4 Pelakon Muda Gerun Rosyam

6 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

GELARAN ‘hero tua’ yang diberikan kepada Rosyam Nor tidak lama dulu pernah mencarik luka di hatinya. Sekian lama berbakti dan menghambakan diri sebagai pelakon, tidak adakah kata-kata yang lebih manis bagi menghargai perjuangan seninya selama 25 tahun?

Namun, berdirinya Rosyam di samping pelakon muda, Aaron Aziz, Aqasha, Ashraf Muslim dan Fahrin Ahmad, yang turut bersaing dalam Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008), yang bakal berlangsung Di Arena Of Stars, Genting Highlands, 12 April ini jelas membuktikan penangan Rosyam masih berbisa.

Mungkin ada yang memandang enteng persaingan ini atau membuat tanggapan zaman kegemilangannya sebagai pelakon disegani akan berakhir dengan kemunculan serta persaingan sengit bakal diberikan keempat-empat pelakon muda itu.

Bagi yang beranggapan seperti itu, mereka sebenarnya mempunyai pemikiran cetek kerana mengapa tidak menilai bagaimana seorang pelakon senior dan berpengalaman seperti Rosyam mampu mempertahankan popularitinya, sekali gus memboloskan diri dalam kelompok lima terbaik bagi kategori itu?

Sedangkan, ramai pelakon lelaki seangkatan Rosyam dan lebih terkenal daripadanya dulu, bukan saja tidak tercalon malah di manakah mereka hari ini?

Seperkara yang pasti, kehadiran Rosyam dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular amat digeruni bintang muda, Aaron Aziz, Aqasha, Ashraf Muslim dan Fahrin Ahmad yang sebulat suara meramalkannya bakal mendominasi kategori itu.

Bagaimanapun, Rosyam melihat persaingan ABPBH2008 bagi kategori itu sesuatu yang sangat menarik kerana dikelilingi aktor muda berbakat besar yang bakal menjadi pelapis kepada pelakon sedia ada.

“Kalau kita perhatikan kebanyakan finalis dalam kategori ini semuanya pelakon muda. Berbeza dengan penganjuran anugerah sebelumnya, kali ini saya tidak lagi meletakkan sebarang harapan kerana sudah puas dengan pencapaian yang dimiliki.

“Bagaimanapun, saya melihat ia satu persaingan yang menarik dan memberikan cabaran sebenarnya bagaimana mempertahan kedudukan dan populariti tatkala kebangkitan ramai pelakon muda dan berbakat seperti mereka ini.

“Semestinya saya akan lebih memperbaiki diri dari segi lakonan dan hasil kerja yang ditampilkan. Saya sebenarnya sama sekali tidak menyangka akan dicalonkan sekali lagi kerana pemilihan ini dibuat berdasarkan hasil kerja termasuk penayangan drama dan filem yang dibintangi tahun lalu.

 

 

“Kalau ikutkan saya cuma muncul dalam dua drama bersiri, dua telefilem dan satu program bual bicara. Barangkali pencalonan ini ada kaitan dengan lakonan saya menerusi drama bersiri Rozana yang mendapat sambutan hangat di TV3.

“Justeru, syukur kerana peminat masih menghargai bakat dan karier lakonan saya termasuk menyokong produk serta drama terbitan syarikat saya, Suhan Movies & Trading,” katanya.

Tidak cukup dengan satu pencalonan, Rosyam juga diundi peminat yang melayakkan dirinya menyertai kategori Pelakon Filem Lelaki Popular yang dibarisi pelakon kacak, Farid Kamil, Que Haidar, Rusdi Ramli dan Saiful Apek.

Sepanjang pembabitan dalam ABPBH, Rosyam pernah menerima Anugerah Pelakon TV Lelaki Popular pada 2004, 2005, 2006, dan 2007.

Manakala untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dia berjaya menggondol tujuh anugerah bermula 1997 1998, 2001, 2002, 2003, 2004 dan 2005. Selain itu, Rosyam juga pernah dinobatkan peminat sebagai penerima Anugerah Bintang Paling Popular pada 2002.

Manakala Aqasha melonjak menerusi drama Mentua vs Menantu yang dibintangi bersama Ratu Filem Melayu, Erra Fazira, mengakui terkejut dengan pencalonannya itu.

“Saya sudah berlakon sejak 2001, tetapi ini adalah pencalonan pertama saya dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

Keputusan yang mengejutkan kerana tidak pernah memikirkannya, namun saya menerimanya sebagai satu penghargaan.

“Jujur saya katakan, tidak kisah kalau tidak tercalon sekali pun kerana saya sering berinteraksi dengan peminat yang mengikuti perkembangan kerjaya seni saya. Justeru, tanpa tercalon pun saya tahu ada peminat yang sentiasa menyokong karier saya.

“Pun begitu, pencalonan ini saya lihat sebagai bonus juga penghargaan peminat di atas kasih yang melimpah ruah sehingga mereka berusaha mengundi dan menempatkan saya dalam senarai lima terbaik.

“Menang atau kalah, saya tidak menaruh sebarang harapan bahkan tidak rasa ada peluang kerana saya sering muhasabah diri supaya terima setiap keputusan dengan hati terbuka. Kalau menang itu satu bonus dan rezeki daripada Yang Maha Esa,” katanya.

Baru saja menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Audio di HICOM, pelakon yang terlebih dulu mencipta nama sebagai penyanyi serta popular menerusi lagu Embun ini muncul menerusi drama, Bicara Cinta dan

Kasih Mia arahan Rashid Sibir tahun lalu, termasuk Mentua Vs Menantu.

Dia yang bakal muncul dengan filem Rempit V3 pertengahan tahun ini dijadualkan memasuki sambungan penggambaran musim kedua Mentua Vs Menantu sebaik Erra selesai menjalani proses berpantang.

Sementara itu, pelakon kacak kelahiran Singapura Aaron Aziz antara calon akhir yang disebut menjadi pencabar terdekat Rosyam Nor bagi meraih anugerah bagi kategori berkenaan. Masakan tidak, meskipun tiada sebarang kemunculan istimewa sepanjang tahun lalu, Aaron tetap menerima pencalonan dari peminat.

“Saya terharu dengan sokongan peminat dan terima kasih kerana mencalonkan saya dalam kategori berkenaan untuk dua tahun berturut-turut.

“Saya terkejut dengan pencalonan ini kerana setahu saya tahun sudah tiada sebarang drama lakonan saya ditayangkan atau boleh menjadi batu pengukur serta dinilai untuk melayakkan menyertai anugerah berprestij ini. Memandang tahun lalu terbabit dengan projek drama dan telefilem terbitan Astro yang akan ditayangkan tahun ini.

“Lagipun, apabila difikirkan saya bukannya berasal dari Malaysia justeru menerima penghargaan sebesar ini tidak pernah saya impikan.

“Berbanding finalis lain, saya antara pendatang baru dalam industri ini. Jadi saya tidak mengharapkan apa-apa melainkan sudah cukup bersyukur dengan pencalonan ini,” katanya akan muncul dengan telefilem Hang Tuah terbitan Astro.

Terikat dengan penggambaran filem Suaka arahan Pierre Andre dan Dave, wajah ekslusif Astro ini diberi kepercayaan membawakan watak utama sebagai Osman dalam filem seram ini. Dia bergandingan dengan pelakon tinggi lampai juga model, Julia Ziegler sebagai Mastura yang mempunyai kelebihan melihat roh dan alam ghaib.

Dalam kelompok lima terbaik, Ashraff Muslim yang melonjak dengan watak Ustaz Amirul dalam drama bersiri seram, Puaka Niyang Rapik, boleh dikatakan pelakon paling ‘junior’ jika diukur pembabitannya dalam bidang lakonan.

Namun, kemampuan membawakan watak yang dihormati penonton misalnya, wataknya sebagai Yusuf dalam drama Yusuf

tambahan mempunyai raut wajah yang tampan dilihat sebagai bonus dan memudahkan dirinya dikenali. Ini adalah pencalonan pertama Ashraf sepanjang penganjuran ABPBH.

“Semua calon akhir bagus belaka melainkan saya yang belum cukup pengalaman ini. Tapi syukur Alhamdulillah atas kesudian peminat mengundi dan ia penghargaan besar buat saya.

“Pengiktirafan ini tidak pernah dijangkakan kerana dulu saya menyaksikan anugerah ini sebagai peminat kepada abang Rosyam dan sekarang saya dicalonkan kategori sama dengan pelakon yang cukup saya kagumi itu. Saya rasa amat kerdil dan belum layak berada di sini.

“Apapun, saya sedang belajar menerima kenyataan ini dan sekali lagi terima kasih kepada peminat melihat bakat dan menghargai lakonan saya,” katanya.

Seorang lagi calon yang tidak kurang hebat dan pernah mencetuskan kontroversi membabitkan kisah putus cinta dengan penyampai radio, Linda Onn, siapa lagi kalau bukan Fahrin Ahmad.

“Saya harap pencalonan ini tidak hanya menilai populariti semata-mata, tetapi juga menilai bakat seseorang pelakon itu kerana sebagai pelakon saya suka sekiranya peminat terasa kesan daripada lakonan yang saya persembahkan.

“Cuma saya tertarik dengan gabungan pelakon berpengalaman dan baru dalam kategori ini. Bagi saya semua finalis ada kelebihan masing-masing dan saya tidak meletakkan sebarang harapan dan terpulang pada peminat untuk memilih siapa. Tetapi saya merasakan Rosyam Nor memberikan persaingan hebat kepada semua,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: