinan serba glamor hasil sentuhan pereka terkenal serta dihiasi aksesori serba mewah, pemenang utama juga berpeluang membuat persembahan di malam kemuncak ABPBH 2008 yang bakal berlangsung di Arena Of Stars, Kota Keriangan Genting Highlands, 12 April depan.

Bukan itu saja, malah si juara turut diberi penghormatan untuk berduet dengan penyanyi pujaan ramai, Faizal Tahir dalam sebuah persembahan Minggu Setiausaha membabitkan penyanyi itu yang akan diadakan di Hotel Istana, April depan.

Dan lebih menggembirakan apabila pemenang dan juga finalis lain berpeluang memiliki album sendiri apabila komposer Julfekar, yang juga salah seorang juri BIBH bermurah hati untuk menerbitkan sebuah album kompilasi untuk mereka.

Ini bererti, menang atau tidak, peluang mereka untuk menyanyikan lagu sendiri bakal menjadi kenyataan. Malah, tiga daripada empat finalis terbabit turut berpeluang mendengar sendiri

lagu yang diciptakan untuk mereka hasil sentuhan komposer yang banyak melahirkan bakat baru itu.

Rabu lalu, berlangsung pertemuan antara Julfekar, finalis dan pihak sekretariat Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 bagi membincangkan projek penerbitan album kompilasi itu yang diadakan di Balai Berita, Jalan Riong sekali gus menunjukkan kesungguhan pihak penganjur mengotakan janji yang sudah dimaklumkan lebih awal.

Mengulas lanjut projek istimewa itu, Julfekar berkata ini adalah salah satu usahanya untuk melahirkan lebih ramai bakat baru serta persediaannya untuk mencari pelapis penyanyi yang sedia ada ketika ini.

“Memandangkan kebanyakan finalis ini dinilai saya sendiri sewaktu mereka bertanding untuk Bintang Idola Berita Harian, jadi saya percaya mereka mempunyai potensi untuk bergelar artis. Mereka ini mempunyai vokal yang unik dan kalau kena cara membentuknya, tak mustahil mereka mampu mencipta nama dalam industri ini,” ujar Julfekar positif.

Pada sesi itu, Julfekar memperdengarkan 10 buah lagu ciptaannya dari pelbagai genre muzik dan kemudian meminta tiga peserta berkenaan menyenaraikan lagu pilihan mereka untuk dirakamkan.

“Lagu ini ada yang sudah saya sediakan awal dan ada juga dicipta selepas mendengar suara mereka sewaktu pertandingan berlangsung. Saya minta mereka pilih lagu mana yang mereka suka dan kemudian berlatih di rumah.

“Selepas itu barulah mereka akan masuk studio rakaman. Bagaimanapun, tidak semestinya mereka mendapat lagu yang mereka pilih. Keputusan akhir tetap saya lakukan dan semuanya bergantung kepada kesesuaian vokal mereka dengan lagu itu,” ujar Julfekar.

Tidak mahu mensesiakan bakat yang ada, Julfekar berkata enam finalis itu bakal mengikat kontrak dengan syarikatnya, Millenium Art Sdn Bhd untuk tempoh antara tiga hingga lima tahun.

“Saya juga ingin berterus terang di sini bahawa tidak semua dijanjikan untuk membuat album penuh. Potensi mereka akan dinilai menerusi album kompilasi ini. Jika lagu nyanyian mereka itu mendapat perhatian peminat, mungkin dia berpeluang merakamkan album solo dan begitulah sebaliknya,” tegas komposer yang meletup dengan lagu Hilangkan Segalanya nyanyian Farawahida ini.

Jelas Julfekar, rakaman album ini hanya akan berlangsung sebaik saja pertandingan BIBH tamat. Peringkat akhir BIBH akan diadakan serentak dengan siri promosi ABPBH 2008 di Klang Parade, Klang, Selangor, 5 April ini.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: