Anita Tak Ambil Hati

20 Apr

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

FAIZAL bersalaman dengan Anita Sarawak sebagai tanda memohon maaf.

Kucupan di tangan, sejambak bunga sebagai tanda tiada perselisihan

HUTANG penyanyi Faizal Tahir kepada diva Anita Sarawak sudah terbayar. Tanpa memikirkan soal senioriti, Anita sendiri bertanya kepada penyanyi itu mengenai hasrat hatinya untuk memohon maaf sebaik mereka bertemu selepas menjayakan Minggu Setiausaha anjuran PNB Darby Park.

“Dengar kata Faizal ingin memohon maaf daripada Kak Nita ya?” pantas penyanyi berusia 57 tahun itu bersuara sebaik Faizal melangkah ke bilik sidang media.

Peluang yang sudah lama dinanti-nantikan pemilik lagu Bencinta itu tidak disia-siakan Faizal. Sudah lama dia menantikan saat itu dan tanpa berlengah, tangan dihulur, maaf pun dipinta berserta sebuah kucupan di tangan Anita sebagai tanda hormat.

Adegan yang cukup manis itu bukan saja disaksikan media, malah suami tercinta penyanyi itu Mahathir Abdullah serta kakitangan PNB Darby Park. Lalu, Anita menghulurkan sejambak bunga sebagai lambang tiada lagi perselisihan antara mereka.

Bagaimanapun, Anita kemudian menjelaskan, dia sebenarnya tidak pernah mengambil hati atas kelewatan Faizal itu. Malah, dia juga tidak berasakan hal berkenaan perlu diperbesarkan kerana antara dia dengan Faizal sebenarnya tidak pernah wujud sebarang persengketaan.

Entah di mana Anita mengetahui desas-desus mengenai hasrat hati Faizal untuk memohon maaf berikutan kelewatan hampir satu jam ketika menghadiri sidang media itu sehingga membuatkan Anita dan tetamu lain terpaksa menunggu lama.

Faizal pula yang tidak mengetahui sudah terlewat, terus saja duduk di meja utama tanpa rasa bersalah dan langsung tidak mengungkapkan kata-kata maaf. Perkara itu pula sebenarnya berlaku disebabkan salah faham antara penganjur dan Faizal yang seterusnya mengheret penyanyi penuh kontroversi itu sebagai mangsa keadaan.

Namun, kini semuanya sudah kembali jernih. Faizal tidak lagi menyimpan rasa bersalah kepada penyanyi yang amat disegani itu.

Anita mahu bersara?

BARANGKALI berita ini bakal mengejutkan peminat setia penyanyi yang sentiasa bertenaga di atas pentas ini. Tetapi penyanyi berasal dari Singapura ini menjelaskan, setakat ini belum pernah terlintas di fikirannya mahu meninggalkan dunia seni yang amat dicintai.

“Ketika Kak Nita bertemu dengan Abang Mahathir lebih 10 tahun dulu, pernah terlintas di fikiran untuk meninggalkan arena seni suara. Tetapi, dia memberi Kak Nita kata-kata semangat supaya meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian dan semangat itu terus mekar sehinggalah ke hari ini.

“Setakat hari ini, belum pernah terlintas di hati Kak Nita untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kerjaya nyanyian. Memang setiap kali bertemu peminat, Kak Nita akan berkata kalau Tuhan izinkan ada umur panjang, Kak Nita akan terus bernyanyi. Kak Nita berkata begitu bukannya sebagai niat untuk mengumumkan persaraan.

“Sebagai manusia, kita tidak tahu apakah yang akan berlaku kepada kita esok lusa. Sehingga hari ini Kak Nita masih lagi sihat, tetapi macam Kak Nita katakan tadi kita tidak tahu apa yang akan menimpa kita pada masa akan datang,” katanya yang masih bersemangat meneruskan perjuangan kerana kekuatan yang ditiupkan peminatnya.

Melihat wajah peminat yang terhibur dengan persembahannya adalah satu kepuasan yang menyebabkan Anita tidak sampai hati untuk mengundur diri dari dunia seni.

Wajah peminat yang begitu teruja melihat kemunculannya di pentas jelas kelihatan tatkala dia menghiburkan setiausaha di Pusat Konvensyen Sime Darby. Tenaganya masih sama, begitu juga dengan celoteh selambanya yang menjadi salah satu tarikan yang membuatkan peminat berasa dekat dengannya.

Bagaimanapun bezanya tahun ini, Anita tidak kerap turun ke pentas dan lebih banyak berada di atas pentas. Namun sesekali dia akan tetap singgah di meja untuk melihat wajah peminatnya dengan lebih dekat.

Pada petang itu, Anita menyanyikan sebanyak lapan buah lagu seperti Diva, Dengar Ini Cerita, Seksis, Joget Gila Bayang dan Turn The Beat Around.

Peminat Faizal histeria

AURA bapa kepada tiga cahaya mata ini begitu kuat sejak akhir-akhir ini. Biarpun sekadar sebagai penyanyi undangan, ternyata kemunculan Faizal Tahir amat dinantikan golongan setiausaha yang menghadiri majlis makan tengah hari itu.

Masing-masing berpusu-pusu ingin merakamkan gambar Faizal tengah hari itu. Ke mana dia bergerak, peminatnya begitu teruja untuk mendekatinya. Namun, mereka lebih terkawal berbanding peminat Anuar Zain, mungkin menghormati status Faizal sebagai suami orang.

“Sokongan peminat ini saya anggap sebagai satu penghormatan untuk saya. Malah saya sendiri tidak menyangka dalam usia begini serta status yang dipegang, peminat masih dapat menerima kehadiran saya.

“Apa yang lebih penting bagi saya setiap hasil kerja perlu menghasilkan sesuatu yang terbaik. Walaupun keadaan saya hari ini tidak begitu sihat, tetapi saya tidak menjadikan ia sebagai alasan boleh sambil lewa ketika membuat persembahan,” katanya yang mendendangkan lima lagu Mahakarya Cinta, Sampai Syurga, Coba, Gemuruh dan You Make It Real (James Morisson).

Berita Harian

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: