Musim Kedua Ghost Lebih Mendebarkan

10 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

PELBAGAI tanda tanya berlegar dalam fikiran Cheryl Samad setiap kali menjejakkan kaki ke lokasi penggambaran Ghost musim kedua.

Keterujaan untuk berdepan momen yang sentiasa menjadi teka-teki menyisihkan segala lelah Cheryl biarpun siri yang akan menemui penonton 8TV mulai 19 April ini, jam 10.30 malam mengambil masa panjang untuk disiapkan.

Penggambaran sudah dimulakan sejak Januari lalu namun drama bersiri 13 episod itu hanya siap sepenuhnya menjelang akhir bulan ini.

Akui Cheryl, dia senang dengan proses yang dilalui kerana percaya hasilnya nanti akan memberi kepuasan, apatah lagi musim kedua itu kembali menampilkannya sebagai pelakon utama.

Membawakan watak Eza, wartawan yang membongkar pelbagai skandal dan konspirasi membabitkan nama besar, Cheryl akur akan keselesaan bekerja dengan Ng Ping Ho.

“Dia sentiasa memberikan kejutan kepada kami,” kata Cheryl yang kembali bergandingan dengan Naz.

Ping Ho kata Cheryl, mempunyai caranya tersendiri untuk memastikan setiap pelakon memberikan persembahan terbaik mereka.

“Dia memberikan skrip secara berperingkat-peringkat. Selesai melakonkan tiga episod baru kami diberikan skrip untuk episod seterusnya.

“Cara Ping Ho itu berjaya membangkitkan mood segar kepada pelakon. Ini agak mencabar kerana kami perlu bekerja keras untuk menyesuaikan diri dengan rentak lakonan,” katanya.

Menyingkap watak yang dibawakan, Cheryl berkata, peralihan kematangan dapat disaksikan apabila Eza semakin tenang dan yakin untuk berdepan apa juga cabaran serta bahaya yang menerjah di depan matanya.

Cheryl turut mengakui akan persamaan antara Eza dengan sikap dirinya yang sebenar apabila di luar penggambaran.

Selain mengekalkan Cheryl dan Naz sebagai teraju utama, siri ini juga memperkenalkan beberapa nama baru seperti Fairil Emran, Anding Indrawani, Isma Hanum, Melissa Campbell, Zahiril Adzim dan Edmund Soo.

Bercerita mengenainya, Ping Ho berkata, kesemua pelakon dipilih menerusi uji bakat intensif untuk memastikan kesesuaian mereka dengan watak yang diberikan.

Mengulas mengenai kehadiran semula watak Zack Imran yang dibawakan Naz, Ping Ho berkata, karakter itu penting kerana setiap apa yang berlaku dalam musim terbaru ini mempunyai kaitan dengan pengalaman silam lelaki itu.

“Musim kedua Ghost lebih gelap dengan plot yang lebih menarik dan mendebarkan,” katanya teruja.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: