Ilusi Hebat Di Permaidani Merah

10 Apr

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my

AKSESORI sesuai mampu menyerlahkan gaya dan aura individu.

Pemilihan aksesori bersesuaian mampu serlah gaya pada majlis rasmi

MELEWATI permaidani merah pada acara berprestij seperti Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) memang acara yang dinanti-nantikan peminat dan jurugambar.

Pembawaan diri serta apa yang diperaga seseorang selebriti ketika melangkah dan bergaya depan kamera, boleh memberikan imej positif atau negatif, secara serentak sekiranya gaya ‘dibawa’ amat jelik dan menyakitkan mata memandang.

Hebatnya kuasa permaidani merah boleh menjatuh atau menaikkan nama anda sekelip mata. Di Barat, Nicole Kidman antara selalu mendapat pujian kerana sentiasa saja gayanya kena dengan dirinya, sebaliknya ada juga selebriti yang dicemuh lantaran gaya dibawakan menyelongkar kekurangan diri.

Pengarah Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin, berkata permaidani merah memberikan pelbagai erti kepada insan khususnya selebriti, tidak kira lelaki atau wanita kerana dari hujung rambut ke hujung kaki, gaya anda akan dirakam dan diperkatakan.

Tidak setakat itu, pereka fesyen dan individu yang menyolek selebriti juga turut terpalit sekiranya apa yang ditampilkan ada cacat cela.


GAMBAR atas, motif rama-rama boleh dijadikan loket atau disemat pada pakaian. Gambar bawah, rantai labuh atau pendek beri impak berbeza.

“Sedikit kesilapan gaya, anda atau ‘orang di belakang’ akan dicemuh tidak tahu gaya. Sungguhpun begitu itu bukanlah petanda permaidani merah membawa petaka asalkan seseorang itu tidak lokek menimba ilmu bergaya.

“Selebriti perlu mengenali dirinya terlebih dulu supaya berupaya membawa apa yang akan digayakan. Terikut-ikut gaya orang lain atau selebriti luar negara, bukan cara terbaik kerana ia sebenarnya boleh mengundang padah, apatah lagi sekiranya ia langsung tidak kena,” katanya mengulas mengenai aksesori sesuai digayakan di permaidani merah.

Sebelum melangkah ke permaidani merah, seseorang itu perlu mencuba terlebih dulu persalinan lengkap dengan segala kemasan seperti rambut dan kasut. Walaupun aksesori menjadi bahan paling akhir sebagai pelengkap dan penyerlah gaya, ia tidak seharusnya dipilih berdasarkan tangkap muat.

“Apabila selebriti itu lengkap bergaya, khususnya wanita, kami di Rafflesia akan menyuakan aksesori paling sesuai supaya ia tidak sekadar dipakai untuk mencantikkan penampilan, sebaliknya menyerlahkan gaya dan aura individu. Perkara ini paling perlu kerana walaupun mutiara sesuai dengan semua orang, warna, potongan serta saiz boleh mempengaruhi penampilan,” katanya yang mengatakan himpunan terkini daripada jenama mutiara itu tersedia dalam pelbagai potongan baru memikat.

Winnie berkata, kecantikan seseorang boleh pudar sekiranya memilih aksesori tidak sesuai dengan pakaian sebaliknya wanita yang mungkin kelihatan ‘biasa’ boleh bertukar hebat sekiranya pilihannya tepat.

“Sekiranya bercakap mengenai aksesori digayakan sama ada di permaidani merah atau majlis rasmi, saya fikir paling pantas menyerlah sudah tentu anting-anting atau subang kerana ia mudah mengubah wajah. Untuk wajah yang bulat, atau persegi, anting-anting tirus atau berjurai membentuk ilusi muka bujur. Sekiranya rambut disanggul pula, ia pantas mengalih pandangan individu kepada perhiasan itu dan bukan memperlihatkan bentuk wajah. Begitu juga dengan saiz dan warnanya.

“Individu memiliki leher jinjang pula memiliki kelebihan mengenakan pelbagai jenis potongan sama ada ringkas, labuh atau hanya pendakap leher, tetapi yang memiliki leher pendek, mengenakan jenis yang panjang lebih sesuai sebagai ilusi leher lebih panjang,” katanya.

Perhiasan mutiara lain seperti gelang dan cincin, sungguhpun agak ‘tersorok’ ketika melewati permaidani merah, ia tidak boleh dipandang ringan. Jemari pendek umpamanya boleh menyerlahkan keindahan itu dengan mutiara motif tirus atau berbentuk unik daripada saiz yang tidak keterlaluan.

Begitu juga dengan perhiasan gelang. Pelbagai potongan gelang unik dan berbeza mungkin memberikan impak besar kepada penampilan anda.

“Sering kali permaidani merah dijadikan tempat selebriti mencuba gaya baru. Tidak salah, tetapi pastikan selesa dan serasi peribadi. Jangan remehkan sekiranya anda perlu ‘mencuba’ daripada hujung rambut ke hujung kaki kerana ia paling penting dan mengelakkan anda daripada kecewa pada kemudian hari, terutama apabila melihat gambar tersiar dalam akhbar,” katanya.

INFO: Bergaya pada majlis rasmi

RAMBUT: rambut perlu sesuai dengan gaya baju anda gayakan. Sekiranya mengenakan persalinan mewah perincian, sanggul mungkin menjadi pilihan terbaik. Elakkan mengenakan gaya rambut yang anda biasa gayakan. Kalau selalu dilihat kerinting, mungkin untuk acara berkenaan anda luruskan. Gandingan aksesori mutiara ringkas dan klasik sekiranya baju digayakan sarat, tetapi sekiranya baju ringkas, potongan mutiara unik lebih serasi.

KELEBIHAN TUBUH: setiap individu memiliki kelebihan atau kekurangan pada potongan tubuh. Itu realiti yang tidak boleh disorok, tetapi anda boleh tampak hebat dengan menonjolkan kelebihan tubuh badan anda. Seksi dan membuka sebahagian besar anggota tubuh, bukan membawa erti cantik. Contoh terbaik, pelakon Angelina Jolie, yang hanya akan memastikan tiada bahagian tubuh lain paling menyerlah, selain bibir seksinya itu. Gandingan aksesori mutiara rona gelap daripada rona pakaian disertai dengan bentuk bujur umpamanya, boleh membuatkan wajah tampak lebih bujur.

KEKURANGAN TUBUH: sekiranya anda tidak berupaya ‘menyorok’ kekurangan diri seperti paha yang lebar, pastikan pereka anda mampu menghasilkan ilusi bahagian berkenaan supaya lebih elok. Sekiranya leher anda agak pendek, serlahkan dengan leher jinjang dengan potongan V. Aksesori pelengkap mutiara labuh atau sederhana, menyerlahkan leher panjang, sebaliknya elakkan pendakap leher sekiranya bahagian itu agak pendek kerana anda akan tampak lagi rendah.

GAYA BARU: segelintir selebriti gemar ‘menguji’ acara permaidani merah dengan gaya yang ‘menyeronokkan’ atau lain daripada biasa. Tidak salah, tetapi pastikan apa yang diketengahkan itu daripada elemen baru, seperti mengenakan serban (kalau ia masih hangat untuk musim itu). Gandingan mutiara untuk gaya ini mungkin perhiasan pada bahagian atas seperti semat kerongsang berjurai ala Aladin.

WARNA : rona pakaian mempengaruhi gaya. Si kulit cerah, sudah pasti lebih menyerlah dengan rona menjerit. Bagi yang berkulit rona tanah, warna tidak keterlaluan menjadikan anda tambah manis. Padankan aksesori ikut rona jelapang kulit. Usah ingat mutiara hanya berwarna putih, sebaliknya pelbagai pilihan rona memikat dan menyengat, seperti kuning emas, putih gading, hitam, warna bulu merak, gangsa, kuning lembut dan perak.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: