Pengalaman Mahal

10 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Shila dan Iz tidak sabar gayakan rekaan Hatta pada malam ABPBH 2008

MEMIKUL tugas menyiapkan rekaan untuk empat selebriti, Nurul Abdul Wahab, Sarah Raissuddin, Shila dan Iz memberi 1001 pengalaman berharga buat pemenang Pereka Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 kategori wanita, Hatta Dolmat.

Tidak hairan ada dikalangan selebriti yang turut memasang angan sekian lama untuk menyarung pakaian rekaan Hatta. Perkara ini diakui sendiri dua penyanyi muda, Shila dan Iz.

Kata Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, kali pertama dia berpeluang melaram rekaan Hatta ialah sewaktu Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23 Januari lalu.

“Shila pasti setiap artis ingin cuba tampil dengan sesuatu yang berbeza sewaktu menghadiri sebarang anugerah atau majlis. Terutamanya sewaktu berjalan di permaidani merah kerana ketika itu lensa kamera pasti berkelip.

“Untuk ABPBH 2008, Shila mengenakan gaun pendek yang pastinya mempunyai perincian songket,” katanya penyanyi berusia 19 tahun ini.

Biarpun masih agak baru, tetapi Shila hebat memenuhi undangan menyanyi termasuklah konsert jelajah daripada syarikat pengeluar ais krim dan minuman ringan terkenal. Kerjayanya juga dilihat semakin laju sejak di bawah label Monkey Bone dan pengurusan 8 Unit. Shila juga bergandingan bersama kumpulan trio remaja dari Indonesia, Ran berduet menyanyikan berjudul Tunjukkanlah Cintamu yang semakin mendapat perhatian dalam carta stesen radio di Indonesia.

Rezeki Shila juga semakin murah kerana lagu Rentak Optimis nyanyiannya bersama Dafi turut mendapat sambutan. Cuma yang menjadi persoalan di sini, bilakah album terbarunya akan berada di pasaran.

“Sepatutnya album baru Shila dipasarkan Februari lalu. Tapi ‘orang kuat’ Monkey Bone, Ahmad Izham Omar mahu ditangguhkan dulu kerana ingin menambah beberapa lagu lagi. Mujurlah ada lagu Memori Tercipta dan Bebaskanlah menjadi sandaran untuk lagu Shila.

“Shila difahamkan kira-kira 14 hingga ke 15 lagu sebelum dikurangkan menjadi 8 hingga 10 lagu. Mungkin album itu di pasaran hujung bulan. Shila terbabit dengan projek khas merakamkan dua buah lagu berbahasa Inggeris dan Melayu untuk kempen Hannah Montana,” kata Shila yang pernah memenangi Anugerah Emas dalam nyanyian Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) April tahun lalu.

Sementara itu, Iz atau nama sebenarnya Izwan Sulaini Haron menyifatkan rezeki menggayakan rekaan Hatta ibarat impian jadi kenyataan.

“Teruja juga rasanya dapat memakai rekaannya malah saya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menyiapkan pakaian untuk saya. Melihat lakaran yang ditunjukkannya sudah membuatkan saya berkobar-kobar menanti waktu siapnya pakaian itu,” katanya yang sedang merakamkan album berkonsepkan Pop R&B terbitan Izworkz Sdn Bhd memuatkan 10 buah lagu.

Enam daripadanya berbahasa Melayu dan selebihnya, Inggeris.

Rekaan fesyen lelaki amat terhad

MELALUI tema Sentuhan Tenun yang menjadi tema fesyen pada ABPBH 2008, Ahad ini, pereka fesyen kelahiran Melaka itu cuba meletakkan warisan kebanggaan budaya Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya dia cukup sensitif tidak mahu meletakkan elemen songket di bahagian bawah busana kerana fabrik itu cukup dipandang tinggi martabatnya .

Seboleh-bolehnya Hatta akan menggunakan songket di bahagian tertentu dan memadai digunakan tidak secara keseluruhan, asalkan memenuhi tema yang ditetapkan. Untuk Shila, dia mereka gaun koktel tetapi bersesuaian dengan usianya yang muda, sopan dan menggunakan warna kombinasi kelabu dan perak.

Untuk Iz, dia yang jarang membuat pakaian khusus kepada lelaki akan cuba mengekalkan gaya yang acap kali diperagakan lelaki bergaya. Cuba mengelak klise yakni melalui pemakaian tuksedo, dia akan mereka gaya Eropah seperti kot trench dan seluar potongan kecil di kaki.

“Saya lebih suka mereka pakaian wanita berbanding lelaki. Rekaan lelaki terlalu terhad biarpun daripada segi teknikalnya sama saja dan tak banyak perubahan dengan koleksi wanita,” kata Hatta.

Mengenai tema Tenun, dia memuji keberanian Berita Harian untuk mengetengahkan fabrik tempatan yang terbukti kehebatannya. Ia sebagai alasan untuk memastikan budaya tempatan tidak terus luput dek kebangkitan fabrik terkini.

INFO: Nama Penuh: Muhammad Hatta Dolmat Nama Komersial: Hatta Dolmat Tarikh Lahir: 19 Disember 1982 Pendidikan: Diploma Rekaan Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seri Iskandar dan Sarjana Muda Kepujian dalam Rekaan Fesyen dari UiTM Shah Alam Pencapaian: Pereka Popular ABPBH 2008 Pemenang Anugerah Pereka Muda 2003 oleh Jusco dan One Utama, pemenang trofi Pesona Pengantin 2005, Pemenang Jarum Berlian 2005, Rekaan Terbaik ABPBH 2006, pemenang Ethnic Chic Design Awards 2007 di Singapura selain menjadi Top 3 dalam Project Runway Malaysia

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: