Linda, Krill Semakin Selesa

10 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Gembira masih jadi finalis dalam kategori penyampai radio

SEJAK 2001, Linda Onn dan Khairil Rashid atau Krill tidak pernah ketinggalan dalam senarai calon akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) bagi kategori Penyampai Radio Lelaki dan Penyampai Radio Wanita Popular.

Begitu juga penganjuran tahun ini, walaupun semakin hari bakat baru dalam bidang juruhebah lahir bersama pesatnya stesen radio tempatan dibuka namun mereka masih mempunyai bisa yang berbeza.

Inilah yang dikatakan pekerja yang mengutamakan kerjanya tanpa mencari populariti yang sengaja diada-adakan.

Linda walau sibuk dengan kerja seninya termasuklah terpaksa menguruskan perniagaannya yang semakin berkembang mengakui kerja seninya diutamakan tetapi bukanlah populariti.

“Bagi Linda apa yang penting kita harus menunjukkan mutu kerja kita jika ingin kekal lama dalam bidang ini sekali gus populariti itu akan datang sendiri apabila pendengar merasa puas dan terhibur.

“Sehingga hari ini saya lihat semakin ramai orang baru lahir dalam bidang ini dan ia menunjukkan satu perkembangan baik dan sihat.

“Cuma perbezaannya hari ini dan lalu cukup ketara. Jika penyampai radio lalu bersaing sesama sendiri dengan membuktikan kualiti kerja siapa yang paling hebat, hari ini saya lihat mereka lebih mencari populariti untuk lebih dikenali,” katanya.

Menurut Linda, sepanjang tiga bulan bersama SinarFM semuanya berjalan lancar. Walaupun agak sedih meninggalkan Era tetapi sikap profesional perlu ditanamkan dalam dirinya.

“Alhamdulillah saya semakin selesa bersama SinarFM. Cuma, secara peribadi yang dapat saya rasakan apabila berada di SinarFM ini banyak lagu terkini semakin saya ketinggalan mengetahuinya. Bukannya apa saya memang meminati lagu-lagu seperti pop, balada, R&B, Hip Hop dan rap,” katanya yang kini berusaha menyelami lagu-lagu retro untuk memberikan yang terbaik kepada pendengarnya.

Bagi Khairil, walaupun wajah penyampai radio kurang dikenali berbanding pengacara TV, namun sekiranya kualiti yang ditunjukkan dalam penyampaian serta maklumat berguna kepada masyarakat akan dikenali.

“Populariti bagi saya adalah siapa yang berjaya mencuri hati pihak media akhbar atau TV, dia akan dikenali sekali gus popular. Tanpa media akhbar, majalah selain daripada media sendiri peminat tidak akan mengenali siapa penyampai radio ini.

“Hari ini kita melihat penyampaian radio berlumba-lumba mengejar populariti tanpa menyedari tujuan utama sebagai penyampai radio.

“Untuk ABPBH2008, bagi saya tercalon sudah cukup berbangga kerana setidaknya mereka tahu bakat saya dalam bidang pengacaraan. Cuma saya kurang menonjol dalam akhbar mahupun televisyen,” katanya.

Dia yang juga kini lebih selesa mengendalikan radio retro SinarFM bersama Salih Yaacob dan Raja Azura menolak sangkaan yang dia kini seakan tidak bersemangat mengendalikan SinarFM.

“Ada yang menyatakan saya seakan tidak bersemangat mengendalikan SinarFM dan seakan bekerja sambil lewa adalah tidak benar belaka.

“Sebelum ini saya di Era dan HitsFM dan apabila dipindahkan ke SinarFM lebih lagi digandingkan dengan dua penyampai yang hebat saya amat selesa sekarang,” katanya.

Jangka banyak kejutan

SEMENTARA itu, Linda dan Khairil menjangkakan ada berlaku beberapa kejutan dalam keputusan yang akan diumumkan pada malam kemuncak ABPBH2008, Ahad ini.

Dalam kategori Penyampai Radio Lelaki, pencabar paling hebat Khairil pastinya daripada penyampai Era, Aznil Nawawi selain tiga penyampai Hot FM iaitu Faizal Ismail, Kieran dan AG.

Manakala Penyampai Wanita Radio Popular pula, Linda berhadapan rakan setugasnya, Abby Fana selain Nana dari Era dan dua peserta dari Hot FM, Fara Fauzana dan Leya.

enurut Linda, ABPBH2008 yang dianjurkan adalah majlis penganugerahan anak seni paling berprestij pernah dihadiri setakat ini.

“Saya melihat ABPBH menghimpun semua anak seni daripada penyanyi, pelakon, penyampai radio, TV, pelawak dan pelapis baru dalam bidang seni. Bukan itu saja, tahun ke tahun saya dapat melihat perkembangan penganugerahan ini semakin berkembang.

“Dengan mempelbagaikan tema pakaian setiap tahun, sekali gus mengangkat satu lagi elemen seni iaitu pereka fesyen turut dihargai,” katanya yang akan mengenakan pakaian rekaan Nazreen Idris yang turut menggabungkan elemen songket.

Bagi Khiril, penganjuran ABPBH2008 ini dilihat sesuatu penganugerahan yang berbeza daripada majlis lain.

“Saya melihat daripada sudut positif. Anugerah ini mengangkat penyampai radio yang dulu tidak dikenali kepada lebih dikenali hari ini.

“Sesi jelajah promosi ABPBH2008 turut membawa finalis bertemu sendiri dengan masyarakat supaya mereka kenal siapa yang bekerja di dalam konti radio,” katanya yang akan mengenakan pakaian sendiri pada malam kemuncak ABPBH2008.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: