Bath Tarikan Baru England

4 Apr

Oleh MANAN SAMAD
manansamad@hmetro.com.my

KATA orang tua-tua, ‘tak kenal, maka tak cinta’. Itu yang dialami penulis ketika berpeluang mengikuti rombongan AirAsia bersama media sempena majlis menyambut ketibaan pesawat sulung AirAsia X dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Stansted, London, baru-baru ini.

Diketuai Pembantu Peribadi kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Eksekutif AirAsia, Edd Radzie, kami berkesempatan ke beberapa tempat menarik di sekitar London, Bath, Oxford dan Bristol selama beberapa hari selepas majlis bersejarah pada 11 Mac lalu.

Jauh perjalanan banyak pengalaman, justeru sedikit sebanyak penulis dapat menyelami kepelbagaian tarikan kota London dan beberapa bandar berhampirannya.

Kunjungan kali ini juga mengimbau kenangan penulis ketika masih bertugas sebagai wartawan sukan dan diberi tugasan membuat liputan Kejohanan Badminton Seluruh England di Birmingham pada 2003.

 

 

Cuma manisnya berbeza. Dulu penulis dan rasanya seluruh rakyat Malaysia tumpang gembira dengan kejayaan Hafiz Hashim muncul juara perseorangan lelaki menewaskan jaguh China, Chen Hong, sekali gus menamatkan penantian 37 tahun selepas Tan Aik Huang kali terakhir melakukannya pada 1966.

Dek kesuntukan masa selepas menamatkan tugasan, penulis ketika itu tidak berkesempatan meninjau lokasi pelancongan menarik, sebaliknya memberi tumpuan untuk melawat beberapa stadium kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menjadi kemestian buat ‘kaki bola’.

Antaranya Stadium St Andrew (Birmingham City), Villa Park (Aston Villa), Goodison Park (Everton), Anfield (Liverpool), dan sebelum menaiki pesawat di Lapangan Terbang Heathrow, penulis sempat ke Highbury (stadium lama Arsenal) dan White Hart Lane (Tottenham Hotspur).

Dalam kata lain, sebagai ‘kaki bola’ penulis mendapat kepuasan kerana ia satu kemestian, tetapi sebagai pelancong penulis sebenarnya masih ‘buta’ mengenai London.

Justeru, peluang kedua ini ibarat ‘pucuk dicita, ulam mendatang’. Selepas penerbangan meletihkan selama 13 jam, hari pertama dihabiskan dengan program menyambut ketibaan pesawat sulung AirAsia X ke London, termasuk persembahan dua artis negara, Noryn Aziz dan Joe Flizzow, pada sebelah malamnya.

Selepas bermalam di Hotel Corus, hari kedua baru program pelancongan bermula, kebanyakannya membabitkan lokasi popular yang dicadangkan dalam laman web rasmi AirAsia.

Lokasi paling menarik dan pastinya dilawati pelancong adalah London Eye – roda Ferris paling tinggi di dunia terletak bersebelahan Sungai Thames yang membolehkan pelancong menyaksikan 55 lokasi paling terkenal di London dalam tempoh kira-kira 30 minit.

Dari situ, rombongan penulis ke National Gallery yang menyimpan pelbagai karya lukisan agung Eropah dari 1250 ke 1900, termasuk karya pelukis terkenal seperti Botticelli, Leonardo da Vinci, Rembrandt, Gainsborough, Turner, Cezanne dan Van Gogh.

Bagi yang meminati sejarah, Muzium British wajar dikunjungi kerana menyimpan pelbagai artifak prasejarah hingga ke zaman moden dari seluruh dunia, termasuk batu Rosetta, patung Parthenon dan pasu Portland.

Penggemar seni moden pula boleh mengunjungi Tate Modern iaitu muzium seni moden kebangsaan Britain. Terletak di tepi Sungai Thames, galeri itu mempamerkan hasil kreatif pereka tersohor seperti Matisse dan Picasso selain pameran moden dari semasa ke semasa.

Selepas mengunjungi Covent Garden Market, rombongan penulis mengakhiri hari kedua di kota London dengan bersiar-siar di sekitar Jalan Oxford – kawasan membeli-belah terkemuka dunia.

Premis beli-belah di kawasan itu ibarat ‘syurga’ bagi golongan berada dengan pelbagai barangan cenderahati, pakaian, perhiasan, kasut, beg tangan, peralatan rumah dan sebagainya.

Namun bagi golongan berpendapatan sederhana seperti penulis, satu-satunya premis di jalan itu yang menarik perhatian ialah Pusat Beli-Belah Primark, premis menjual pakaian pada harga serendah 1.99 pound (RM10.35).

Primark tidak menjual pakaian berjenama, tetapi barangannya berkualiti dan selesa dipakai jika dibandingkan pakaian pada harga sama di Malaysia. Justeru, tidak mengejutkan pusat beli-belah itu sentiasa dikunjungi pengunjung, terutama rakyat tempatan berpendapatan rendah dan sederhana.

Hari ketiga, rombongan penulis ke bandar Bath, kira-kira dua jam setengah perjalanan bas dari tengah London. Nama Bath mungkin asing bagi sebahagian besar rakyat Malaysia, tetapi kota itu mempunyai pelbagai tarikan yang diidamkan pelancong, terutama dari Eropah.

Bath sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan Melaka dan Pulau Pinang, iaitu lokasi Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Dalam bahasa lain, kota Bath masih ‘dara’ berbanding bandar lain di England. Bandar itu dipenuhi bangunan dengan seni bina lama dipengaruhi Roman dan Georgian berbanding bangunan moden dan pencakar langit di kota besar lain.

Tarikan utama Bath pastinya kolam air panas yang sukar didapati di negara bercuaca sejuk, sekali gus menjadikan kota itu tumpuan pelancongan Eropah. Antara premis yang kerap dikunjungi pengunjung ialah Thermae Bath Spa, yang menawarkan kira-kira 50 rawatan kesihatan.

Melepaskan lelah seketika di hotel penginapan Mercure Francais, rombongan kami kemudian meneruskan kembara dengan melawat sekitar bandar Bath yang tenang sambil berjalan di celah-celah bangunan lama.

Antara bangunan yang menarik perhatian penulis ialah kedai roti Sally Lunn’s, iaitu bangunan tertua di Bath dibina pada 1482, manakala premis itu mula beroperasi sejak 1680.

Selepas mendaftar keluar dari hotel untuk meneruskan perjalanan ke bandar Oxford, rombongan kami singgah sekejap di Bathaquaglass, iaitu kedai membuat barangan berasaskan kaca menggunakan kaedah lama.

Sejam kemudian, kami tiba di Oxford yang terkenal dengan Universiti Oxfordnya – tempat ramai cendekiawan dan pemimpin dunia menuntut ilmu. Uniknya, universiti itu tidak mempunyai kampus utama, sebaliknya merangkumi 38 kolej yang berselerak di sekitar bandar itu.

Berhampiran perpustakaan utama dan dewan graduasi universiti itu, penulis tertarik dengan sebuah kedai buku tiga tingkat bernama Blackwell yang dikatakan menjadi premis utama pelajar Oxford membeli bahan bacaan.

Difahamkan, premis itu mempunyai kedai buku bawah tanah terbesar di dunia, sekali gus memudahkan pemilik menyimpan pelbagai stok buku pelbagai topik untuk pelajar dari seluruh dunia.

Jika anda mahu mencari cenderahati murah seperti baju, pen dan topi, gerai bergerak di sekitar bandar itu jauh lebih murah berbanding di London.

Sebagai contoh, topi tiruan kelab bola sepak Manchester United hanya berharga 5.99 pound (RM31.15) di Oxford berbanding 9.99 pound (RM51.95) di London.

Pada hari terakhir, kami sempat singgah ke deretan kedai menjual barangan berjenama terkenal di Bristol City, ibarat Nilai di Negeri Sembilan. Berikutan kesuntukan masa, kami pada awalnya hanya diberi masa setengah jam di situ, namun disebabkan tarikan terlalu hebat dengan produk terkenal seperti Polo Ralph Lauren, Clarks, Guess, Jimmy Choo, Calvin Klien dan pelbagai lagi pada harga murah, masing-masing terlewat hampir setengah jam.

Umpamanya, kasut terkenal jenama Clarks yang berharga mencecah RM400 di Malaysia boleh dibeli pada harga serendah 30 pound (RM156) dengan stok terhad.

Dalam kata lain, kota London dan bandar sekitarnya adalah lokasi berbaloi untuk dilawati. Jika sebelum ini London hanya untuk golongan berada, tetapi kini dengan AirAsia X menawarkan tiket ke situ pada harga serendah RM490, mimpi boleh menjadi realiti bagi golongan sederhana sekalipun, jika andai bijak merancang masa perjalanan.

Bagi penulis, cinta pandang pertama pada kota London sudah menjadi cinta sejati selepas kunjungan kali kedua – perasaan yang mungkin dikongsi sebahagian besar rakyat Malaysia yang pernah berkunjung ke bandar raya milik bekas penjajah itu.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: