Rockers Pelapis

16 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Kehadiran band indie tidak jejas aliran muzik rock

MUZIK rock tidak terkubur. Muzik ini masih digemari dan ada peminatnya tersendiri walaupun perkembangannya mungkin tidak sehebat dulu. Tapi itu bukan bermakna rock dalam dunia muzik tanah air akan lenyap.

Begitulah pandangan dua bakat muda yang memilih muzik aliran rock, Aweera dan Pija. Menariknya, mereka kini dalam ‘dua dunia’ berbeza.

Aweera masih bertahan dalam program realiti One In A Million musim ketiga (OIAM3), sedangkan Pija pula sudah tersingkir pada minggu ketiga program yang sama.

Namun begitu, bagi Pija tersingkir daripada program itu, tidak bermakna semangatnya menjadi pudar. Katanya, dia cukup menggemari jalur muzik yang sudah berdekad lamanya bertapak di negara kita.

“Pija gemarkan muzik rock dan ingin terus memastikan kesinambungannya untuk terus kekal dengan muzik ini. Rock masih ada peminatnya. Tak dinafikan kehadiran band indie menunjukkan fenomena yang agak luar biasa kebelakangan ini. Bakat indie ini memang diakui sangat hebat, malah Pija sendiri tidak sehebat mereka yang boleh bermain instrumen.


BAKAT muda ini mahu memastikan muzik rock berterusan.

“Kalau ada peluang, Pija nak belajar bermain gitar dan teringin sangat nak bekerjasama dengan anggota Meet Uncle Hussain, Taja. Kalau dapat khidmatnya sebagai komposer pun sudah kira bagus. Pija memandang tinggi kewujudan dan kemampuan band indie,” kata Pija tulus yang pernah dikenali dengan lagu Luka.

Kesempatan berada di OIAM 3 dalam tempoh yang agak singkat bagaikan rahmat bermakna buat pemilik nama sebenar Norafizah Mohd Yasin ini. Walaupun masih tersemat perasaan sedih dan kecewa, penyanyi berusia 21 tahun ini terpaksa akur dengan ketentuan yang cukup perit untuk dikenang kembali.

“Pija sudah mula menyanyikan pelbagai genre muzik ketika menyertai pertandingan nyanyian termasuk Mentor musim pertama. Ketika di pentas akhir Mentor, Pija mula terarah menyanyikan lagu berkonsepkan rock dan ada yang berpendapat, ia sesuai dengan emosi dan perwatakan Pija.

“Menerusi OIAM 3, Pija banyak belajar dan melalui pendekatannya yakni ‘Cari suara sendiri’. Pija mula mengikut kata hati bahawa muzik rock adalah pilihan betul. Terkeluar dari OIAM3 bukan jadi penamat kepada Pija dalam bidang ini,” katanya.

Pija sebenarnya pernah diangkat menjadi Juara program Mentor musim pertama tetapi selepas itu tuah masih belum menyebelahinya.

“Bukan semua orang mempunyai nasib yang sama. Pija sendiri sedar laluan seni ini bukan semudah yang disangka. Apa terjadi Pija tetap ingin meneruskan impian,” katanya.

“Mungkin kalau tak berjaya lagi, Pija terus kahwin sajalah,” sambung Pija lagi dalam nada berseloroh. .

Katanya, selepas tersingkir daripada OIAM3, haluannya kini bersama Datuk Wah Idris.

“Sebelum ini Pija dan kakak (Naufara) ada mengeluarkan single Posh. Kini single solo Pija, Terawal Terakhir pula mengikut giliran. Besar kemungkinan juga lagu itu akan ditukar susunannya. Pija dan kakak bersama syarikat Prima Event & Music milik Datuk Wah Idris untuk kontrak selama tiga tahun,” katanya.

Pilihan tidak sia-sia

Sementara itu, kelibat Aweera di pentas OIAM 3 semakin mendapat perhatian. Tidak keterlaluan dikatakan anak ketiga daripada empat beradik ini boleh menyanyi biarpun suaranya pernah dilabelkan Syafinaz sebagai menyalak (menjerit).

Impak dirinya sudah berbekas, malah katanya, keputusan untuk menyertai pertandingan itu amat berbaloi.

Pernah memenangi imuniti yang ditawarkan di dalam pertandingan siaran 8TV itu, ia memberi penanda aras membuktikan yang dia boleh menyanyi sekali gus menidakkan pendapat sesetengah pihak yang dia hanya menjerit sewaktu menyanyi. Bahkan, ini sebagai simbolik kehadiran anak muda berdarah campuran Belanda dan Melayu ini bukan sekadar tangkap muat dan bersandarkan paras rupa semata-mata.

“Saya mahu buktikan pemilihan sebagai Top 12 dalam OIAM3 ini tidak sia-sia. Saya ingin menunjukkan dan berkongsi bakat yang ada bukan sekadar tempelan semata-mata. Dengan usaha jitu, saya juga yakin boleh jadi yang terbaik,” katanya

Baru berusia 18 tahun, Aweera atau nama penuhnya Nasharul Aweera Noriyissham ini berkata, demi minatnya terhadap muzik rock membuatkan dia sanggup membuat rujukan dan penyelidikan menyelak helaian buku dan melayari laman maya semata-mata untuk mengintai sejarah muzik itu.

“Rock bukan dibuat-buat kerana ia lahir di dalam jiwa dan ia berkaitan soal ‘attitude’. Ada yang beranggapan rock itu kotor, ganas dan macam-macam lagilah. Tapi daripada aspek logik, ia hanyalah muzik selamba dan santai.

“Ada lagi tanggapan orang, kalau sebut rock kita kena menjerit. Tapi harus diingat menjerit itu bukan syarat untuk menjadi penyanyi rock kerana untuk mencapai tahap itu bukan mudah. Saya pernah berjoging sejauh 12 kilometer untuk mendapatkan stamina yang baik,” katanya yang selesa dengan Pija dan sudi berduet bersama jika diberi peluang berbuat demikian.

Meminati Awie, Aweera memberitahu dia pernah dipanggil ‘Awee’ di kalangan rakan atau kenalannya di Perlis. Selain itu, dia turut meminati Amy Search dan vokalis kumpulan Malmsteen, Mike Vescera.

“Hingga sekarang saya masih menggunakan bedak jenama Follow Me yang pernah kelihatan di dalam album VCD konsert Wings pada 1991.

“Sejak zaman kaset hinggalah ke CD, saya tak pernah gagal memiliki album Wings dan Awie. Malah, filem lakonannya juga turut menjadi pilihan saya pada waktu lapang. Selain mengagumi suaranya, saya juga sukakan gayanya yang gemar menaiki motosikal berkuasa besar. Nampak ranggi,” katanya yang sudah memiliki 38 koleksi lagu ciptaan sendiri dengan pelbagai konsep.

Profil Pija

Nama sebenar: Norafizah Mohd Yasin

Umur: 20

Tempat lahir: Kota Kinabalu, Sabah

Genre muzik: Pop rock

Kejayaan: Juara Mentor musim pertama

Pernah dikaitkan menjalinkan cinta dengan Nabil dan Affan

Emel atau Facebook: poshpija@yahoo.com

Profil Aweera

Nama sebenar: Nasharul Aweera Noriyissham

Umur: 18

Tarikh lahir: 24 Ogos 1991

Tempat lahir: Utan Aji, Perlis

Hobi: Menggubah lagu dan bermain futsal.

Pembabitan dalam dunia nyanyian: Sejak darjah enam

Penghargaan

Solekan: Riezza Amour (013-4343615)

Dandanan rambut: Zul Bastari (012-3812671) layari laman sesawang, http://debeautyandhairstudio.ning.com

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: