Akhirnya Lulus Ujian – David Archuleta Atasi Populariti Juara

18 Apr

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my

MENJADI peserta American Idol (AI) pertama yang menjejak kaki ke Malaysia, David Archuleta yang hanya meraih tempat kedua dalam program realiti popular itu tahun lalu membuktikan kekalahannya kepada David Cook bukannya bermaksud dia kurang diminati.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan Archuleta sebenarnya lebih diminati di Malaysia berbanding Cook.

Maka, tidak hairanlah Archuleta memilih untuk melawat peminatnya di sini kerana selain Malaysia, penyanyi berusia 18 tahun itu hanya mengunjungi Singapura sebagai destinasi di negara Asia.

Memang tidak sia-sia Archuleta terbang jauh dan menetap selama lima hari dengan jadual yang padat. Menariknya dalam jadual promosinya, dia bukan sahaja ditemu bual di stesen radio, bertemu dengan wartawan serta menghiburkan 5,000 peminat di Amphitheatre Sunway Lagoon. Archuleta juga melawat Sekolah Sri KDU, Kota Damansara untuk bertemu secara dekat peminatnya.


TEWAS sebagai juara, tetapi menang dari segi populariti selepas keluar daripada American Idol tahun lalu.

Demam Archuleta juga dapat dirasakan jika anda merupakan pendengar setia radio terutama stesen Hitz.FM. Setiap kali lagu berhenti diputarkan, juruhebahnya akan bercerita mengenai perkara yang sama iaitu tentang Archuleta.

Malah, kini selepas berakhirnya David Archuleta Asian Promo Tour, stesen radio itu masih lagi hangat membicarakan showcase yang diadakan pada Sabtu lalu.

Itulah kuasa tarikan Archuleta. Peminatnya mula memenuhi Amphitheatre seawal 2 petang walaupun showcase dijadualkan bermula pada pukul 3 petang. Dalam hujan, peminat berebut untuk masuk kerana jumlah audiens yang datang telah melebihi jangkaan.

Maka, disebabkan tidak mahu menghampakan peminat, mereka dibenarkan masuk dan terpaksa memenuhi ruang tangga Amphitheatre. Persembahan hanya bermula 3.50 petang dengan aksi penyanyi jemputan iaitu Hou Ren, Aliff Satar dan Daniel Lee.


MENDEKATI budaya Melayu, si kacak ini dipakaikan samping tenunan songket sewaktu sidang akhbar.

Walaupun perlu menunggu lama, suasana di Amphitheatre tetap meriah dengan jeritan peminatnya. Muncul pada pukul 4.30 petang, Archuleta dengan senyuman memulakan persembahan lagu A Little Too Not Over You diikuti dengan Touch My Hand, Don’t Let Go dan Crush.

Menyanyi tanpa banyak berbicara, peminatnya menyanyi bersama terutama apabila lagu popular Crush didendangkan.

“Saya amat gembira kerana dapat menemui peminat di sini buat kali pertama. Terima kasih Malaysia,” kata Archuleta.

Persembahannya yang singkat tamat pada pukul 4.50 petang tetapi peminat masih belum puas. Sambil menjerit nama Archuleta, dia keluar dengan senyuman dan menyampaikan dua buah lagu nyanyian Vanessa Carlton, A Thousand Miles dan lagu Robbie Williams, Angels.

Maka, ditambah dengan dua buah lagu itu, Archuleta hanya menghabiskan masa selama setengah jam bersama peminatnya.

Mungkin ada yang tidak berasa puas, tetapi melihat wajah peminatnya yang ramai ditemani ibu bapa, mereka ternyata gembira. Pada mereka, senyuman dan lambaian Archuleta sudah mencukupi walaupun dalam masa yang begitu singkat.

Tidak mahu lupa diri

Dua hari sebelum showcase Archuleta diadakan, penyanyi itu terlebih dahulu bertemu dengan wartawan pada satu sidang media. Tampil comel dalam baju Melayu berwarna hijau epal, Archuleta turut dihadiahkan kain songket oleh Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Adrian Lim.


ARCHULETA berjaya membuktikan dia seorang penghibur yang hebat ketika di pentas.

Pertama kali menjejak kaki ke Malaysia, David gembira kerana berpeluang menyaksikan pelbagai budaya berbeza. Sebelum bergelar penyanyi, dia tidak sedar dengan budaya lain di negara luar.

Maka, mencapai populariti pada usia muda telah membolehkan dia keluar mengenali dunia. Namun, ramai yang tertanya-tanya bagaimana Archuleta berdepan dengan populariti terutama apabila dia menyertai AI pada usia 16 tahun.

“Saya sentiasa mengingatkan diri supaya tidak leka dan tidak lupa diri. Saya masih merupakan David yang sama sebelum menyertai AI. Dengan cara itu, ia membantu untuk mengekalkan nilai moral dalam diri saya.

“Ayah dan keluarga saya banyak membantu saya berpijak di bumi yang nyata. Industri hiburan boleh menjadi sesuatu yang menakutkan dan artis boleh dikelilingi dengan benda-benda negatif. Hubungan rapat dengan keluarga boleh membantu saya menilai baik buruk sesuatu keputusan,” kata Archuleta sambil tersenyum.


PEMINAT Archuleta kelihatan cukup teruja dapat menyaksikan persembahannya secara langsung.

Masih muda dan menunggu masa sesuai untuk mencari teman wanita, Archuleta memberitahu memang banyak benda yang dia terpaksa korbankan apabila menceburi industri hiburan pada usia muda. Namun, itu adalah impiannya dan dia sedikit pun tidak menyesal.

“Memang banyak benda yang terpaksa saya korbankan. Namun, jika saya menjadi orang biasa, saya mesti terfikir mengapa saya tidak terlibat dalam bidang muzik. Saya suka menyanyi dan membuat persembahan.

“Maka, ini adalah pilihan yang tepat. Lagipun, jika saya berpeluang untuk pulang ke rumah, saya masih akan menghabiskan masa bersama keluarga dan kawan-kawan saya,” tambahnya.

Tidak mempunyai banyak pengalaman dalam industri, Archuleta mempelajari banyak benda baru semasa menyertai AI. Maka, berbekalkan pengalaman yang diperolehi semasa menyertai AI, Archuleta mahu mereka terutama golongan remaja yang ingin menjadi penyanyi berani untuk merealisasikan impian itu.

“Kepada mereka yang mempunyai impian dan kesungguhan untuk menjadi penyanyi, ikut sahaja impian anda itu. Namun, anda perlu memiliki daya dedikasi yang tinggi. Seperti AI, saya menganggap ia satu ujian sebagai persediaan diri. Ia satu tugas yang berat tetapi saya gembira kerana berjaya lulus ujian itu.”

Sedang menulis untuk album barunya, Archuleta pada mulanya tidak mempunyai keyakinan diri kerana merasakan penulisan lirik itu satu tugas yang sukar. Namun, dia kini lebih berkeyakinan kerana mahu mempaparkan lebih banyak sisi dirinya kepada peminat.

Mengagumi Kelly Clarkson yang tidak membiarkan benda lain menghalang pemilihan muziknya, pemenang AI musim pertama itu dilihat tidak terperangkap dan sentiasa menggabungkan elemen muzik berbeza dalam karyanya. Itulah contoh yang ingin dipaparkan oleh Archuleta.

“Album pertama dihasilkan dengan tujuan supaya semua pendengar sedar bahawa saya masih muda. Semasa saya membuat persembahan di AI, saya tidak mempunyai peluang untuk menunjukkan kepada audiens sisi muda saya.

“Saya mahu menunjukkan bahawa saya hanya berusia 18 tahun. Lagipun saya tidak akan menjadi remaja selama-lamanya. Untuk album kedua pula, saya ingin menghasilkan lagu lebih matang. Ini kerana saya sedar peminat saya bukannya dari golongan remaja sahaja.

“Tetapi saya ingin kekal jujur terhadap muzik saya dan berkongsi dengan seramai orang yang boleh. Saya mahukan lagu yang punya lebih banyak emosi,” ujar Archuleta pada sidang media yang berlangsung selama 15 minit.

Kosmo

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: