Air Mata Tumpah Tonton Talentime

2 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

FILEM Talentime yang mengisahkan versi cinta lelaki India, Mahesh dan gadis kacukan Melayu-Inggeris, Melur yang juga garapan terbaru pengarah berwibawa Yasmin Ahmad diuar-uarkan sebagai karya terbaiknya setakat ini.

Pengurus Besar Filem & Drama, Primeworks Studios, Ahmad Puad Onah berkata, seperti Rabun dan Mukhsin, pihaknya yakin Talentime juga akan mendapat sambutan hangat daripada penonton.

“Talentime yang membabitkan bajet RM1.5 juta termasuk promosi adalah filem ketiga Yasmin bersama Primeworks Studios selepas Rabun dan Mukhsin.

“Rabun adalah filem pertama kita yang dicalonkan untuk kategori Filem Terbaik pada Festival Antarabangsa Torino 2003 dan Mukhsin mengungguli pelbagai anugerah antarabangsa termasuk di Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-57.

“Berdasarkan maklum balas positif menerusi pratonton sebelum ini, kami yakin, Talentime akan memberi peluang kepada kita untuk memperkenalkan karya anak tempatan kepada masyarakat antarabangsa sekaligus mengangkat dan memartabatkan industri perfileman tanah air di persada seni dunia,” katanya.

Ahmad Puad berkata, Talentime mempunyai pendekatan sederhana, mengekalkan emosi yang cukup dalam dan bermakna serta dipersembahkan dengan tulus seperti karya Yasmin terdahulu.

“Sebagaimana filem Yasmin sebelum ini, Talentime, filem bersifat kritis dalam soal perhubungan dengan mengangkat kepelbagaian kaum dan kehidupan masyarakat di Malaysia. Dia membuatkan penonton sering berasa dekat dengan paparannya kerana setiap pengkisahan adalah realiti.

“Soal perhubungan dalm setiap pengkisahannya di layar perak juga menjadi paparan Talentime yang bertumpu pada kehidupan dua keluarga berlainan latar pendidikan, bangsa dan agama. Talentime juga digarap Yasmin menjadi sebuah filem yang cukup indah dan menyentuh jiwa,” katanya.

Ahmad Puad ditemui ketika malam gala dan pratonton filem Talentime di Cathay Cineplex, Damansara, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan. Majlis petang itu disemarakkan dengan persembahan hiburan oleh Aizat dan Atilia.

 

 

Lebih bermakna, malam gala Talentime dimeriahkan dengan kehadiran ramai artis popular tanah air yang memberi sokongan kepada karya terbaru Yasmin itu. Antara artis yang hadir ialah Fazura, Hans Isaac, Sazzy Falak, Nazril Idrus, Mawi, Ekin, Aishah Sinclair dan ramai lagi.

Rata-rata artis yang hadir selepas pratonton berakhir mengakui sentuhan terbaru Yasmin kali ini juga tidak menghampakan.

Sazzy yang ditemani suaminya Nazril mengakui dia cukup berasa tersentuh selepas menonton filem itu.

“Saya dan suami menangis bila menonton beberapa babak sedih dalam filem itu. Terus terang, saya suka menonton karya Yasmin kerana kekuatan mesej yang disampaikan menerusi filem itu.

“Bagaimana timbul masalah, pergaduhan dan pembunuhan sekalipun, akhirnya cintalah yang menyatukan mereka semua kembali. Mungkin orang kata filem Yasmin kontroversi tapi bagi saya kontroversi itu bertempat. Alasannya juga kukuh kerana dia bukan buat filem untuk menyakitkan hati orang lain,” katanya.

Sazzy juga memang tidak asing dengan karya Yasmin sejak dulu.

“Saya sudah menonton Gubra dan Sepet. Tapi, belum berpeluang menonton Mukhsin lagi. Saya juga tidak sabar menanti garapan terbarunya, Muallaf yang dikatakan kontroversi juga,” katanya.

Pada masa sama, kata Sazzy, dia juga mengidam untuk bekerjasama dengan Yasmin pada masa depan.

“Saya juga meluahkan hasrat untuk bekerja dengannya ketika kami sama-sama terbabit dalam pembikinan iklan Kempen 60 Earth Hour baru-baru ini. Saya harap dia akan tawarkan saya berlakon dalam projek filem barunya nanti.

“Saya tidak kisah watak kecil sekalipun kerana yang penting dapat bekerjasama dalam filemnya,” katanya.

Hans pula berkata, dia hadir pada malam gala itu untuk memberi sokongan pada karya Yasmin sekaligus filem Melayu.

“Saya suka filem Yasmin kerana ia berjiwa Malaysia dan memaparkan masyarakat berbilang kaum. .

Filemnya juga unik dan ada kelainan. Kalau anda inginkan filem yang ada kelainan, tontonlah filem Yasmin.

Yasmin juga pengarah yang berani dalam berkarya kerana ada dialog dalam filemnya yang orang lain tidak berani buat tapi dia buat juga,” katanya.

Seperti Sazzy, Hans mengakui dia juga sebak selepas menonton Talentime.

“Antara babak sedih ialah apabila Mahesh balik ke rumahnya pada waktu pagi dan bertemu dengan ibunya yang marah dan satu lagi ialah babak terakhir filem ini. Kalau nak tahu apa babak akhir itu, anda perlu menonton filem ini terlebih dulu,” katanya.

Sementara itu, Fazura mengakui dia juga pengikut setia filem Yasmin sejak dulu.

“Selain menyentuh jiwa, filem Yasmin juga memaparkan aspek kemanusiaan yang begitu dekat di hati masyarkat

Saya sukakan karya Yasmin kerana ada kelainan dari filem Melayu yang pernah saya tonton sebelum ini.

“Antara elemen positif yang saya suka ialah nilai kekeluargaan yang dipaparkan dalam filem ini. Babak yang suka ialah kisah keluarga Pamela yang cukup erat dengan kasih sayang dan boleh dicontohi masyarakat di luar sana,” katanya.

Barisan pelakon yang membintangi filem ini ialah Pamela Chong, Mahesh Jugal Kishor, Azean Irdawaty, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Howard Hon Kahoe, Mohd Syafie Naswip, Sukania Venu Gopal, Susan Chong, Mislina Mustaffa dan Harith Iskander.

Lebih menarik, filem ini dilatari lagu Ore Piya dendangan penyanyi Bollywood, Rahat Fateh Ali Khan. Tidak ketinggalan, dendangan Aizat dan Atilia hasil komposisi penyanyi dan pencipta lagu, Pete Teo.

Talentime, filem terbitan Primeworks Studios dengan kerjasama Chilli Pepper Film ini menjengah pawagan tempatan seluruh tanah air mulai 26 Mac lalu.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: