@Sinepleks: Kabir Beralih Ke Filem Komedi

18 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Kabir Bhatia

Filem Setem karya terbarunya selepas Cinta dan Sepi yang mula ditayangkan Julai depan

SELEPAS membuai hati penonton negara ini dengan filem Cinta dan Sepi, pengarah Kabir Bhatia nampaknya menukar haluan dengan memilih genre aksi komedi sebagai hidangan terbaru daripadanya buat penggemar filem tempatan.

Bekerjasama dengan Tayangan Unggul Sdn Bhd, Kabir menghadiahkan peminat dengan filem Setem yang turut menyaksikan dirinya bertindak sebagai penulis cerita asal dan penulis lakon layar.

Bakal menemui penonton pada Julai nanti, filem ini bermula dengan prolog yang membawa penonton ke tahun 1847 apabila Gabenor Melaka, Lord Arthur Barring, mahukan sesuatu untuk diingati oleh generasi seterusnya. Lalu, dia melantik seorang pembuat jam untuk mencipta sekeping setem.

Tetapi setem itu ditertawakan oleh Gabenor India kerana mempunyai kesilapan. Lord Arthur Barring marah dengan kejadian itu, lalu membuang setem berkenaan, yang kemudiannya dikutip oleh cucunya.

Pada 2008, Charles Barring IV mengadakan sidang akhbar di A Famosa. Dia ingin mempamerkan warisan keluarganya, Setem Barring. Setem Barring melalui perjalanan yang panjang dan kini kembali ke bumi Melaka, tempat di mana ia dihasilkan. Ia akan dipamerkan di Muzium Melaka.

Sid dan Joe turut menghadiri sidang akhbar itu, dengan tujuan mahu mencuri setem yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit. Sebenarnya, Pak Ramli ialah dalang di sebalik niat tidak baik dua lelaki terbabit. Sid dan Joe pula terpaksa melakukannya, mengenangkan budi Pak Ramli yang menjaga mereka di rumah anak yatim.

Bagaimanapun, bukan Sid dan Joe saja yang mahukan setem itu. Seorang ketua kumpulan Ah Long, Piranha Lim, juga berminat memilikinya. Begitu juga dengan Vellu yang bekerja sebagai pemandu di syarikat keselamatan yang akan membawa setem terbabit ke muzium.

Masing-masing membuat perancangan untuk mendapatkan setem berkenaan. Malangnya, usaha mendapatkan setem itu tidaklah semudah yang disangka. Dek begitu banyak perancangan yang dilakukan untuk mendapatkannya, keadaan menjadi kacau-bilau. Setem tidak sampai ke tangan Sid & Joe, Piranha Lim mahupun Vellu.

Sebaliknya, ia singgah di tangan Aryanto, pendatang tanpa izin yang tidak mengetahui apa-apa. Aryanto membawanya ke rumah kongsi Marcello. Malangnya, sekali lagi setem itu singgah ke tangan orang lain pula iaitu Iskander, pemuda buta yang juga tidak mengetahui apa-apa mengenainya.

Yasmin, kakak Iskander yang ternampak setem berkenaan, menampalnya pada surat permohonan untuk membiayai pembedahan mata Iskander.

Dilihat sebagai hiburan ringan untuk semua peringkat usia penonton, filem ini menampilkan ramai pelakon popular tanah air seperti Afdlin Shauki, Rashidi Ishak, Vanidah Imran dan aktor yang baru saja diumumkan Pelakon Filem Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, Que Haidar.

Filem ini turut diperkuatkan oleh Bront Palarae, Isma Yusoof, Indi Nadarajah, Sathia, Datuk Aziz Sattar, Datuk Jalaludin Hassan, Harun Salim Bachik, Adam Corrie Lee, Aziz M Osman, Richard Gardner, Chew Kin Wah, Diana Danielle, Chelsia Ng, Kenchana Dewi, Syanie, Frank Lewis, Henzi Andalas dan Soffi Jikan.

Jadi, jika anda ingin bergelak ketawa bersama persembahan terbaru daripada pengarah berkaliber itu, usah ketinggalan menyaksikan Setem apabila judul terbabit memasuki panggung berdekatan rumah anda Julai ini.

Carta pecah panggung:

1 – Fast And Furious 4

2 – Jangan Tegur (Melayu)

3 – Shinjuku Incident

4 – Ayan (Tamil)

5 – Friday the 13th

6 – He’s Just Not That Into You

7 – Knowing

8 – Confessions of a Shopaholic

9 – K-20: Legend Of The Mask (Jepun)

10 – Queens Of Langkasuka (Thai)

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: