Sya, Hatta Dinobat Pereka Terbaik ABPBH 2008

15 Apr


HASIL kerja kreatif pada pakaian yang digayakan oleh Zizie rekaan Sya Syaharani (dua dari kiri), manakala Iz (tiga dari kiri) daripada Hatta masing-masing menjadikan mereka dipilih sebagai Pereka Terbaik pada ABPBH 2008.

PERCUBAAN pertama mencetus sesuatu yang manis kepada pereka muda, Siti Nur Syuhada Shaharani apabila rekaannya yang digayakan pelakon popular, Zizie Ezette diumumkan sebagai Pereka Terbaik (Wanita) di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

Pelbagai rasa bercampur baur namun riak keterujaan dan kegembiraan menghuni sudut hati gadis kelahiran Seremban, Negeri Sembilan berusia 24 tahun ini.

“Sesuatu yang tidak pernah disangkakan, apatah lagi ramai pereka lain yang berbakat dan hebat serta memiliki pembawaan tersendiri turut mempertandingkan rekaan mereka.

“Saya tidak terfikir kemenangan menjadi milik saya. Disebabkan itu saya sangat gembira apabila diumumkan sebagai pemenang kerana ini kejayaan pertama saya,” katanya yang memenangi barangan kemas tajaan Rafflesia The Pearl Centre.

Zizie ialah satu-satunya selebriti yang memperagakan ilham gadis yang baru menamatkan pengajiannya dalam rekaan fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Katanya, jika selama ini kebanyakan pereka gemar memilih model atau selebriti yang memiliki tubuh sempurna dia pula mengimpikan sebaliknya.

“Zizie mempunyai susuk tubuh yang sedikit berisi namun tidak semestinya tidak boleh tampil cantik. Saya perlu bijak meneroka, mencari di mana kekuatan dan kelebihannya untuk menarik pandangan orang terhadap penampilan Zizie.,” katanya.

Memilih rona biru yang diramalkan sebagai warna pilihan untuk 2010, Sya berkata, kejayaan itu bertitik tolak hasil daripada persefahaman antara saya dan Zizie menerusi siri perbincangan yang kami adakan.

“Saya dan Zizie berbincang mencari kelebihan dan kelemahannya, kombinasi idea itu menghasilkan apa yang dilihat pada malam ini.

“Keindahan rekaan ini tidak akan terserlah jika tidak dibantu dengan pembawaan Zizie yang sangat manis. Kulit putihnya turut membantu menambah seri kepada rekaan ini,” katanya yang mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan rekaan itu.

Akui Sya lagi, dalam penghasilan rekaan apa yang menjadi keutamaannya adalah kepuasan pemakai. “Saya sentiasa mengingatkan diri supaya berfikiran terbuka dan menerima kritikan kerana dari situ, ia akan memperbaiki mutu rekaan.

“Seseorang pereka tidak boleh terlalu ego dan hanya mementingkan kepuasannya sedangkan gaya akan lebih menyerlah apabila pemakai selesa dan yakin dengan apa yang ditawarkan,” katanya.

Turut memuji usaha Berita Harian yang membuka peluang kepada pereka muda untuk bertapak, Sya berharap kejayaan awal ini akan menguak ruang lebih besar untuk dia mengetengahkan idea kreatifnya bersama pencinta fesyen.

Turut meraih pengiktirafan pada malam kemuncak ABPBH 2008 yang diumumkan pada acara pasca parti di Coffee Terrace, Hotel Genting ialah rekaan Hatta Dolmat yang digayakan bintang One In A Million, Iz bagi kategori lelaki.

Rekaan berbentuk kot labuh diberi sentuhan songket dilengkapi tali pinggang daripada fabrik tenunan itu membantu Hatta mengulangi kejayaannya pada malam ABPBH 2008.

Pereka berusia 26 tahun ini pernah menjulang pengiktirafan yang sama menerusi gaun glamour yang digayakan Erra Fazira pada ABPBH 2006.

“Saya terharu atas kesungguhan Berita Harian mengetengahkan bakat pereka muda seperti kami. Sepanjang bekerjasama dengan ABPBH, saya melihat pertumbuhan positif kerana acara glamour dan penuh prestij ini juga menjadi faktor pendesak supaya lebih kreatif dan berani dalam menghasilkan rekaan.

“Menerusi acara ini, ramai bakat baru lahir memeriahkan industri fesyen dan tidak mustahil kesungguhan ini akan membawa ciptaan tempatan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Iz yang cukup gembira berkongsi kejayaan itu berkata, dia berterima kasih kepada Hatta yang menghasilkan rekaan mengagumkan sekali gus menjulang namanya sebagai pemenang.

“Saya seperti tidak percaya. Terima kasih kepada Hatta yang memberikan sentuhan terbaiknya dan menaruh kepercayaan untuk saya membawanya pada malam ABPBH 2008,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: