Bersatu Cintakan Budaya Negara

6 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

JKKN lancarkan 1,371 aktiviti serlahan seni bermula Julai

LEBIH 313 aktiviti seni budaya berteras ke arah mengukuhkan perpaduan kaum diberi penekanan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam Serlahan Seni ’09, sekali gus merealisasikan misi kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab seni, budaya dan warisan di peringkat antarabangsa.

Setiausaha Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Datuk Dr Muzahet Masruri berkata, program yang diperkenalkan menjadi wadah pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu dan cintakan seni budaya.

Sejajar dengan perkembangan teknologi semasa, Dr Muzahet berkata, aktiviti kesenian dan kebudayaan dijelmakan dalam pelbagai bentuk program seperti bimbingan seni budaya, keilmuan, semarak dan kecemerlangan seni, perantisan serta penyerlahan seni di luar negara.

“Serlahan Seni ‘09 adalah proses janaan aktiviti seni budaya yang direncanakan JKKN dan menjadi sorotan utama sepanjang 2009.

“Sejumlah 1,371 aktiviti bakal dilaksanakan JKKN di seluruh negara membabitkan pelbagai pertubuhan dan badan kerajaan swasta,” katanya.

Ditemui pada sidang media Serlahan Seni ‘09, beliau berkata, program sepanjang 2009 dirancang selaras dengan penekanan KPKKW ke arah mengukuhkan perpaduan, membabitkan generasi muda serta menyuntik nilai ekonomi menerusi produk seni dan budaya secara komersial.

Turut hadir di majlis ini ialah Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli.

“Sebagai menyokong usaha itu, JKKN menerusi program Pengembangan dan Pengukuhan Seni dan Budaya memberikan penekanan kepada aktiviti membabitkan pelbagai kaum seperti Bintang Irama Malaysia, Festival Tari Kebangsaan dan Negeri, Festival Teater Malaysia, Pusat Seni Setempat dan Program Merakyatkan Seni,” kata Dr Muzahet lagi.

Fokus kepada kanak-kanak, remaja

AKTIVITI sepanjang 2009 juga memberi fokus kepada pembinaan modal insan di kalangan kanak-kanak dan remaja.

Dr Muzahet berkata, aktiviti seperti Kelab Siswa Budaya, Perhimpunan Siswa Merdeka dan Pusat Seni Setempat dilaksanakan membabitkan penyertaan golongan muda, manakala Kursus Seni Budaya dalam pelbagai tahap turut diberikan kepada jurulatih di seluruh negara.

Pelaksanaan Serlahan Seni ‘09 juga bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat kesenian antarabangsa menerusi penganjuran Festival Kuala Lumpur sepanjang Julai 2009, Festival Muzik Kuala Lumpur, Festival Tari, Festival Teater, Siri Teater Tradisional dan Permainan Tradisi Malaysia.

Dr Muzahet berkata, selaras dengan hala tuju KPKKW untuk membangunkan industri seni kreatif, aktiviti yang memberi fokus kepada aspek penyelidikan, pembangunan produk, promosi dan pemasaran dipertingkatkan.

“JKKN akan berusaha membangun dan menambah baik produk seni dan budaya merangkumi Senam Seni, Kumpulan Kesenian Jabatan, Kumpulan Makyung dan Koir Kebangsaan,” katanya.

Program penyerlahan seni dan budaya peringkat antarabangsa juga diberi tumpuan di bawah Serlahan Seni ‘09 dengan membawa produk tempatan ke luar negara.

Antara yang dirangka adalah pertunjukan mak yung di Singapura dan Brunei untuk mengangkat seni persembahan itu ke peringkat global, selain pementasan teater kanak-kanak, Ali Baba yang pernah mendapat sambutan hangat di India dan United Kingdom (UK).

“JKKN akan menghantar tiga koreografer ke UK untuk bersama-sama dengan kumpulan Nusantara London menjelajah negara itu selama tiga bulan dengan membawa persembahan seni serta budaya Malaysia di sana,” katanya.

12 aktiviti utama Serlahan Seni ’09

Program Merakyatkan Seni & Budaya (PMS)
Sebanyak 164 siri PMS bakal diperkenalkan di seluruh negara.

Festival Kuala Lumpur
Berlangsung selama sebulan dari 1 hingga 31 Julai di sekitar Kuala Lumpur.

Festival Muzik Kuala Lumpur
Berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya dari 1 hingga 5 Julai. Tujuh komponen utama iaitu Konsert Lelaki Ini, Konsert Ruhani, Konsert Sounds Of Malaysia, Konsert Ahmad Nawab Goes To Life Centre, Konsert Young Malaysian Band dan Festival Muzik Dunia. Membabitkan Anuar Zain, Sammi Yusof, Samba Sunda, Akhill Hayy, Samuel Dass & Prakash, Jerry Kamit & Friends, Dayang NUrfaizah dan Stacy.

Bintang Asli Remaja
Direalisasikan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 18 Julai.

Siri Teater Tradisional Malaysia
Diadakan di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur dari 3 hingga 26 Julai ini, merangkumi mek mulung, wayang kulit, bangsawan, mak yung, tari drama, opera Cina dan klasik India.

Tari Malaysia
Diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari 25 hingga 29 Julai ini. Menampilkan enam kumpulan tari terbaik bertanding di peringkat kebangsaan. Komponen Tari Malaysia ini merangkumi persembahan, pertandingan, bengkel, seminar dan showcase.

Permainan tradisi
Berlangsung di Kuala Lumpur dari 6 hingga 9 Ogos ini mengetengahkan permainan tradisional Malaysia seperti gasing, congkak dan wau.

Persidangan Industri Kreatif Seni Budaya
Mengupas isu utama mengenai produk seni, pemasaran dan pengkomersialan dengan pembentangan kertas kerja daripada tokoh utama dalam dan luar negara.

Kahwin! Malaysian Style
Penyediaan pakej perkahwinan memaparkan demonstrasi kepelbagaian adat istiadat perkahwinan ala Malaysia, pakej persandingan dan bulan madu serta memperkenalkan busana dan perhiasan perkahwinan.

Syarahan dan pelancaran buku Tun Sri Lanang

Mak yung Antarabangsa
Persembahan oleh kumpulan perantisan mak yung JKKN iaitu Mak Yung Kijang Emas yang berpusat di Kelantan. Dua siri pementasan dianjurkan iaitu di Singapura pada 2 hingga 6 Jun, manakala Brunei dari 15 hingga 20 Ogos.

Sayembara Puisi dan Syair Merdeka

Berlangsung di Auditorium Tunku Abdul Rahman di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang dari 14 hingga 16 Ogos.

INFO: Tujuh produk kreatif JKKNProgram Bimbingan Seni dan Budaya
Program ini adalah sebagai usaha meningkatkan kemahiran dan keilmuan dalam seni budaya kepada golongan masyarakat dan pelajar. Ia dipertingkatkan menerusi aktiviti kelab seperti Kelab Tunas Budaya, Kelab Giat Budaya dan Kelab Siswa Budaya.

Kumpulan Kesenian Jabatan
Ditubuhkan di seluruh negara ini mempunyai 191 Artis Budaya yang bekerja separuh masa.

Koir Kebangsaan
Dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Koir Kebangsaan untuk remaja berusia 17 tahun ke atas dan Koir Remaja Kebangsaan berusia 6 hingga 16 tahun.

Penyerlahan Seni Budaya ke Luar Negara
Akan diadakan di Penyerlahan Seni Budaya di Edinburgh Arts Festival dari 15 hingga 20 Ogos, Penyerlahan Koreografer dan penari ke United Kingdom serta teater kanak-kanak, Ali Baba juga di United Kingdom.

Penerbitan JKKN
Bertujuan meningkatkan pengetahuan dan pemahaman masyarakat mengenai seni dan budaya menerusi cakera padat, video cakera padat dan buku.

Senam Seni Malaysia
Senaman yang menumpukan gerakan berasaskan elemen tarian seperti joget, inang, zapin serta seni bela diri masyarakat Malaysia.

Pusat Kesenian Setempat
Empat pusat seni setempat ditubuhkan sekitar Kuala Lumpur iaitu Semarak Laman Santai, Semarak Bangsawan, Semarak Pasar Seni dan Semarak Seni Aniversari.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: