8TV Terbit Dokumentari PLKN

17 Apr

Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my

“SAYA harap mana-mana remaja yang tidak terpilih untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) supaya segera mengemukakan permohonan kerana satu kerugian bagi mereka jika tidak mengikutinya,” kata Alif One In A Million (OIAM) ketika ditemui di Kem PLKN Princess Haliza di Sepang, baru-baru ini.

Alif yang menjalani PLKN sehingga 8 Jun ini adalah antara selebriti yang mengikuti latihan di kem berkenaan selain pelakon dan model, Diana Danielle serta penyanyi, Suki OIAM.

Kem itu turut menjadi lokasi pilihan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) untuk rakaman dokumentari mengenai PLKN dan hak penggambaran serta penyiaran diberikan kepada stesen televisyen swasta di bawah Media Prima iaitu 8TV.

Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim, berkata keputusan untuk menerbitkan dokumentari mengenai PLKN itu dibuat kerana kurangnya maklumat mengenai program itu sejak ia diperkenalkan pada Februari 2004.

“8TV menganggap penerbitan dokumentari PLKN adalah salah satu tanggungjawab korporat sosial (CSR) kami kepada masyarakat memandangkan PLKN adalah satu program yang baik khususnya dalam melahirkan generasi muda yang berkaliber dan mempunyai jati diri yang jitu,” katanya yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara 8TV dan JLKN baru-baru ini.

JLKN diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil. Dokumentari sebanyak lapan episod itu akan disiarkan di 8TV mulai 8 Mei ini, pada setiap Jumaat mulai jam 9.30 malam hingga 10 malam.

Mengenai pemilihan Kem PLKN Princess Haliza sebagai lokasi penggambaran, Abdul Hadi berkata, semuanya bermula apabila pelakon dan model Diana Danielle terpilih menyertai latihan di kem itu.

Beliau berkata, keputusan membenarkan penggambaran itu diharap dapat membantu media mendapatkan perkembangan terkini Diana sewaktu menjalani latihan selain dua artis lain iaitu Suki dan Alif OIAM.

“PLKN bukan bertujuan menjadikan pelatih sebagai tentera tetapi untuk memberi peluang kepada pelatih mengenali diri mereka sendiri, sekali gus membentuk jati diri dan karakter mereka demi masa depan masing-masing,” katanya.

Katanya, penggambaran dokumentari terbabit sudah bermula sejak 19 Mac lalu iaitu ketika pelatih mula mendaftar di Kem PLKN Princess Haliza, Sungai Pelek, Sepang, Selangor dan ia akan membabitkan semua lapan modul latihan.

“Apa yang dipaparkan dalam dokumentari ini adalah kejadian sebenar yang berlaku sewaktu pelatih mengikuti latihan mengikut modul yang ditetapkan dan tidak ada elemen lakonan diselitkan dalam penggambaran ini.

“Kita mahu masyarakat khususnya ibu bapa dan bakal pelatih mendapatkan maklumat sebenar, sekali gus menolak tanggapan negatif mengenai program ini,” katanya.

Mengulas perkara itu, Diana berkata, usaha itu diharap mampu memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan remaja yang dipilih menyertai PLKN untuk mengetahui keadaan sebenar sepanjang program itu diadakan.

Pelakon dan model, Diana Danielle mendedahkan bahawa keadaan di dalam kem PLKN tidak seburuk yang disangkanya, justeru berharap dokumentari terbitan 8TV yang bakal menemui orang ramai mulai 8 Mei ini mampu mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap program berkenaan.

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: