Jelajah Kasih Beri Kesedaran Kepada Penonton

2 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

DENGAN matlamat menyedarkan masyarakat terhadap bahaya yang mampu diakibatkan oleh penyakit HIV/Aids serta kesan yang ditinggalkan ke atas anak-anak serta keluarga, Eurofine (M) Sdn Bhd menerbitkan program berjudul Jelajah Kasih yang mula disiarkan sejak Jumaat bermula 27 Mac lalu, di TV1, jam 11 pagi.

Anak-anak yang bakal menjadi pemimpin pada masa depan seharusnya didedahkan dengan gaya hidup positif, serta didikan yang baik. Begitupun, kesilapan ibu bapa pada masa lalu menyebabkan anak-anak menanggung kesan buruknya.

Begitu juga dengan ibu bapa yang positif HIV/Aids. Sering kali mereka meninggalkan anak-anak yang turut dihinggapi penyakit itu. Biarpun peratusannya tidak begitu besar, namun jumlahnya semakin meningkat. Pada 1991 kesnya hanyalah 0.2 peratus, tetapi pada 2006 jumlah itu meningkat kepada 1.4 peratus.

Masyarakat Malaysia pula masih cetek pemahamannya terhadap penyakit terbabit. Pesakit HIV/Aids sering dipandang hina. Lalu, terfikir seketika, bagaimana pula nasib anak-anak mereka yang dihinggapi penyakit ini? Adakah mereka juga menjadi mangsa sikap masyarakat yang kurang mendalam pengetahuannya terhadap penyakit berkenaan?

Atas kesedaran itu Eurofine yang diterajui Pengarah Urusannya, Ida Rahayu Md Noor, menjalin kerjasama bersama Yang Dipertua Persatuan kebajikan Anak Pesakit HIV/Aids Nurul Iman Malaysia (Pernim), Norlina Alawi dan Evolusi Bebas Sdn Bhd serta Prestige Platinum Vacation, menerbitkan program berbentuk majalah 13 episod bagi memberikan paparan sebenar apa yang dilalui anak-anak tidak berdosa ini.

Program berkenaan diarahkan oleh Haliza Misbun. Mereka memulakan penjelajahan pada 5 Disember lalu dan mengakhiri rakamannya pada hujung Januari 2009. Antara negeri yang dikunjungi rombongan Jelajah Kasih ini ialah Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

“Masyarakat perlu memberi peluang kepada penghidap HIV/Aids dan keluarga mereka, terutama anak-anak mangsa yang tidak berdosa ini, untuk menjalani kehidupan yang positif dan dipenuhi dengan kasih sayang, walaupun sesetengah daripada mereka mempunyai hayat yang lebih pendek serta hanya bergantung kepada ubat-ubatan untuk mengawal penularan HIV kepada Aids,” kata Ida pada majlis pelancaran program itu di Ampang baru-baru ini.

Haliza pula berkata, dia menerima tawaran mengarah serta mengacarakan program berkenaan kerana ia memberikan cabaran baru kepadanya dalam kerjaya seni.

Menurutnya, menerusi program 30 minit itu, mereka merakam kejadian sebenar bagaimana anak-anak penghidap Aids bertemu semula dengan keluarga mereka.

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: