AIM Pilih Bulu?

20 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


DARI ATAS: AIZAT, Atilia dan ibunya Salamiah Hassan, serta Camelia.


JENNIFER THOMPSON

WALAUPUN kuantiti lapan slot yang diperuntukkan untuk para artis melakukan persembahan dalam Anugerah Industri Muzik 16 (AIM 16), namun ia bukanlah satu tanggungjawab yang mudah untuk mengelola majlis berprestij itu.

Dilema itu diakui sendiri oleh Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson yang harus membuat keputusan bijak tentang pemilihan artis yang akan mewarnai pentas AIM kali ini.

Hanya artis yang benar-benar berkualiti dan cukup bersesuaian untuk ditampilkan melakukan persembahan di pentas AIM akan terpilih.

“Setiap tahun saya dihujani dengan banyak panggilan telefon daripada artis yang cukup teruja hendak membuat persembahan.

“Saya hanya mampu memberi jawapan agar mereka dapat menunggu giliran untuk tahun-tahun berikutnya ditambah dengan pihak kami yang sekadar meletakkan slot dalam bilangan kecil.

“Tidak boleh dengan sewenang-wenangnya melibatkan ramai artis membuat persembahan kerana ditakuti penonton jemu dengan hiburan yang dihidangkan sekali gus membuatkan AIM mengambil masa yang panjang untuk disiarkan.

“Saya sendiri akui bahawa AIM menjadi platform anak-anak seni tanah air untuk mengenengahkan bakat yang dimiliki serta survival mereka sebagai penggiat muzik.

“Namun saya juga perlu ikut prosedur dalam menonjolkan artis. Hanya yang diyakini cukup layak untuk berada di pentas AIM bagi membuat persembahan,” katanya ketika ditemui pada sidang media AIM 16 di Hotel Concorde Khamis lalu.

AIM 16 yang akan berlangsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, 2 Mei nanti menyaksikan artis-artis seperti M. Nasir, Misha Omar, Faizal Tahir, Datuk Sheila Majid, Meet Uncle Hussain, Joe Flizzow, Hujan, Chakrasonic, Man Jiang Hong dan Goldkartz, membuat persembahan.

Tidak terkecuali, penyanyi dari negara seberang, Rossa akan muncul dalam AIM 16 sekali gus membuat persembahan yang pastinya bakal memberi kejutan kepada penonton.

Persembahan artis pada malam itu pula akan diiringi oleh kumpulan pemuzik profesional yang dikepalai pengarah muzik terkenal, Ramli MS.

Bukan bermaksud pilih bulu atau menganak-tirikan mana-mana artis, sebaliknya pemilihan artis-artis ini bersandarkan kepada kredibiliti mereka membuat persembahan dan diri mereka yang mencerminkan industri muzik pada tahun lalu.

“Pemilihan mereka selaras dengan hasrat AIM 16 untuk memberi peluang mereka menonjolkan kebolehan masing-masing.

“Jika bercakap tentang kemampuan mereka menarik perhatian penonton, itu bergantung kepada persembahan mereka.

“Kami membuka jalan dan turut yakin barisan artis ini mampu memperlihatkan warna persembahan yang terbaik pada malam itu,” beritahu Jennifer yang menyatakan tiada sebarang konsep atau tema diwajibkan bagi setiap persembahan.

Dalam pada itu, AIM juga tidak melupakan kehadiran kumpulan indie yang menjadi trend dalam industri muzik di Malaysia.

“Bahkan mereka cukup berbakat dalam menghasilkan produk sendiri sehingga mendapat sambutan di luar dugaan daripada peminat.

“Lantaran itu, saya harus memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada mereka yang berbakat besar ini untuk terlibat dalam AIM.

“Cuma saya harus berhati-hati dalam soal pemilihan kumpulan yang bakal membuat persembahan kerana AIM punya perbezaan ketara berbanding konsert-konsert biasa apatah lagi majlis penganugerahan ini dipancarkan secara langsung menerusi kaca TV,” katanya.

Jennifer sebelum ini pernah memberi peluang kepada sebuah kumpulan indie untuk menyanyi di pentas AIM, namun mereka tidak membuat persembahan seperti yang dijangkakan. Lain yang diharap, lain pula jadinya.

“Secara tidak langsung, ia memburukkan reputasi penganjuran majlis ini,” jelas Jennifer yang menjawat jawatan sebagai Penerbit AIM bermula tahun pertama penganjuran acara itu pada tahun 1993 sehinggalah ke hari ini.

Dalam majlis sama, Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM 16, Rosmin Hashim turut mengumumkan senarai artis yang bakal menjadi penyampai anugerah serta pengacara.

Masih mempercayai kredibiliti Afdlin Shauki dan Bob Lokman, AIM 16 turut tidak ketinggalan mengundang Adibah Noor, yang menjadi ‘bunga’ untuk mengemudikan acara itu.

Pihak AIM 16 bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang segmen khas. Sebaliknya Rosmin memberitahu: “Kami mahu memberi kejutan kerana tidak menarik jika diberitahu awal-awal.

“Ada kolaborasi yang tidak disangkakan, malah ada nama artis yang kami sedang difikirkan lagi untuk terlibat dalam persembahan AIM 16.”

Selain itu, beberapa nama terkenal dalam industri seni tempatan turut diundang untuk menyampaikan trofi pada malam bersejarah itu.

Antara mereka yang dimaksudkan ialah Aizat, Atilia, Camelia, Dafi, Jaclyn Victor, Leya (Hot FM), Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, AIM 16 mewajibkan semua hadirin untuk berpakaian formal atau Black Tie.

Kepada peminat yang ingin menghadiri AIM 16, mereka boleh mendapatkan tiket yang berharga RM50 dengan menghubungi talian 03-40445388.

Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: