ABPBH 2008: Bintang Idola

7 Apr

Oleh Zaidi Mohamad & Farihad Shalla Mahmud

Nazatul Farahin (tengah) dinobatkan sebagai Bintang Idola Berita Harian diapit naib juara, Nurul Syazwanie (kiri) Mohd Basri dan tempat ketiga, Faralyna Mohamad

PELUANG kedua yang ada tidak sesekali disia-siakan gadis berasal dari Sungai Petani, Kedah bernama Nazatul Farahin Mohd Hussin.

Istilah putus asa tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya, malah semangat yang dimiliki peserta berusia 20 tahun itu memberi ganjaran bermakna kepadanya apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH).

Pertandingan yang dihasilkan atas inisiatif Berita Harian selaku penganjur Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 ini adalah platform kepada bakat baru yang cukup mencintai dunia nyanyian untuk mengetengahkan bakat mereka.

Kejayaan Nazatul sebagai juara pertandingan akhir keseluruhan BIBH 2008 di Klang Parade, Klang, kelmarin melayakkannya menerima wang tunai RM2,000 dan barang kemas tajaan Rafflesia The Pearl Centre bernilai RM5,000.

Menerusi kemenangan itu Nazatul mendapat kesempatan indah yang tidak pernah dimimpikan iaitu membuat persembahan di pentas utama malam kemuncak ABPBH 2008 di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 12 April ini, selain disaluti dengan persalinan serba glamor tajaan pereka fesyen Calvin Thoo dilimpahi aksesori serba mewah.


Nazatul Farahin

Di samping itu, Nazatul juga akan digandingkan bersama dua penyampai radio Hot FM iaitu Kieran dan AG sebagai penyampai trofi.

“Perasaan takut dan gementar mula melingkari perasaan saya. Seram pun ada. Tapi saya akan manfaatkan kenangan terindah ini yang bukan selalu diperoleh orang biasa seperti saya. Saya akan memberikan persembahan yang terbaik pada malam itu nanti.

“Selain itu, saya juga tidak menyangka menerima peluang berganda iaitu merakamkan single di bawah didikan komposer, Julfekar. Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya berpeluang merakamkan album pula lepas ini di bawah syarikat miliknya, Millenium Art Sdn Bhd,” katanya yang menyanyikan Mama Aku Ingin Pulang dendangan asal Nike Ardilla dan Anggapanmu (Ziana Zain) ketika pertandingan akhir BIBH 2008.

Kemenangan itu juga membolehkan Nazatul berduet dengan Faizal Tahir dalam satu persembahan Minggu Setiausaha yang akan diadakan di Hotel Istana.


MUSTAFA (lima dari kiri) dan Julfekar bergambar bersama pemenang dan peserta pertandingan akhir Bintang Idola Berita Harian.

Naib Juara disandang oleh Nurul Syazwanie Mohd Basri, dari Kajang, Selangor yang mewakili Zon Lembah Klang, manakala wakil Zon Selatan, Faralyna Mohamad dari Pasir Gudang, Johor di tempat ketiga.

Nurul Syazwanie, 15, pelajar Sekolah Menengah Perimbun, berkata dia tidak terkilan biarpun tidak dapat menyandang gelaran juara, tetapi paling penting dapat mengutip pengalaman berharga.

“Saya pernah menyertai pertandingan nyanyian. Perasaan kalah dan menang sudah biasa dialami. Saya gembira dapat merasai kelainan menyertai BIBH kerana ia diadakan untuk menghangatkan acara ABPBH 2008 ,” katanya yang menerima wang tunai RM1,000.

Sementara itu, Faralyna yang pernah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian termasuk Gang Starz musim kedua memberitahu yang dia akan cuba membahagikan masa sebaik mungkin antara pelajaran dengan dunia nyanyian.

“Rezeki di tangan Tuhan dan saya percaya setiap usaha itu pasti ada keberkatannya. Lihat saja biarpun tak menang, saya masih berpeluang merakamkan single di bawah syarikat Millenium Art Sdn Bhd. Harapnya lagu yang bakal dirakamkan itu akan memberi tuah kepada saya,” katanya yang memenangi hadiah wang tunai RM500.

Semua hadiah pemenang disampaikan oleh Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Mustapa Omar sambil diiringi Pengerusi Pengelola ABPBH 2008, Hanizam Abdullah.

Hanizam turut menjadi juri pertandingan kemuncak BIBH dibantu komposer dan pengarah muzik terkenal, Ramli MS, komposer tersohor Julfekar serta bekas pemain bass kumpulan Sweet Charity, Rosli Muhalim.

Peserta lain yang turut bertanding Nurlida Ab Raman, Muhamad Zaki Zainal, Syaifaana Mohamed Subri, Muhammad Irwan Othman dan Mohamad Syahrul.

BIBH dianggap projek istimewa

KOMPOSER Julfekar ketika ditemui menjelaskan pemilihan Nazatul disebabkan mutu vokalnya yang lantang dan keupayaannya mengawal alunan suara dengan baik.

Bagaimanapun, mengenai imej, Nazatul memerlukan proses meningkatkan ketrampilan diri terutama dalam soal pemakaian.

Seperti yang dijanjikan dan selepas perbincangan diadakan di antara Julfekar dan sekretariat Anugerah Bintang Popular, pemenang dan finalis BIBH akan terbabit dalam sebuah projek penerbitan album kompilasi.

Mengulas lanjut mengenai projek istimewa itu, Julfekar berkata, kehadiran bakat baru seperti mereka perlu digalakkan dalam usaha mencari pelapis penyanyi sedia ada.

Ironinya, Julfekar kini sedang mencari pengganti naungan syarikat miliknya, Millenium Art Sdn Bhd selepas misteri kehilangan Farawahida.

“Setiap mereka (finalis) akan terbabit menyanyikan lagu sendiri yang bakal dimuatkan di dalam sebuah album kompilasi. Ada di antara mereka mungkin berpeluang merakamkan album penuh.

“Saya juga berharap kerjasama Millenium Art dan BIBH akan meneruskan kelangsungan pada tahun mendatang,” kata Julfekar yang kini sudah mempunyai penyanyi baru di bawah naungan syarikatnya, Heela.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: